Ramai mengatakan yang jiran adalah antara faktor penting yang harus diambil kira apabila ingin membeli rumah.
Antara mereka yang bernasib baik mempunyai jiran baik ialah Cik Asmah Devi yang amat beruntung kerana telah ditemukan bersama tiga orang jiran yang menjadi sahabatnya.
Dalam gambar kiriman Cik Asmah, beliau berkongsi bahawa persahabatan selama 29 tahun ini terjalin apabila Cik Asmah berpindah ke estet perumahan barunya di Jurong West St 74 pada tahun 1995.
Di sinilah timbulnya detik-detik pertama pertemuan Cik Asmah dengan jiran-jirannya, Cik Lim Mei Fang, Cik K.Selvarani, dan Cik Lam Yoke Lan Anna.
Lama-kelamaan, persahabatan mereka semakin mesra apabila mereka banyak mengharungi pahit manis sebagai wanita bergelar ibu dan saling memahami cabaran-cabaran yang dilalui.
Cik Asmah mengimbau kembali saat Cik Anna sedang mengandung dengan anak keempatnya dan anak lelakinya tidak henti menangis.
“Satu malam itu, saya bawa anak Anna ke rumah saya, jaga dia sampailah dia tidur, nyenyak sekali...Kami selalu menolong satu sama lain di saat bantuan amat diperlukan,” kenang beliau.
Ternyata inilah sifat bergotong-royong sesama jiran bak kata pepatah jiran sepakat membawa berkat.
Hinggalah ke hari ini, walaupun mereka tidak lagi menetap di Jurong, hubungan mereka masih rapat dan meluangkan masa bersama seperti menyambut hari lahir bersama dan menghadiri sambutan majlis perkahwinan anak Cik Selvarani.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg