Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ada yang persoal namun pengalaman meluas politik Tharman jadi kekuatannya

Jul 29, 2023 | 5:30 AM
BERPENGALAMAN DEKATI MASYARAKAT UMUM: Encik Tharman Shanmugaratnam (kanan) dan isteri, Cik Jane Ittogi (dua dari kanan) bergambar dengan warga Singapura di estet kejiranan Teck Whye. Pengalaman Encik Tharman sebagai ahli politik selama lebih dua dekad membuatnya lebih dikenali orang awam berbanding dua pesaingnya.
BERPENGALAMAN DEKATI MASYARAKAT UMUM: Encik Tharman Shanmugaratnam (kanan) dan isteri, Cik Jane Ittogi (dua dari kanan) bergambar dengan warga Singapura di estet kejiranan Teck Whye. Pengalaman Encik Tharman sebagai ahli politik selama lebih dua dekad membuatnya lebih dikenali orang awam berbanding dua pesaingnya. - Foto ST

Apabila bercakap tentang calon Presiden, pengalaman seseorang individu dalam politik boleh dianggap sebagai kekuatannya. Apatah lagi seseorang yang memiliki pengalaman selama 22 tahun menyandang pelbagai jawatan Kabinet.

Apakan tidak, hal tersebut memberinya pemahaman yang mendalam tentang bagaimana pemerintah berfungsi dan cara dasar-dasar dilakar – pengetahuan yang cukup diperlukan sebagai Presiden.

Oleh itu, dari sudut pandangan tersebut, mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, merupakan calon yang mempunyai kelebihan berbanding dua pesaingnya yang tidak mempunyai apa-apa pengalaman politik, kata para penganalisis.

Namun, pada masa yang sama, kelebihan ini juga boleh bertukar menjadi kekurangan, kata mereka, terutama apabila pertalian politik dan hubungan rapat dengan pemerintah ditimbulkan sebagai kelemahan oleh pesaingnya.

Pengamat politik dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Dr Felix Tan, berkata sukar bagi warga Singapura untuk tidak mengaitkan Encik Tharman dengan bekas parti politik yang dianggotainya selama lebih dua dekad.

“Bagi Encik Tharman, berapa banyak kali pun beliau bercakap bahawa beliau bebas daripada mana-mana parti politik, adalah sukar bagi warga Singapura untuk tidak mencari kaitan antara dirinya dengan parti yang pernah disertainya.

“Ramai masih akan melihatnya sebagai (seseorang) yang datang dari jentera PAP (Parti Tindakan Rakyat), melainkan jika warga Singapura cukup arif,” ujar Dr Tan kepada Berita Harian (BH).

Penolong Profesor Elvin Ong di jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS), berkata perikatan politik Encik Tharman boleh menjadi “kelemahan nyata”.

Jelas Prof Ong: “Kelemahan nyata Encik Tharman ialah beliau pernah merupakan ahli politik PAP.

“Dari sudut pandangan ini, beliau akan kehilangan undi daripada satu segmen pengundi yang tidak menyokong PAP.”

Dua tokoh lain yang melahirkan hasrat untuk bertanding di Pilihan Raya Presiden, mantan ketua pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song dan usahawan, Encik George Goh, secara berasingan telah menampilkan pertalian Encik Tharman dengan parti pemerintah sebagai perkara yang bertentangan dengan kehendak warga Singapura.

Bercakap kepada akhbar ini pada Khamis, Encik Ng berkata warga Singapura mahukan keseimbangan dalam pemerintahan era baru, di mana presiden tidak terbabit dalam politik dan tiada kaitan politik.

Merujuk kepada Encik Tharman, Encik Goh pula berkata seseorang yang berada selama dua dekad dalam politik dan sektor awam tidak akan dapat memutuskan talian itu dengan begitu mudah.

Mereka berkata demikian sebagai respons kepada hujah Encik Tharman pada awal minggu, di mana beliau berkata beliau berfikiran bebas dan boleh berkhidmat mengatasi sebarang pertalian politik yang dimilikinya.

Encik Tharman telah mengundur diri daripada jawatan Menteri Kanan dan meletak jawatan daripada PAP pada 7 Julai, selepas beliau melahirkan hasrat bertanding di Pilihan Raya Presiden.

Encik Tharman juga meminta supaya warga menilai keupayaannya berdasarkan rekod prestasinya.

Menjawab pertanyaan BH, Dr Tan akur kekuatan Encik Tharman tetap “pengalaman politik dan pengiktirafan antarabangsanya”.

“Beliau telah membuktikan bahawa beliau seorang yang boleh tetap tenang dalam keadaan getir. Beliau juga mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang cara pemerintah berfungsi – sesuatu yang bermanfaat sebagai Presiden,” kata Dr Tan.

Di dalam dan luar negara, reputasi Encik Tharman juga tiada tolok bandingnya, kata Prof Ong yang berkata hakikat ini boleh membantu beliau mendapatkan sokongan pengundi.

“Kekuatan Encik Tharman ialah beliau merupakan ahli politik yang sangat dikagumi di dalam dan luar negara.

“Kedudukan domestiknya terkenal, reputasi antarabangsanya juga cemerlang setelah berkhidmat di banyak organisasi antarabangsa,” kata Prof Ong.

Bahkan, beliau menjangkakan Encik Tharman mungkin akan memenangi majoriti undian.

Jelasnya: “Hampir tiada penyelidikan sains politik yang teliti mengenai pendapat dan tingkah laku pengundi sekitar pilihan raya presiden... tetapi penyelidikan sedia ada mengenai pilihan raya parlimen mencadangkan bahawa peramal terbaik dalam variasi bahagian undi adalah persepsi terhadap kredibiliti parti politik.

“Jika kita mengekstrapolasi perkara ini kepada pilihan raya presiden, kita patut menjangkakan pengundi PAP cenderung untuk mengundi mantan Timbalan Perdana Menteri Tharman, dan pengundi pembangkang cenderung untuk mengundi George Goh.

“Memandangkan daya tarikan Encik Tharman yang meluas, kita patut menjangkakan beliau akan memenangi undi majoriti pengundi sederhana juga,” ulas Prof Ong.

Encik Tharman pernah berkhidmat antara lainnya sebagai Menteri Penyelaras bagi Dasar Sosial (2015 hingga 2023), Timbalan Perdana Menteri (2011 hingga 2019), Menteri Kewangan (2007 hingga 2015) dan Menteri Pendidikan (2003 hingga 2008).

Beliau juga telah mengetuai pelbagai majlis dan panel antarabangsa peringkat tinggi termasuk berbakti dengan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF), Kumpulan 20 (G20), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kumpulan 30 (G30) dan Forum Ekonomi Sedunia (WEF).

“Beliau sebagai presiden dapat membantu meningkatkan kedudukan Singapura di mata dunia,” kata Prof Ong.

Dalam pada itu, pengamat berbelah bagi tentang sama ada faktor lain seperti bangsa akan menjejas sokongan pengundi.

Sebagai satu-satunya bakal calon yang datang daripada bangsa minoriti, mungkinkah peluang Encik Tharman terjejas oleh pengundi yang masih memandang pada warna kulit?

Dr Tan berkata: “Akan selalu ada mereka yang melihat pada faktor-faktor ini dalam setiap calon. Kita hanya boleh berharap bahawa kita telah melampaui politik perkauman, meskipun itu mungkin sukar di Singapura dan banyak negara lain.”

Namun, diplomat veteran dan Pengerusi, Jawatankuasa Kebajikan, Persatuan India Singapura, Encik K. Kesavapany, berpendapat sebaliknya.

“Saya rasa kita telah melepasi peringkat di mana bangsa memainkan peranan dalam persaingan Presiden,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg