Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Antara Taylor Swift, Michael Jackson dan 2 penyanyi lagu ‘Malam’

Jul 16, 2023 | 5:30 AM
JADI KEGILAAN: Taylor Swift menarik perhatian baru-baru ini setelah lebih sejuta peminatnya di rantau ini berebut untuk mendapatkan tiket konsertnya di sini.
JADI KEGILAAN: Taylor Swift menarik perhatian baru-baru ini setelah lebih sejuta peminatnya di rantau ini berebut untuk mendapatkan tiket konsertnya di sini. - Foto UNIVERSAL MUSIC

Penyanyi asal Amerika Syarikat Taylor Swift menjadi topik ‘trending’ di Singapura sejak beberapa minggu lepas, sedang lebih sejuta peminat di rantau ini berebut mendapatkan tiket konsertnya yang bakal diadakan di sini.

Populariti penyanyi berusia 33 tahun itu – yang antara lain dikenali dengan lagu putus cinta bersama beberapa selebriti lelaki – hangat diperkatakan hingga ada ‘meme’ yang membincangkan apakah Swift boleh dianggap setaraf dengan Michael Jackson.

Dengan pantas, peminat muzik era ‘80-an dan ‘90-an mempertahankan Raja Pop yang meninggal dunia pada 2009. Ramai peminat menarik perhatian nama Jackson yang mekar di seluruh pelosok dunia tanpa bantuan media sosial.

Bak kata seorang pengguna media sosial: “Lagu (Michael Jackson) cukup dikenali walaupun di bandar terpencil di seluruh media. Beliau dapat melakukannya sebelum era media sosial.”

Sebelum peminat Taylor Swift, yang menggelar diri mereka Swifties marah, saya perlu menambah bahawa hakikatnya, muzik ialah sesuatu perkara yang agak subjektif untuk membuat kesimpulan muktamad.

Muzik juga mencerminkan cita rasa dan keprihatinan zaman dan generasi berbeza.

Tidak hairanlah lagu seperti Shake It Off (2014) mengenai masalah harian yang dihadapi remaja lebih dekat di hati peminat muzik Taylor Swift, berbanding lagu Heal the World (1992), dikeluarkan 22 tahun sebelumnya dengan mesej antipeperangan yang mungkin sukar dihayati generasi hari ini.

Dalam dunia muzik Melayu pula, perubahan cita rasa muzik dari generasi ke generasi turut mendapat perhatian warganet yang menarik perhatian perbezaan lirik dua lagu ‘Malam’ – Malam oleh M. Nasir dan Malampagi oleh artis baru di Malaysia, Saisxe.

Lagu Malam oleh M Nasir yang dihasilkan pada 2002 dan turut dipopularkan oleh kumpulan Search, berbunyi:

“Malam

Bila rinduku bertambah dalam

Kau datang lagi dengan kenangan

Oh betapa dinginnya malam ini

Kasih

Bila malamku bertambah kelam

Seribu kisah melintas mata

Dan malam ini sungguh mencengkam”

Selang 20 tahun kemudian, lagu Malam oleh Saixse, seorang artis R&B/Soul, pula diterbitkan dengan liriknya berbunyi:

“Malam

Masih muda

Asal kau duduk macam tak buat apa

Bazir masa nak fikir tentang cinta

Yea aku sakit

Aku healing sampai pagi tak balik”.

Begitu jelas perbezaan antara seni kata dua lagu itu, sedang kededuanya juga menggambarkan tentang perasaan yang mencengkam di waktu malam.

Namun, kededua lagu itu tetap menjadi siulan pendengar peminat masing-masing.

Oleh itu, langkah membanding-bandingkan karya dari generasi ke generasi lain mungkin satu perkara yang sia-sia jika tujuannya tidak jelas.

Pun begitu, banyak perkara yang mungkin boleh dipelajari daripada lagu-lagu lama yang kekal malar segar hingga hari ini; tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Itulah yang mungkin belum terbukti daripada lagu-lagu yang datang kemudian.

Seperti yang ditulis seorang pengguna media sosial dalam ruang komen: “Dulu nak buat lagu, letak jiwa dalam lagu tu... sebab tu lagu dulu sampai sekarang orang masih dengar.”

Itulah akhirnya yang akan menjadi kayu ukur kehebatan lagu itu – sejauh mana ia sampai ke jiwa pendengar, berzaman setelah ketiadaan penyanyi itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg