SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Waspada berita palsu: Hisyam Hamid, Haslinda Ali jadi mangsa penipuan

Waspada berita palsu: Hisyam Hamid, Haslinda Ali jadi mangsa penipuan

Apr 7, 2026 | 3:20 PM

Waspada berita palsu: Hisyam Hamid, Haslinda Ali jadi mangsa penipuan

Sebuah laman web palsu meniru antaramuka platform berita tempatan, Channel News Asia (CNA) telah menghasilkan berita palsu berkenaan artis tempatan, Hisyam Hamid.
Sebuah laman web palsu meniru antaramuka platform berita tempatan, Channel News Asia (CNA) telah menghasilkan berita palsu berkenaan artis tempatan, Hisyam Hamid. - Foto TANGKAP LAYAR BERITA PALSU

Pelakon popular, Hisyam Hamid, menjadi mangsa terbaru taktik penipuan ‘celebrity bait’ selepas sebuah laman web palsu dikesan menyalahgunakan wajah beliau dengan meniru antaramuka platform berita, Channel News Asia (CNA).

Laman web tersebut menyebarkan dakwaan palsu bahawa Hisyam kononnya menguruskan portfolio pelaburan bernilai lebih $15 juta ketika prosiding penceraiannya sedang berlangsung.

Selain itu, artikel berkenaan turut memaparkan tangkap layar penyata bank dan fakta yang tidak benar mengenai aset dan kewangan Hisyam yang memperdaya orang ramai.

Laman palsu itu hanya membolehkan pembaca membaca artikel, tetapi semua butang dan fungsi lain, seperti carian, tidak boleh diklik.

Ini antara bukti ia adalah laman penipuan.

Artikel bertajuk “Perceraian Kontroversi Hisyam Hamid: Mengapa Sistem Kehakiman Singapura Tidak Boleh Merampas $15 Juta?” mendakwa rekod kewangan penuh Hisyam sepanjang perkahwinan menunjukkan akaun peribadinya menerima jumlah luar biasa $90,000 hingga $120,000 sebulan tanpa pengetahuan bekas isterinya, Cik Rosmawati Hanafi.

Ketika dihubungi, pelakon kelahiran Singapura yang membintangi filem La Luna itu berkata beliau menyedari akan berita palsu itu selepas beberapa pengikut menghantar pautan atau artikel mencurigakan tersebut kepadanya melalui Instagram.

Pada mulanya beliau menganggap ia berita palsu biasa, tetapi apabila lebih ramai berkongsi termasuk bekas isterinya yang menyediakan tangkap layar, beliau menyedari perkara itu lebih serius.

“Laporan polis sudah dibuat dan saya menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa.

“Saya risau bahawa sesetengah orang, terutamanya golongan tua, mungkin mempercayai dakwaan palsu tersebut. Contohnya, seorang wanita warga emas menghubungi saya di Instagram, seolah-olah yakin dengan maklumat yang salah dalam artikel itu,” katanya yang berusia 40 tahun.

Hisyam turut menekankan kepentingan berhati-hati dengan maklumat di media sosial dan sentiasa memeriksa sumber.

Kandungan yang mengelirukan boleh kelihatan sahih, seperti artikel palsu menyerupai portal berita terkenal tetapi menggunakan pautan berbeza, atau menunjukkan dokumen seperti penyata bank yang bukan milik sebenar individu tersebut.

Beliau menyeru agar masyarakat lebih sedar tentang penipuan sebegini, terutama golongan tua, dan membantu mereka mengenal pasti berita palsu atau penipuan dalam talian.

“Jangan terus percaya apa yang dibaca atau dilihat di media sosial.

“Kita perlu meningkatkan kesedaran tentang kandungan sebegini, terutamanya bagi warga emas,” ujar beliau.

Baru-baru ini juga, pempengaruh tempatan Cik Haslinda Ali menjadi sasaran penipuan apabila ada yang menggunakan nama dan gambar beliau bersama suami, Encik Sujimy Mohamad dalam satu akaun Facebook palsu.

Baru-baru ini Encik Sujimy Mohamad dan isteri, Cik Haslinda Ali turut menjadi sasaran penipuan yang menggunakan nama dan gambar mereka untuk menipu netizen di Facebook.
Baru-baru ini Encik Sujimy Mohamad dan isteri, Cik Haslinda Ali turut menjadi sasaran penipuan yang menggunakan nama dan gambar mereka untuk menipu netizen di Facebook. - Foto FAIL

Akaun tersebut turut mengandungi gambar-gambar janaan kecerdasan buatan (AI) beliau dan suami dalam mempromosi barangan berjenama yang boleh didapati dengan harga yang teramat murah.

Beliau menasihati pengikutnya supaya memastikan akaun media sosial adalah sahih sebelum mempercayai sebarang kandungan.

“Terdapat satu akaun menggunakan gambar saya tetapi tiada pengikut. Itu sendiri sudah sepatutnya menjadi tanda amaran. Jika diperhatikan dengan dekat, bukan semua gambar itu adalah wajah saya, sebahagiannya adalah dihasilkan oleh AI,” jelas personaliti pemasaran digital itu.

Beliau menambah bahawa kerana mereka adalah wajah yang dikenali umum dan terlibat dalam perniagaan produk serta perkhidmatan, orang ramai mudah mempercayai bahawa mereka sedang ‘menjual’ sesuatu.

Bagaimanapun, ibu tiga orang anak itu menekankan bahawa semua produk dan perkhidmatan rasmi hanya dijual melalui laman web rasmi mereka, iaitu ‘kedai.sujimy.com’ dan ‘fitfab.sg’, sebagai cara pengesahan.

Cik Haslinda juga menyatakan bahawa pengikut rapatnya tahu bahawa cara beliau menulis di media sosial biasanya dalam bahasa Inggeris, terutamanya di Facebook, kerana ramai pengikutnya tidak bertutur dalam bahasa Melayu.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg