Usianya baru 24 tahun, namun Sharifah Nadhrah Jamal Alhadi, anak kepada bekas pengacara dan penyampai berita Cik Rita Zahara Mohamed Nazeer, sudah mahir dalam bidang perniagaan, mengikuti jejak langkah ibunya.
Selain menggalas jawatan berat sebagai ketua pegawai pemasaran di sebuah syarikat penyedia makanan sihat, AMGD Global, gadis itu baru-baru ini pula melancarkan dua koleksi tudung hasil kerjasama dengan golongan orang kurang upaya di Enabling Village.
Enabling Village merupakan hab sehenti bagi golongan keperluan khas, yang juga menempatkan syarikatnya, AMGD Global.
Apa yang memberi sentuhan istimewa ialah salah satu koleksi tudung telah didedikasikan kepada Allahyarhamah Che Zahara Noor Mohamed, yang juga moyangnya.
Allahyarhamah Che Zahara ialah seorang perintis dan aktivis Melayu yang memperjuangkan hak wanita dan kanak-kanak di Singapura, serta dianggap antara wanita Melayu pertama di negara itu yang memperjuangkan hak wanita moden.
Cik Rita, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AMGD Global, meluahkan rasa bangga terhadap anak perempuan beliau dalam satu hantaran Facebook pada 7 Oktober.
“Saya seorang ibu yang sangat bangga.
“Anak perempuan saya bukan sahaja mengetuai pasukan kami di AMGD Global, tetapi juga telah berkembang menjadi seorang usahawan muda dan pembina komuniti,” kata Cik Rita mengenai anaknya, seorang lulusan Universiti Manchester di mana beliau juga menuntut pada satu masa dahulu.
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.
Sharifah akui bahawa ibunya memainkan peranan dalam perjalanannya menceburi bidang perniagaan.
Dihubungi Berita Harian (BH), Sharifah berkata sejak umurnya 15 tahun, beliau terdorong oleh semangat ibunya yang memulakan AMGD Global dan lantas memupuk minatnya terhadap bidang perniagaan, suatu yang beliau percaya memberi impak sosial.
“Saya mendapat inspirasi daripada ibu saya dan juga Allahyarhamah moyang saya, Che Zahara, dan koleksi tudung ini saya beri nama Legasi Che Zahara, sebagai penghormatan kepada beliau,” tambahnya lagi.
Selain tudung panjang atau ‘shawl’, Sharifah turut menghasilkan tudung untuk wanita yang bersukan.
“Saya minat bersukan dan aktif menyertai liga serta pertandingan sukan global Hyrox, yang memerlukan saya berlari dan melakukan pelbagai senaman.
“Saya dapati tudung ini memenuhi keperluan untuk kekal terletak di kepala sepanjang pertandingan,” katanya, sambil menambah bahawa beliau juga menubuhkan Kelab Bola Lantai Swift Sticks bagi peserta daripada pelbagai latar belakang dan kebolehan.
Beliau berkata koleksi pertama bagi kedua-dua tudung sukan dan koleksi tudung ‘Generations of Grace’ adalah atas kerjasama dengan artis berkeperluan khas.
Golongan ini pada awalnya dilatih dan dibimbing, sebelum diberi kebebasan menghasilkan kerja secara berdikari.
“Ini selaras dengan matlamat kami untuk memperkasa pekerja kurang upaya di bawah akademi latihan Reta Social Enterprise, yang mengambil golongan kurang upaya untuk bidang makanan dan minuman serta kemahiran lain,” jelasnya.
Semasa dihubungi BH, Cik Rita yang dalam perjalanan pulang ke Singapura dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berkata anaknya berprinsip teguh dan memiliki sikap disiplin serta empati yang tinggi.
“Persamaan kami berdua ialah anak saya juga seorang pembina dan pencetus - berani mengambil risiko, memimpin perubahan, dan membina jalannya sendiri. Semangat itu memang sama dengan saya,” jelasnya.
Cik Rita turut menekankan bahawa anaknya tegas dalam kerjanya, cepat belajar, dan tidak takut menerima maklum balas.
“Sejak muda, beliau jelas mahu menceburi dunia perniagaan, berbeza dengan saya yang melalui perjalanan panjang sebagai arkitek, wartawan, dan menyambung pelajaran hingga ke peringkat PhD sebelum menjadi usahawan.”
Untuk menyiapkan dirinya dalam bidang perniagaan, Cik Sharifah memilih ijazah dalam jurusan Perniagaan dalam Strategi, Inovasi dan Keusahawanan di Universiti Manchester.
“Beliau mencapai impian yang saya pendam dan mencapainya pada usia 20-an, dan tidak gentar mengejar cita-citanya.
“Bagi saya, usahawan hari ini perlu pantas belajar, memahami selok-belok perniagaan, celik digital, membina pasukan yang kukuh, serta menjadikan nilai dan tujuan sebagai asas operasi.
“Dengan gabungan semua ini, beliau bukan sahaja mengejar impian peribadi, tetapi juga memberi inspirasi kepada generasi muda yang lain,” kata Cik Rita penuh bangga.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg