Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita gagal tuntut harta pusaka lebih $10j berkaitan wakaf Masjid Kassim
Wanita gagal tuntut harta pusaka lebih $10j berkaitan wakaf Masjid Kassim
Wanita gagal tuntut harta pusaka lebih $10j berkaitan wakaf Masjid Kassim
Seorang wanita yang menemui wasiat lama peninggalan datuknya sejak seabad lalu gagal dalam tuntutannya di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan hasil kebajikan bernilai lebih $10 juta daripada sebuah yayasan amal, dana Wakaf Kassim.
Dalam penghakiman yang dikeluarkan pada 14 Mei lalu, Hakim Mohamed Faizal J menyatakan beliau amat memahami aspek kemanusiaan dalam kes ini, di mana plaintif ingin memperjuangkan hak yang diharapkan oleh datuknya untuk dinikmati oleh bapanya suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, hakim menekankan bahawa mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah undang-undang atas dasar simpati.
Beliau menegaskan:
“Melakukan sedemikian akan merosakkan prinsip undang-undang dan menjejas kepercayaan masyarakat. Ini adalah satu akibat buruk yang tidak boleh, malah tidak seharusnya dibiarkan berlaku dalam sistem perundangan.”
Menurut maklumat dalam talian, datuk kepada plaintif ialah Allahyarham Ahna Mohamed Kassim Ally Mohamed, seorang pemilik kapal kargo dan pemilik hartanah yang dilahirkan dan dibesarkan di Singapura.
Antara 1914 dengan 1927, beliau telah mewakafkan sebidang tanah di kawasan Siglap kepada yayasan wakaf yang diasaskannya.
Tanah itu kemudian digunakan untuk membina Masjid Kassim di Changi Road dan kawasan perkuburan Islam (Kubur Kassim).
Beliau meninggal dunia pada 1935 pada usia 55 tahun.
Pada 1968, susulan penguatkuasaan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) mengambil alih pengurusan wakaf tersebut.
Kubur Kassim kemudian ditutup pada 1973, dan tapak yang dikosongkan itu diambil alih oleh Penguasa Tanah Singapura (SLA) pada 1987.
Menurut kertas kajian oleh pakar tempatan, Dr Samsiya, hartanah yang diwakafkan itu termasuk rumah kedai era kolonial di sekitarnya, di mana hasil sewa digunakan untuk menyenggara operasi Masjid Kassim, lapor akhbar Lianhe Zaobao.
Menjelang 1990-an, bangunan masjid yang asalnya setingkat – hanya mampu menampung 700 jemaah – tidak lagi dapat memenuhi keperluan penduduk setempat.
Menerusi dana yang didermakan orang ramai, masjid itu serta bangunan pentadbiran dibina semula.
Muis turut menyalurkan dana untuk mengubah suai deretan kedai di bawah seliaan yayasan tersebut.
Apabila Allahyarham Kassim meninggal dunia pada 1935, anak tunggalnya, Mohamed Ahbideen Mohamed Kassim, yang juga lebih dikenali sebagai Ahna Mohamed Zainal Abidin Kassim, hanya berusia enam tahun.
Selepas Allahyarham Zainal Abidin meninggal dunia pada 2011 pada usia 83 tahun, anak perempuannya, Cik Fauziyah Mohd Ahbidin, mendakwa menemui satu dokumen di flat sewa bapanya.
Penemuan itu membawanya kepada wasiat Allahyarham Kassim yang dibuat pada 9 Disember 1932.
Pada 29 Julai 2019, Cik Fauziyah memfailkan saman terhadap Muis bagi menuntut pemulangan aset yang sepatutnya menjadi hak bapanya selama ini.
Hakim Mahkamah Tinggi mendedahkan bahawa menurut wasiat tersebut, Allahyarham Kassim menerima dua perlima (40 peratus) daripada hasil pendapatan wakaf tersebut yang kemudiannya akan “menjadi milik anak lelakinya yang miskin” selepas kematiannya.
Hartanah wakaf itu kini menempatkan Masjid Kassim, kondominium East Bay Gardens dan bangunan Wisma Indah.
Titik pertikaian utama dalam kes ini melibatkan perbezaan mazhab, menurut dokumen mahkamah yang dilihat Berita Harian (BH).
Plaintif menegaskan bahawa Allahyarham Kassim adalah seorang Muslim bermazhab Hanafi, yang membolehkan pewakaf meminda atau menarik balik aset wakaf.
Sebaliknya, Muis berhujah bahawa Allahyarham Kassim adalah pengikut mazhab Syafii, yang memandang harta wakaf sebagai sesuatu yang muktamad dan tidak boleh ditarik balik.
Hakim Mahkamah Tinggi menarik perhatian bahawa adalah mustahil untuk menentukan dengan pasti mazhab seseorang yang hidup 100 tahun lalu.
Namun, satu-satunya bukti kukuh adalah pada 1962, apabila Allahyarham Zainal Abidin telah memohon untuk menjadi pelaksana harta pusaka Allahyarham Kassim, beliau telah menyatakan dalam sumpah mahkamah bahawa bapanya merupakan seorang Muslim bermazhab Syafii.
Pihak plaintif membantah hujah tersebut dengan berhujah bahawa bapanya baru berusia enam tahun ketika datuknya meninggal dunia dan tidak menyedari kewujudan wasiat itu sehingga kematiannya, sekali gus mempersoalkan bagaimana bapanya boleh mempunyai pengetahuan mengenai mazhab yang dianuti oleh datuknya.
Bagaimanapun, hakim membalas dengan menyatakan bahawa jika bapanya sendiri tidak mengetahui perkara tersebut, adalah lebih mustahil bagi plaintif — sebagai generasi ketiga —untuk mempunyai pengetahuan yang lebih mendalam mengenai fakta itu.
“Keputusan seorang pewasiat untuk meminda dana kebajikan melalui wasiat bagi menyara anak-anak yang dalam kesempitan hidup adalah sesuatu yang boleh difahami. Ia merupakan satu naluri semula jadi untuk memastikan kebajikan zuriat terpelihara, dan hasrat sedemikian wajar dihormati serta diberikan simpati,” ujar hakim.
Walau bagaimanapun, hakim menegaskan bahawa sebarang tindakan untuk mengubah struktur sesebuah yayasan kebajikan demi kepentingan peribadi bukan sahaja akan menjejas ramai penerima manfaat lain, malah berisiko menghakis kepercayaan masyarakat terhadap sistem tersebut.
Beliau menambah bahawa langkah sedemikian akan menyimpang daripada matlamat asal wakaf, iaitu untuk menjamin sebuah institusi kebajikan yang boleh dipercayai dan mempunyai sistem yang telus.
