Warga Perancis hargai layanan baik keluarga S’pura, sentuh hati netizen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga Perancis hargai layanan baik keluarga S’pura, sentuh hati netizen

Jan 23, 2026 | 3:43 PM

Warga Perancis hargai layanan baik keluarga S’pura, sentuh hati netizen

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Gambar Encik Muhammad Fadly Hamzah (kiri) dan isterinya Cik Nur Liyana Saine (paling kanan) bersama dua anak perempuan mereka, Faiha Fatiha (dua dari kiri) dan Misha Madina semasa bercuti di Paris, dipetik oleh Cik Schmidt, jurugambar yang diupah mereka.
Gambar Encik Muhammad Fadly Hamzah (kiri) dan isterinya Cik Nur Liyana Saine (paling kanan) bersama dua anak perempuan mereka, Faiha Fatiha (dua dari kiri) dan Misha Madina semasa bercuti di Paris, dipetik oleh Cik Schmidt, jurugambar yang diupah mereka. - Foto RENATA SCHMIDT

Semasa bercuti di Paris, Encik Muhammad Fadly Hamzah dan isterinya Cik Nur Liyana Saine, sempat mengajak jurugambar mereka, Cik Renata Schmidt, untuk berkunjung ke Singapura selepas bercerita tentang negara ini kepadanya. Namun, siapa sangka, tiga bulan kemudian, Cik Schmidt benar-benar tiba ke Singapura.

Video yang dikongsikan Cik Schmidt di akaun Instagramnya pada 13 Januari memaparkan layanan mesra keluarga itu yang kini meraih lebih 12,000 tanda suka dan telah ditonton sebanyak 305,000 kali.

“Kami juga terkejut apabila video itu tular walaupun selepas lebih setahun. Mungkin kerana Cik Schmidt hanya memuat naik hantaran tersebut pada tahun ini,” kata Cik Liyana.

Mengupah jurugambar semasa bercuti kini semakin menjadi trend, bukan sahaja dalam kalangan artis malah orang ramai yang ingin merakam detik terbaik mereka sepanjang percutian, terutamanya pasangan yang berbulan madu.

Bagi pasangan Encik Muhammad Fadly, 45 tahun, dan Cik Liyana, 39 tahun, percutian ke Paris pada pertengahan Jun 2024 bertujuan merakam kembali kenangan bulan madu mereka di kota itu – namun kali ini bersama dua orang cahaya mata, 10 tahun selepas mendirikan rumah tangga.

Dua anak mereka ialah Faiha Fatiha Md Fadly, sembilan tahun dan Misha Madina Md Fadly, 11 tahun.

“Kami memilih Cik Schmidt selepas menemui akaun Instagramnya yang menampilkan dirinya sebagai seorang pengasuh kanak-kanak dan jurugambar di Paris.

“Kami melihat hasil kerjanya dan lebih menyukainya berbanding jurugambar profesional yang lain. Tambahan pula, Cik Schmidt merupakan warga Amerika, jadi kami merasakan bahasa tidak akan menjadi satu masalah,” kata Encik Fadly dalam temu bual bersama Berita Harian (BH).

Keluarga itu berada di Paris selama tiga hari pada Jun 2024, dan sesi fotografi tersebut dijalankan pada hari terakhir mereka di sana.

Sepanjang sesi itu, Cik Schmidt banyak bertanya tentang Singapura dan kelihatan terkejut apabila mengetahui tentang cuaca negara ini yang sentiasa panas.

“Semasa sesi penggambaran, Cik Schmidt menunjukkan rasa ingin tahu lebih banyak tentang Singapura, seperti bertanya mengenai suhu, tahap keselamatan, serta berapa hari yang diperlukan untuk melawat tempat-tempat menarik di Singapura.

“Namun, beliau hairan apabila mendengar tentang suhu dan tahap kelembapan, dan langsung tidak pernah membayangkan dirinya berada di Singapura.

“Jadi apabila beliau tiba-tiba menghantar mesej, kami turut terkejut dan memutuskan untuk membantunya berjalan-jalan memandangkan masa lawatannya singkat,” tambah Cik Liyana.

Ketika dihubungi BH menerusi akaun Instagramnya, Cik Schmidt yang masih menetap di Perancis berkata beliau amat berterima kasih apabila pasangan itu datang menjemputnya di lapangan terbang sebaik sahaja beliau tiba di Singapura.

“Saya merasakan Singapura sangat menarik – ia merupakan gabungan budaya dan bahasa yang begitu unik.

“Saya sangat terharu apabila mereka membawa saya ke pelbagai tempat makan yang menarik. Saya mencuba banyak hidangan yang mungkin tidak akan saya cuba jika tidak diperkenalkan,” katanya.

Cik Schmidt turut mengakui beliau mencuba durian buat kali pertama, walaupun pengalaman itu mungkin tidak akan diulanginya.

“Saya sudah mencubanya, cukup itu sahaja,” katanya sambil ketawa.

Menurut Cik Schmidt, aktiviti yang paling digemarinya sepanjang berada di Singapura ialah lawatan ke Fort Siloso kerana minatnya terhadap sejarah.

“Sejujurnya, saya tetap akan menyukai Singapura walaupun tanpa kehadiran keluarga ini untuk membawa saya berjalan-jalan. Namun (tanpa mereka) saya tidak akan mempunyai penghargaan yang mendalam terhadap makanan, budaya dan layanan mesra penduduk negara itu,” katanya yang tersentuh dengan kebaikan keluarga tersebut.

Dalam video yang dikongsikannya, Cik Schmidt turut merakam detik-detik beliau menikmati makanan tempatan seperti mi soto, sate dan pelbagai hidangan lain.

View post on Instagram
 

Ruang komen pula dipenuhi pujian terhadap pasangan tersebut yang disifatkan sebagai mesra dan pemurah, sekali gus mencerminkan nilai keramahan masyarakat Asia.

“Ini sikap biasa warga Singapura. Kami sangat mesra dan suka menyambut tetamu. Dan apabila kami berkata, ‘Jika suatu hari nanti awak ke Singapura, beritahu kami,’ kami benar-benar maksudkannya. Semoga anda menikmati masa yang sangat indah di sini,” tulis seorang pengguna Instagram, @nina_sheri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg