Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

AI bantu firma tingkat operasi, daya penghasilan

Dapat kurangi kos, tenaga manusia serta jana peluang perniagaan baru
Jul 17, 2025 | 5:37 PM
kecerdasan buatan, rahayu mahzam, perniagaan singapura 
Forum ‘Membayangkan Semula F&B dalam Persekitaran AI yang Berkembang’ pada 17 Julai, melibatkan (dari kiri) Pengasas Have Halal, Will Travel, Encik Mikhail Melvin Goh; Penasihat Pembangunan Perniagaan Pusat SME@DPPMS, Encik Mohamad Adil Kassim; Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AMGD Global dan Reta Group of Companies, Cik Rita Zahara Mohamed Nazeer; Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam; Presiden dan CEO SSA Group, Encik Suhaimi Salleh; Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Tertiary Infotech, Dr Alfred Ang; dan rakan pengurusan Red Sage Group dan Pengasas bersama EPIKebabs, Encik Saddiq Haque. - Foto MDDI

Kecerdasan buatan (AI) boleh menjadi alat berguna bagi perniagaan mempertingkat operasi dan daya penghasilan, termasuk dalam membantu mengurangkan kos dan tenaga manusia, serta menjana peluang perniagaan baru, kata Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.

Bahkan, semakin banyak syarikat kecil dan sederhana (SME), termasuk dalam industri makanan dan minuman (F&B), kian memanfaatkan alat AI yang sedia ada dan mudah digunakan dalam perniagaan mereka, tambah beliau.

Ini termasuk menggunakan AI untuk mencipta kandungan media sosial, idea untuk strategi perniagaan dan melakarkan iklan kerja.

Berucap di Forum ‘Membayangkan Semula F&B dalam Persekitaran AI yang Berkembang’ pada 17 Julai, Cik Rahayu berkata perniagaan boleh bermula dengan langkah kecil, dan memanfaatkan pelbagai inisiatif pemerintah, seperti Buku Panduan AI Generatif untuk Perusahaan (Generative AI Playbook for Enterprises) oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).

“AI dengan pantas mengubah cara industri beroperasi, berkembang dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Sedang perkembangan baru berlaku, usaha kolektif untuk bereksperimen, menggunakan dan memperluaskan inovasi AI akan membentuk asas kejayaan bagi perniagaan dan Singapura.

“Tidak menghairankan kepada saya bahawa SME kita mengiktiraf potensi besar bagi AI membawa manfaat kepada perniagaan mereka,” kata beliau.

Forum tersebut, yang diadakan di Institut Pembelajaran Sepanjang Hayat di Paya Lebar, dianjurkan bersama SSA Academy dan SkillsFuture Singapore (SSG), dengan sokongan Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) dan Pusat SME@DPPMS.

Acara itu diadakan sehari selepas pemerintah melancarkan Rancangan Digital Industri (IDP) Khidmat Makanan dipertingkat pada 16 Julai, yang memperkenalkan huraian baru dipacu AI, seperti sistem pembayaran sendiri automatik dan kedai yang dikendalikan tanpa pekerja.

Ini demi membantu syarikat mempertingkat operasi perniagaan dan daya penghasilan, serta mengurangkan kos.

Cik Rahayu berkata Singapura telah menyaksikan peningkatan yang menggalakkan penggunaan AI dalam kalangan perniagaan bagi industri F&B pada tahun lalu (2024).

Ini termasuk rantaian minuman ‘bubble tea’ terkenal, Playmade, yang memanfaatkan alat AI Generatif untuk menjana gambaran kreatif bagi minuman baru dan kapsyen media sosial untuk tujuan pemasaran.

Sementara itu, kedai dan restoran keju Cheeselads pula telah memanfaatkan Pengemudi AI Generatif IMDA (AI Gen Navigator) untuk menggunakan huraian pengurusan sumber manusia (HR) yang mengautomasikan tugas HR utama setiap bulan, sekali gus mengurangkan masa pemprosesan pentadbiran.

Cik Rahayu turut menambah bahawa transformasi digital, bagaimanapun, bukan usaha bersendirian dan dibina atas pengetahuan bersama, sumber, kerjasama serta daya tahan masyarakat.

“Adalah penting kita mengambil pendekatan menyeluruh untuk mempertingkat keupayaan digital kita,” kata beliau.

Berucap di pembukaan forum, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group, Encik Suhaimi Salleh, berkata penggunaan AI bukan lagi sesuatu yang asing dalam industri F&B, dengan khidmat pelanggan dibantu AI hingga ke operasi dapur dipacu data kini dapat dilihat dalam industri itu.

“Dalam landskap pesat berkembang ini, sikap bersedia untuk belajar adalah salah satu kekuatan terbesar kita.

“AI mungkin nampak rumit, tetapi ia adalah satu alat yang boleh membantu kita berkhidmat dengan lebih baik, bekerja dengan lebih bijak dan berkembang dengan lebih kukuh.

“Tanggungjawabnya terletak pada kita sebagai pemimpin untuk meneroka bagaimana alat ini boleh digunakan dengan cara yang bermakna dalam perniagaan kita,” kata beliau.

Forum itu turut menyaksikan satu perbincangan panel mengenai penggunaan AI dalam operasi perniagaan sebenar, strategi praktikal dan pandangan dalam mengharungi transformasi digital dalam sektor F&B.

Ahli panel terdiri daripada pengasas bersama dan CEO AMGD Global dan Reta Group of Companies, Cik Rita Zahara Mohamed Nazeer; rakan pengurusan Red Sage Group dan pengasas bersama EPIKebabs, Encik Saddiq Haque; Ketua Pegawai Maklumat (CIO) dan Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Tertiary Infotech, Dr Alfred Ang; Penasihat Pembangunan Perniagaan di Pusat SME@DPPMS, Encik Mohamad Adil Kassim; pengasas Have Halal, Will Travel, Encik Mikhail Melvin Goh; dan Naib Presiden, Perundingan dan Penyelesaian Teknologi di SSA Group, Encik Muhammad Amir Abdullah, selaku moderator.

AI bentuk asas kejayaan perniagaan S’pura

“AI dengan pantas mengubah cara industri beroperasi, berkembang dan berkhidmat kepada masyarakat. Sedang perkembangan baru berlaku, usaha kolektif untuk bereksperimen, menggunakan dan memperluaskan inovasi AI akan membentuk asas kejayaan bagi perniagaan dan Singapura.”
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Berani teroka untuk manfaatkan AI sepenuhnya

“AI mungkin nampak rumit, tetapi ia adalah satu alat yang boleh membantu kita berkhidmat dengan lebih baik, bekerja dengan lebih bijak dan berkembang dengan lebih kukuh. Tanggungjawabnya terletak pada kita sebagai pemimpin untuk meneroka bagaimana alat ini boleh digunakan dengan cara yang bermakna dalam perniagaan kita.”
Encik Suhaimi Salleh, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SSA Group.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg