Topik diikuti
Pergi ke BHkuUsahawan terharu Puan Halimah gayakan kerongsang rekaannya di NDP 2026
Bak mimpi menjadi nyata.
Begitulah perasaan usahawan aksesori batik, Cik Serena Wong, sambil tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila melihat mantan Presiden, Puan Halimah Yacob, mengenakan ‘brooch’ bunga Vanda Miss Joaquim hasil rekaannya semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) pada 9 Ogos.
Ketika itu, Cik Serena, 33 tahun, sedang menonton NDP secara langsung bersama pengikutnya di TikTok apabila beliau menerima mesej bahawa Puan Halimah mengenakan aksesori tersebut.
Cik Serena, pengasas Batik Sayang, berkongsi peristiwa tersebut dalam satu hantaran TikTok pada 10 Ogos.
Dimulakan oleh Cik Serena pada 2024, Batik Sayang merupakan perniagaan yang menjual pelbagai aksesori batik seperti kerongsang, rantai, dan anting-anting, dengan matlamat memperkasakan wanita menerusi hasil rekaannya.
“Apabila saya melihat Puan Halimah mengenakan aksesori itu, saya berasa sangat teruja kerana seorang ikon Singapura mengenakannya.
“Saya berharap apabila wanita lain mengenakannya, mereka akan teringat tentang wanita hebat seperti Puan Halimah yang pernah mengenakannya dan menjadi inspirasi untuk mereka melakukan sesuatu bermakna juga,” kongsinya ketika dihubungi Berita Harian (BH).
Cik Serena mula berkongsi hasratnya untuk melihat mantan Presiden Halimah Yacob mengenakan kerongsang Vanda Miss Joaquim rekaannya semasa NDP menerusi satu hantaran TikTok pada 27 Mei.
Hantaran tersebut mendapat perhatian pengikutnya, yang kemudian membantu Cik Serena berhubung dengan kakitangan mantan Presiden itu.
Kerongsang yang dihadiahkan Puan Halimah direka khas dengan bunga yang boleh ditanggalkan dan digunakan sebagai ‘brooch’ yang lebih kecil.
Pada 7 Ogos, Cik Serena menerima surat daripada Puan Halimah yang mengucapkan terima kasih atas hadiah tersebut.
Dalam surat itu, Puan Halimah, yang juga Canselor Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), turut berkongsi bahawa beliau telah membeli satu lagi aksesori Batik Sayang sebelum ini.
“Aksesori batik ini merupakan satu perayaan yang indah terhadap warisan Singapura dan bunga kebangsaan kita,” kata Puan Halimah dalam surat tersebut.
Impian Cik Serena akhirnya menjadi kenyataan pada Hari Kebangsaan apabila Puan Halimah dilihat mengenakan ‘brooch’ Vanda Miss Joaquim yang dibelinya.
“Saya menghasilkan aksesori yang diinspirasikan bunga kebangsaan kita kerana saya mahu menghasilkan rekaan yang dapat dikenakan oleh semua dengan rasa bangga,” ujar Cik Serena, yang pernah berkhidmat sebagai guru selama hampir sedekad sebelum menceburi bidang keusahawanan.
Cik Serena kini menghasilkan aksesori Batik Sayang dengan sendiri sepenuhnya dan berharap dapat mengembangkan lagi perniagaannya serta mendapatkan kakitangan dan ruang yang lebih besar pada masa depan.
Menurutnya, koleksi Vanda Miss Joaquim telah habis dijual beberapa minit sebelum NDP 2026.
Namun, sejak penggayaan aksesori Batik Sayang oleh Puan Halimah, Cik Serena telah melihat lebih banyak permintaan untuk koleksi tersebut dan beliau telah membuka tempahan awal untuk mereka yang berminat.
Sebahagian hasil jualan ‘brooch’ Vanda Miss Joaquim juga dirancang untuk disumbangkan kepada badan kebajikan yang menyokong golongan wanita, golongan muda berkeperluan khas, dan mereka yang memerlukan.
“Saya hanya gembira dapat melakukan sesuatu yang kecil untuk Singapura,” tambah Cik Serena.

