Lazimnya, majlis berkhatan di Singapura sekadar jamuan makan ringkas.

Namun bagi Encik Ahmad Khalil Khairul Anuar, 36 tahun, beliau mahu anak sulungnya melalui pengalaman yang lebih bermakna dan tradisional.

Mencedok inspirasi daripada tradisi masyarakat di Malaysia, Encik Ahmad Khalil membina sendiri sebuah tandu untuk mengarak anak sulungnya, Ahmad Khalis Ahmad Khalil, 4 tahun, di kolong blok kediaman ibu Encik Khalil di Blok 144 Pasir Ris Street 11, pada 16 Mei lalu.

“Saya tengok zaman sekarang semua sudah moden, banyak majlis dibuat di hotel atau dewan. Jadi saya terfikir, mengapa tidak saya buat satu majlis di bawah blok untuk hidupkan semula budaya kita,” kata Encik Khalil yang bertugas sebagai pegawai imigresen.

Tandu yang diperbuat oleh buluh didapati dari Gelang Patah, Johor, dengan kos RM15 ($4.80), lengkap dengan sebuah kerusi rotan terpakai sebagai tempat duduk.
Tandu yang diperbuat oleh buluh didapati dari Gelang Patah, Johor, dengan kos RM15 ($4.80), lengkap dengan sebuah kerusi rotan terpakai sebagai tempat duduk. - Foto AHMAD KHALIL KHAIRUL ANUAR

Beliau sanggup mendapatkan bekalan buluh daripada pak ciknya di Gelang Patah, Johor, dengan kos RM15 ($4.80) dan meluangkan sekitar tiga jam, tiga hari sebelum majlis tersebut, untuk memastikan tandu tersebut stabil.

Menggunakan kreativiti sendiri, beliau serta ahli keluarga yang lain, menggunakan pengikat kabel atau cable tie untuk mengukuhkannya.

Dalam pada itu, mereka melilitnya dengan tali coklat bagi mengekalkan rupa tradisional, lengkap dengan sebuah kerusi rotan terpakai sebagai tempat duduk.

“Nampak ringkas, tetapi mahu pastikan ia selamat itu mencabar. Saya risau juga kalau buluh patah atau anak meronta, jadi saya buat berkali-kali sampai betul-betul yakin,” tambah bapa dua anak itu.

Encik Ahmad Khalil Khairul Anuar (kiri) bersama isterinya, Cik Naemah Omar (kanan), bergambar bersama anak-anaknya, Ahmad Khalis Ahmad Khalil dan Nadine Khalisah Ahmad Khalil semasa majlis berkhatan tersebut.
Encik Ahmad Khalil Khairul Anuar (kiri) bersama isterinya, Cik Naemah Omar (kanan), bergambar bersama anak-anaknya, Ahmad Khalis Ahmad Khalil dan Nadine Khalisah Ahmad Khalil semasa majlis berkhatan tersebut. - Foto ihsan AHMAD KHALIL KHAIRUL ANUAR

Suasana di Pasir Ris bertukar meriah seakan-akan majlis perkahwinan apabila hampir 300 tetamu hadir, jauh melebihi sasaran asal 120 tetamu.

Semangat rewang turut dirasai apabila saudara-mara dari Malaysia turun padang membantu ibunya memasak hidangan seperti rendang dan udang sambal di dapur rumah.

Meskipun Ahmad Khalis sudah selamat berkhatan secara laser di Hospital Wanita dan Kanak-kanak KK (KKH) dua minggu lebih awal pada 28 April, sekitaran yang dibanjiri orang ramai orang dan bunyi kompang yang kuat membuatkan kanak-kanak itu gementar.

Menurut Encik Khalil, jarak perarakan itu sekitar 30 meter, sebelum ke pelamin yang tersedia di kolong blok tersebut.

“Dia menangis sedikit di atas tandu sebab gementar ramai orang hadir dan juga ambil gambar. Tetapi selepas turun dan tengok persembahan silat, dia mula okey semula,” ujar Encik Khalil yang juga merupakan seorang pembantu jurulatih silat Gayong.

Bagi Encik Khalil, penganjuran majlis di kolong blok mempunyai nilai sentimental yang tidak dapat ditukar ganti dengan kemewahan dewan hotel.

Beliau menyifatkan suasana “rewang” dan perarakan itu sebagai jambatan yang menghubungkan generasi lama dan baharu.

“Saya mahu lestarikan lagi budaya dan warisan kita supaya ia tidak mati. Sekarang ini, ada yang gunakan audio sahaja untuk kompang, jadi generasi muda mungkin tidak faham nilai sebenar tradisi ini.

“Saya mahu kekalkan semangat rewang kerana melalui cara inilah kita dapat benar-benar bercampur dan mengenali saudara-mara kita, bukan kenal muka sahaja tetapi tidak tahu namanya,” kongsi Encik Khalil lagi.