Aku memancing lautan fana
Bermatakailkan tanda tanya
Air berkocakan di ufuk sana
Kusentak... elipis hanya
Aku menjolok gugus kejora
Bergalahkan tanda koma
Bimasakti berpusar gelora
Kutarik... noktah cuma
Kemudian kususun tanda pagar
Buat mengurung memori sedetik
Namun tertangkap hanya sekadar
Asterisk di dalam tanda petik
Aku menusuk awan Masa
Bertombakkan tanda seru
Dihujani ribut usia dewasa
Kukuyup... waktu menderu
Mohamed Naguib Ngadnan


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg