Walaupun Mahkamah Tinggi baru-baru ini menolak tuntutan mereka, keluarga kepada plaintif, Cik Fauziyah Mohd Ahbidin, kini sedang mempertimbang untuk memfailkan rayuan bagi membuka semula kes ini.

Pihak keluarga mempunyai tempoh masa sebulan daripada tarikh keputusan mahkamah, iaitu pada 14 Mei lalu, untuk memutuskan sama ada mahu memohon semula kes tersebut.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), anak lelaki plaintif, Syed Muhammad Farit Syed Ahmad, mendedahkan bahawa nilai hartanah wakaf yang dipertikaikan — yang kini merangkumi Masjid Kassim, Wisma Indah, dan kondominium East Bay Gardens — dianggarkan bernilai sekitar $60 juta.

Bagi pihak keluarga, langkah untuk membuka semula kes itu dipertimbangkan untuk memastikan amanah dan hasrat terakhir dalam Wasiat Kassim pada 1932 diberikan pertimbangan yang sewajarnya.

Kes ini berakar umbi daripada siri wakaf yang dibuat oleh datuk plaintif, Allahyarham Ahna Mohamed Kassim Ally Mohamed, antara 1914 dengan 1927 untuk menubuhkan sebuah masjid dan tanah perkuburan.

Pada waktu itu, beliau belum mempunyai anak.

Namun, selepas kelahiran anak tunggalnya, Ahna Mohamed Zainal Abidin Kassim pada 1928, Allahyarham Kassim telah membuat sebuah wasiat pada 1932.

Dalam salah satu wasiat tersebut, Allahyarham Kassim mengarahkan agar pendapatan bersih daripada hartanah yang diwakafkan itu dibahagikan kepada lima bahagian, di mana dua perlima bahagian (40 peratus) dikhaskan untuk dirinya, dan selepas kematiannya, diserahkan kepada anak lelakinya yang “miskin”.

Bagaimanapun, tuntutan keluarga ini ditolak oleh Mahkamah Tinggi kerana mahkamah memutuskan bahawa mengikut undang-undang dan mazhab, hartanah yang telah diwakafkan sepenuhnya untuk masjid dan kubur tidak boleh diubah atau ditarik balik hak pendapatannya.

Ini selain faktor kelewatan masa yang terlalu lama untuk memfailkan tuntutan.

Meskipun pertikaian ini melibatkan harta keluarga jutaan dolar nilainya, kehidupan waris tunggal Allahyarham Kassim, Allahyarham Zainal Abidin, jauh berbeza.

Walaupun merupakan anak kepada seorang tokoh yang mengumpulkan kekayaan hartanah yang besar di Singapura pada awal abad ke-20, Allahyarham Zainal Abidin tidak menjalani kehidupan yang mewah.

Dikenali oleh orang terdekat sebagai seorang yang sangat serba sederhana dan rendah diri, beliau menghabiskan kehidupannya di sebuah flat sewa, tanpa menyedari hak kelayakan besarnya di bawah wasiat bapanya.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 2011 di flat sewanya dengan hanya meninggalkan baki wang sekitar $800 atas namanya.

Bagi keturunan Allahyarham Kassim, rayuan ini tertumpu kepada persoalan asas melibatkan hak kekeluargaan.

Ketika beliau masih hidup, Allahyarham Kassim menerima dua perlima daripada pendapatan bersih yang dihasilkan oleh hartanah-hartanahnya.

Jika aturan ini merupakan satu realiti yang telah berjalan lancar semasa pengasasnya masih hidup, pihak keluarga mempersoalkan mengapa hak tersebut dihentikan sepenuhnya dan tidak diteruskan kepada anak lelakinya.

Menurut fail kes, peguam plaintif, Encik Kirpal Singh, menegaskan bahawa hasrat atau pesanan seorang pewasiat tidak boleh diabaikan begitu sahaja:

“Terdapat satu anggapan undang-undang bahawa pelaksanaan mesti dijalankan berdasarkan setiap perkataan dalam wasiat, dan dalam erti kata lain, seorang pewasiat tidak membuat wasiat dengan sia-sia.”

Ketika diminta mengulas tentang pendapatan yang dijana menerusi pembangunan semula hartanah Wakaf Kassim, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) enggan memberi butiran lanjut.

Jurucakapnya berkata:

 “Prosiding mahkamah telah selesai, dan Muis menganggap perkara ini ditutup. Kami menghormati proses kehakiman dan tidak akan memberikan ulasan lanjut.”

Walau bagaimanapun, Syed Muhammad Farit berkongsi bersama BH bahawa langkah undang-undang bukanlah satu-satunya jalan yang dicari oleh pihak keluarga.

Beliau berkongsi bahawa mereka amat mengalu-alukan dan bersikap terbuka untuk mengadakan perbincangan yang telus dengan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi menyelesaikan perkara ini secara peribadi dan harmoni.

“Kami tidak melihat perkara ini dari sudut undang-undang sahaja, sebaliknya kami amat mengalu-alu peluang untuk duduk berbincang secara telus dan harmoni dengan Muis," kata Syed Muhammad Farit.

"Bagi kami, perbincangan secara peribadi adalah jalan terbaik untuk membina persefahaman dan mencari penyelesaian adil yang menghormati semua pihak, tanpa perlu memanjangkan pertikaian di mahkamah," katanya lagi.

Syed Muhammad Farit turut menjelaskan bahawa tujuan utama mereka sekiranya memilih untuk meneruskan kes ini bukanlah didorong oleh faktor nilai wang, melainkan demi menuntut hak sejarah keluarga yang sekian lama tertunggak.

“Ini adalah tentang menuntut hak dan kebenaran sejarah keluarga kami yang telah tertunggak sekian lama.

“Malah, kami juga berharap kes ini dapat meningkatkan semula kesedaran masyarakat Melayu/Islam di Singapura mengenai institusi wakaf.

“Hari ini, kita sering mendengar tentang amalan infak biasa, tetapi konsep wakaf semakin kurang diperkatakan,” katanya lagi.