Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga S’pura buka perniagaan ladang kambing di Kalimantan
Ambil peluang ingin pelajari perkara baharu, ingin tawar khidmat akikah dan ibadah korban
Warga S’pura buka perniagaan ladang kambing di Kalimantan
Tanpa pengalaman dalam bidang penternakan, seorang warga Singapura berusia 28 tahun menggunakan wang simpanan peribadinya untuk memulakan perniagaan ladang kambing di Kalimantan Barat, Indonesia.
Encik Muhammad Hakim Roslee, pegawai penglibatan digital di Masjid Al-Istighfar di Pasir Ris, berharap perniagaan itu dapat berkembang sehingga memberinya kebebasan kewangan untuk menumpukan lebih banyak masa kepada usaha dakwah.
“Saya melihatnya sebagai satu peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu, meneroka bidang perniagaan yang berbeza dan membina sebuah perniagaan yang berpotensi untuk berkembang pada masa hadapan.
“Matlamat jangka panjang saya adalah untuk membina perniagaan yang berjaya supaya saya mempunyai kebebasan kewangan untuk terus menyampaikan dakwah tanpa terlalu bergantung pada pendapatan atau habuan daripada usaha dakwah tersebut,” kata Encik Hakim apabila dihubungi Berita Minggu (BM) baru-baru ini.
Idea itu tercetus pada awal Jun apabila seorang rakannya memberitahu bahawa pemandunya di Indonesia mempunyai sebidang tanah kosong yang boleh digunakan untuk membina kandang kambing.
Tertarik dengan cadangan tersebut, Encik Hakim bersetuju untuk mengusahakan perniagaan tersebut bersama rakannya dan seorang rakan kongsi di Indonesia, meskipun enggan mendedahkan jumlah modal yang dilaburkan.
Mengimbau kembali dorongan awalnya, Encik Hakim berkata beliau sudah lama berhasrat menceburi bidang perniagaan tetapi belum menemui peluang yang sesuai.
Beliau turut mendapat inspirasi daripada kejayaan anak muda Melayu/Islam tempatan yang berkongsi kisah kejayaan perniagaan di TikTok.
“Melihat kejayaan mereka membuatkan saya terinspirasi dan terdorong untuk mencuba sesuatu yang baharu,” kata bapa yang baru menimang cahaya mata sulungnya pada September lalu.
Walaupun pada awalnya ibu bapanya bimbang dengan keputusan memulakan perniagaan di luar negara, mereka mula menerima keputusan itu selepas beliau menjelaskan perancangan serta tujuan usaha berkenaan.
Selepas mengambil masa sekitar dua bulan untuk mendapatkan bahan binaan, membandingkan harga dan mencari tenaga kerja sebelum ladang itu yang dinamakan The Shepherd Council, mula beroperasi pada hujung Ogos lalu.
Setakat ini, perniagaan tersebut mempunyai sekitar 15 ekor kambing dewasa untuk perkhidmatan akikah, manakala 25 ekor anak kambing sedang dibesarkan untuk dijual bagi ibadah korban.
Perkhidmatan akikah mereka dijangka dilancarkan secara rasmi menjelang November.
Dalam perniagaan itu, Encik Hakim bertanggungjawab terhadap pemasaran dan penghasilan kandungan digital, sementara rakannya menguruskan perancangan perniagaan dan logistik.
Rakan kongsi mereka di Indonesia pula mengendalikan operasi harian dan penjagaan ternakan.
Mengulas cabaran yang dihadapi, Encik Hakim berkongsi bahawa antara cabaran utama adalah menguruskan kos operasi.
Ini khususnya makanan ternakan dan pembelian kambing, sambil memastikan harga perkhidmatan kekal berpatutan tanpa mengabaikan kebajikan haiwan.
“Urusan pemindahan wang ke Indonesia yang kadangkala lewat serta perbezaan dialek dan penggunaan bahasa Melayu juga boleh menimbulkan kekeliruan ketika membincangkan hal operasi dan pengurusan,” tambah beliau lagi.
Selain itu, keadaan jerebu yang melanda kawasan Kalimantan baru-baru ini turut memberi kesan kepada operasi ladang ternakan tersebut.
“Semestinya ladang kambing kami turut terjejas akibat jerebu. Namun, keadaannya tidak seteruk seperti di Kalimantan Tengah,” kata Encik Hakim.
Mujur, pasukan di Indonesia mempunyai pengalaman untuk memastikan kesihatan serta kebajikan kambing sentiasa terpelihara.
Bagi menangani isu jerebu, beliau berkata pasukan di Indonesia mengambil langkah berjaga-jaga dengan memberikan ubat serta penjagaan kesihatan yang diperlukan bagi memastikan ternakan kekal sihat sepanjang tempoh jerebu.
Mengenai aspek keagamaan pula, Encik Hakim sedar pentingnya pematuhan syarat syarak bagi perkhidmatan yang ditawarkan.
“Sebagai seorang asatizah, saya dan rakan kongsi amat menitikberatkan pematuhan terhadap syarat syariah bagi ibadah akikah dan korban.
“Kami akan memastikan umur kambing diperiksa semasa pembelian supaya memenuhi kriteria yang ditetapkan dalam Islam.”
Beliau juga merancang untuk mengunjungi ladang tersebut beberapa kali setahun khususnya menjelang Hari Raya Haji, bagi memastikan operasi berjalan lancar dan mengikut garis panduan agama.
Dalam jangka panjang, Encik Hakim berharap dapat menambah bilangan ternakan dan membekalkan kambing kepada asatizah lain yang menawarkan perkhidmatan akikah dan korban.
“Saya berharap usaha ini bukan sahaja dapat mengembangkan perniagaan kami, malah dapat menyokong usaha dakwah dan memudahkan masyarakat Islam melaksanakan ibadah akikah dan korban,” ujar beliau lagi.
“
“Saya melihatnya sebagai satu peluang untuk mempelajari sesuatu yang baharu, meneroka bidang perniagaan yang berbeza dan membina sebuah perniagaan yang berpotensi untuk berkembang pada masa hadapan. Matlamat jangka panjang saya adalah untuk membina perniagaan yang berjaya supaya saya mempunyai kebebasan kewangan untuk terus menyampaikan dakwah tanpa terlalu bergantung pada pendapatan atau habuan daripada usaha dakwah tersebut.”