Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita asal UK titis air mata ketika tonton previu NDP 2026
Tonton persembahan tentang masyarakat Orang Laut sehinggakan menitiskan air mata kebanggaan.
Begitulah yang dikongsikan Cik Eve Sewell, atau lebih mesra dikenali sebagai angmohmakcik di media sosial, dalam satu hantaran Instagram yang mengimbau semula pengalamannya menonton previu Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2026 pada 25 Julai.
Menurut Cik Eve, yang berasal dari United Kingdom (UK), beliau tidak pernah merasakan ikatan emosi yang kuat terhadap UK semasa beliau menetap di sana.
Oleh itu, pada mulanya beliau sukar memahami semangat rakyat Singapura ketika menyambut NDP.
Walaupun memperoleh kewarganegaraan Singapura pada Januari 2025 selepas menetap di sini sejak 2015, hanya pengalaman meraikan Hari Kebangsaan bersama ribuan penonton membuat beliau benar-benar berasa bangga menjadi rakyat Singapura.
“Ada satu detik yang tidak saya jangkakan menyentuh hati saya, iaitu persembahan Orang Laut yang mengisahkan sejarah awal Singapura.
“Saya menitiskan air mata apabila melihat para peserta mempersembahkan kisah negara dengan penuh rasa bangga dan ia begitu indah,” tulis Cik Eve dalam hantarannya.
Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Eve, yang menghadiri previu itu dengan anaknya yang berusia sembilan tahun, berkata kisah Singapura dipersembahkan dengan cara yang sungguh menyentuh hati.
“Visual persembahan juga sangat mengagumkan dan saya tidak pernah melihat persembahan seumpamanya pada tahun sebelumnya,” ujar Cik Eve kepada BM.
Beberapa warganet turut berkongsi kebanggaan mereka menonton segmen persembahan Orang Laut di ruangan komen hantaran Cik Eve.
Hantaran Cik Eve turut menarik perhatian penyanyi untuk pembukaan segmen tersebut, Asnida Daud.
Dalam ruangan komen, Asnida berkata:
“Saya benar-benar kagum melihat reaksi para penonton. Saya sayang anda semua!”
Asnida bakal mengetengahkan kisah Orang Laut dalam babak ketiga persembahan NDP 2026 dengan dendangan lagu Aok Diko, yang dihasilkan bersama keluarga beliau.
Pengguna, ‘subjectmardina’, berkata:
“Persembahan dan penceritaan itu sungguh mengagumkan! Semua yang hadir dapat merasakannya. Terima kasih!”
Menurut Cik Eve, beliau pernah ditanya mengapa beliau memilih untuk menetap di Singapura.
“Saya memilih Singapura kerana masyarakat di sini, nilai yang dipupuk, dan semangat kekeluargaan yang kuat.
“Singapura bukan sekadar tempat saya tinggal, tetapi telah menjadi rumah saya,” terang beliau.
Bagi Cik Eve, perayaan Hari Kebangsaan tahun ini membawa satu makna yang lebih mendalam kerana beliau seperti merayakan masyarakat yang membuatnya rasa sebahagian daripada Singapura.

