Topic followed successfully
Go to BHku‘Tak ada mood nak Raya’: Cef Akmal dedah realiti pahit perniagaan susuli konflik TT
‘Tak ada mood nak Raya’: Cef Akmal dedah realiti pahit perniagaan susuli konflik TT
‘Tak ada mood nak Raya’: Cef Akmal dedah realiti pahit perniagaan susuli konflik TT
Sedang media sosial dibanjiri kemeriahan gambar rumah terbuka dan senyuman lebar, cef bertaraf antarabangsa, Cef Akmal Anuar, memilih untuk sebaliknya memaparkan suasana sayu kehidupannya.
Realitinya, dunia kulinari tidak seglamor yang disangkakan.
Malah, dengan konflik yang berlaku di Timur Tengah, cef kelahiran Singapura yang berpangkalan di Dubai itu semakin dihimpit kesukaran untuk meneruskan perniagaan.
Dalam satu hantaran di media sosial pada 10 April, Cef Akmal, yang memiliki empat perniagaan makanan dan minuman di Dubai, menulis:
“Sementara orang lain mengambil peluang untuk memaparkan betapa sibuk restoran mereka, saya mengambil kesempatan ini untuk menunjukkan bagaimana saya mengharungi dunia yang nyata.
“Saya pulang dari Singapura semalam dan menerima panggilan dan mesej tanpa henti untuk buat bayaran.
“Berkunjung dari satu pejabat ke pejabat yang lain untuk menyelesaikan isu.
“Ada yang lebih memahami tetapi ada yang saya terpaksa merayu.
“Saya tak malu untuk mengongsi hal ini.
“Ini adalah cebisan kehidupan yang tidak ditonjolkan orang ramai.
“Saya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini dan sejujurnya, ia jauh daripada apa yang saya anggap susah dahulu.
“Satu lagi hari berlalu dan saya harap esok adalah lebih baik.”
Dilampir bersama dalam hantaran itu adalah beberapa gambar dan video yang menunjukkan betapa sepi restoran-restorannya susuli situasi rumit di Timur Tengah.
Bagi Cef Akmal, yang juga merupakan pemenang Anugerah Jauhari 2024, realiti di sebalik tabir dapur sangat berbeza dengan apa yang dipaparkan di media sosial.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH) tentang mengapa beliau memilih untuk memaparkan realiti pahit ini di media sosial, Cef Akmal berkata beliau tidak mahu menunjukkan yang indah-indah belaka sahaja.
Malah, hantaran media sosial yang sering menonjolkan kejayaan bak indah khabar dari rupa yang menutup keadaan sebenar.
Bapa tiga puteri itu kemudian meluahkan harapan agar orang lain tahu dan memahami apa yang sedang beliau hadapi.
“Disebabkan kejadian ini, saya tidak mahu berjumpa dengan orang lain. Saya tertekan. Saya seperti dalam zon yang lain. Saya tidak ada mood hendak raya. Otak saya tertekan kerana asyik memikirkan tentang pembayaran,” katanya.
Bagi Cef Akmal, sukar untuk dirinya berpura-pura ceria apabila mindanya sarat memikirkan kelangsungan operasi dan nasib kakitangan.
Lebih membimbangkan, Cef Akmal mendedahkan bahawa aliran tunai perniagaan kini semakin menipis.
“Simpanan peribadi kami terpaksa digunakan. Ia semakin sedikit dan ini boleh menyebabkan kami untuk berhutang. Itulah kebimbangan saya,” luah Cef Akmal.
Namun, enggan menyerah kalah, Cef Akmal kini melancarkan inisiatif meja makan komunal atau communal table dengan harga dimampui pada 150 AED ($55) di dua restorannya di Dubai, Osteria Funkcoolio dan Harummanis.
Usaha mengubah menu setiap hari itu merupakan sebahagian misi untuk menyelamatkan kakitangan yang terpaksa berdepan pemotongan gaji.
“Menu ini berharga 150 AED, tetapi jika anda rasa kami layak menerima lebih, anda boleh tambah mengikut kemahuan.
“Ia bukan untuk saya, tetapi untuk rakan-rakan sekerja yang sedang berdepan pemotongan gaji dan cuti tanpa gaji,” jelasnya.
Beliau juga berjanji untuk memberikan makanan percuma kepada sesiapa sahaja yang memerlukan bantuan.
Baginya, sokongan moral daripada masyarakat selepas luahan jujurnya sebelum ini menjadi pembakar semangat untuk terus berjuang.

