Tiada sebab untuk berasa bimbang terhadap laungan azan sebagai sebahagian daripada lawatan warisan di Pulau Ubin, kata Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan.

Dalam hantaran Facebook beliau pada 29 Mei, Encik Tan menjelaskan bahawa laungan azan tersebut adalah sebahagian daripada usaha memperkenalkan “pengalaman bunyi kampung lama” kepada para peserta lawatan.

“Ia merupakan satu pertunjukan sejarah budaya, bertujuan memberi pengunjung pemahaman lebih mendalam tentang warisan Melayu/Islam yang menjadi sebahagian daripada kisah Singapura,” jelasnya.

Encik Tan berkata demikian menyusuli kejadian baru-baru ini yang melibatkan penganjur lawatan Malay Kampung Heritage Tour, Encik Nor Syazwan Abdul Majid, 29 tahun.

Encik Syazwan, berketurunan ‘Orang Pulau’, mendakwa menerima aduan mengenai laungan azannya ketika menganjurkan lawatan warisan di pulau tersebut.

Dalam satu hantaran Instagram papda 18 Mei, Encik Syazwan berkata beliau akan terus mengekalkan segmen azan dalam lawatan tersebut bagi mendidik pengunjung mengenai warisan Melayu/Islam dan sejarah Pulau Ubin.

Encik Syazwan memberitahu Berita Harian (BH) bahawa aduan itu dipercayai dibuat pada 2024, tetapi hanya dimaklumkan kepadanya pada 18 Mei lalu.

Encik Tan, yang juga pengerusi Friends of Ubin Network (Fun) – daya usaha mengekalkan warisan unik di Pulau Ubin – menambah bahawa pihak Lembaga Taman Negara (NParks) telah meneliti perkara itu dan mengesahkan bahawa tindakan Encik Syazwan dilakukan secara hormat sebagai sebahagian daripada persembahan warisan.

Beliau turut menekankan kepentingan masyarakat untuk bersikap terbuka dalam memahami kepelbagaian budaya di Singapura.

“Dalam masyarakat majmuk kita, kekuatan kita terletak pada keupayaan kita untuk memahami, menghargai, dan menghormati tradisi dan amalan antara satu sama lain,” katanya.

Dalam hantaran Facebooknya, Encik Tan berkata beliau telah berbincang dengan Encik Syazwan dan memberi sokongannya terhadap usaha memelihara kisah serta kenangan warisan tersebut.

Encik Tan turut menggesa orang ramai agar terus menyokong pemandu pelancong warisan tempatan.

“Marilah kita terus menyokong usaha pemandu warisan dan mengekalkan sikap terbuka dalam mempelajari budaya yang membentuk jati diri kita sebagai sebuah negara,” ujarnya.