Selepas hampir seabad bertapak di 705 North Bridge Road, kedai minyak wangi warisan, Thahirah Kazura, kini memulakan lembaran baharu di 717 North Bridge Road selepas terpaksa berpindah akibat kenaikan kos sewa.

Pemilik generasi ketiganya, Cik Thahirah Mohamed Nazran, 36 tahun, hampir berputus asa untuk mengekalkan perniagaan yang diasaskan keluarganya pada 1933, sebelum seorang rakan peniaga tampil menawarkan ruang di premisnya.

“Saya menangis setiap malam kerana merasakan saya telah gagal dalam perniagaan ini,” ujar Cik Thahirah, mengenang detik sukar meninggalkan premis lamanya.

Menurut beliau, kos sewa premis tersebut meningkat secara beransur-ansur sekitar 50 peratus sejak mengambil alih perniagaan daripada bapanya pada 2019.

Ketika mempertimbangkan untuk beralih sepenuhnya kepada perniagaan dalam talian atau membuka ruang jualan kecil di gudangnya di Woodlands, beliau menerima tawaran daripada pemilik Hyba Ladies Lounge, Cik Hasnah Agiel Alsree, 43 tahun, pada Julai lalu untuk berkongsi ruang di 717 North Bridge Road buat sementara waktu.

Cik Thahirah berkata tawaran itu membolehkannya meneruskan perniagaan keluarganya di Kampong Glam, kawasan yang menjadi sebahagian daripada sejarah Thahirah Kazura sejak 93 tahun lalu.

Menurutnya, beliau mula mengenali Cik Hasnah sekitar 2024 ketika mereka berkongsi reruai dalam sebuah acara ekspo.

Apabila mengetahui kesulitan yang dihadapi rakannya, Cik Hasnah terdorong untuk membantu berdasarkan pengalaman sendiri mengharungi cabaran hidup.

“Saya tidak mahu orang lain melalui kesusahan dan berasa keseorangan diri, lebih-lebih lagi jika saya mampu menghulur bantuan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian (BH).

Di sebalik kesukaran berpindah, Cik Thahirah berkata beliau turut mendapat semangat daripada pelanggan setia yang terus mencari minyak wangi keluarganya.

Menurutnya, ada pelanggan yang menghubunginya hampir setiap hari untuk bertanyakan lokasi baharu kedai, malah sanggup menanggung kos penghantaran bagi mendapatkan minyak wangi kegemaran mereka.

Menurut Cik Thahirah, pelanggan berpeluang menghasilkan minyak wangi sendiri mengikut cita rasa dan pilihan haruman masing-masing.
Menurut Cik Thahirah, pelanggan berpeluang menghasilkan minyak wangi sendiri mengikut cita rasa dan pilihan haruman masing-masing. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

“Saya akhirnya sedar bahawa pelanggan sebenarnya menghargai usaha yang saya lakukan selama ini,” katanya.

Selain minyak wangi berasaskan minyak, Thahirah Kazura menawarkan khidmat menghasilkan wangian mengikut tempahan, bengkel pembuatan minyak wangi, serta cenderamata untuk majlis perkahwinan dan pelanggan korporat.

Rakan perniagaannya, Encik Hayder Nazar Oudah Al-Gharbawi, 38 tahun, juga mengimport pelbagai barangan lain, termasuk tasbih dan minyak zaitun.

Cik Thahirah menunjukkan salah satu minyak wangi ditawarkan Thahirah Kazura, yang turut menyediakan khidmat menghasilkan wangian mengikut cita rasa pelanggan.
Cik Thahirah menunjukkan salah satu minyak wangi ditawarkan Thahirah Kazura, yang turut menyediakan khidmat menghasilkan wangian mengikut cita rasa pelanggan. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Beliau berkata perniagaan itu juga memanfaatkan wadah dalam talian seperti Shopee dan media sosial untuk meluaskan jangkauan pelanggan.

Bagi Cik Thahirah, perpindahan ke 717 North Bridge Road bukan sekadar usaha meneruskan operasi, malah peluang untuk membina semula perniagaan warisan keluarganya.

“Ini sebenarnya bukan peluasan perniagaan, tetapi permulaan baharu bagi saya. Ini hasil segala usaha keras saya,” jelasnya.

Pelbagai jenis minyak wangi berasaskan minyak dan produk lain ditawarkan di Thahirah Kazura, termasuk cenderamata untuk majlis perkahwinan dan pelanggan korporat.
Pelbagai jenis minyak wangi berasaskan minyak dan produk lain ditawarkan di Thahirah Kazura, termasuk cenderamata untuk majlis perkahwinan dan pelanggan korporat. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Beliau berharap ruang baharu itu bukan sahaja menjadi tempat membeli minyak wangi, malah destinasi bagi pelanggan mengenali dunia wangian, mempelajari proses pembuatannya dan menghasilkan haruman mengikut cita rasa sendiri.

Menurutnya, usaha mengekalkan legasi keluarga juga menuntut kesediaan untuk menyesuaikan perniagaan dengan perubahan cita rasa pelanggan dan keadaan pasaran.

“Melindungi legasi tidak bermakna kita perlu mengekalkan segala-galanya seperti dahulu. Ada kalanya kita perlu memperkenalkan produk baharu, menerima teknologi dan mencari cara baharu untuk berhubung dengan pelanggan,” terangnya.