Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Askar upahan Wagner: Daripada kawan perang jadi lawan Russia

Jun 30, 2023 | 05:30 AM



Konfrontasi yang dilakukannya begitu mengujakan Barat, terutamanya Amerika Syarikat dan negara-negara sekutu selain anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Bagaimanapun, ‘kegarangan’ ketua kumpulan askar upahan Wagner, Encik Yevgeny Prigozhin, kendur apabila tidak sampai 36 jam membuat ancaman yang tentera upahannya akan berarak ke Moscow, beliau pantas bersetuju untuk menghentikan kemaraannya.

Menurut Encik Prigozhin pada masa itu, matlamatnya adalah untuk mengusir Menteri Pertahanan Russia – satu tindakan yang mencetuskan kemarahan Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, yang berjanji akan menghukum mereka yang telah “mengkhianati” Russia.

Kremlin bagaimanapun memilih untuk tidak menangkap atau mendakwa apalagi membunuhnya, mahupun memerangi askar yang setia pada pemimpin yang menjadi kaya raya hasil kontrak makanan yang disokong Moscow itu.

Sebaliknya, hasil rundingan yang dijalankan antara Presiden Belarus, Encik Alexander Lukashenko, Encik Prigozhin, 62 tahun, bersetuju menjalani hidup dalam buangan di negara sekutu Russia itu, manakala tentera upahannya ditawarkan pilihan untuk menuruti langkahnya ke Belarus ataupun diserapkan ke dalam tentera Russia, lapor BBC.


Masih tidak jelas sama ada Encik Prigozhin akan kekal bertanggungjawab ke atas gerombolan askar upahannya dan – jika ya – di mana mereka akan berpangkalan.

Kumpulan Wagner ialah tentera upahan swasta yang bertempur bersama tentera Russia di Ukraine. Dianggarkan puluhan ribu askar Wagner mengambil bahagian.

Kumpulan itu menggambarkan dirinya sebagai “syarikat tentera swasta”, tetapi pemerintah Russia telah mengambil langkah yang dilihat sebagai percubaan mengekangnya.

Apakah Kumpulan Wagner dan siapa yang memperjuangkannya?

Menurut BBC, Kumpulan Wagner (secara rasmi dipanggil PMC Wagner) mula dikenali pada 2014, apabila ia menyokong pasukan pemisah pro-Russia di timur Ukraine.


Ketika itu, ia adalah sebuah pertubuhan rahsia, kebanyakannya beroperasi di Afrika dan Timur Tengah dan diperkirakan hanya mempunyai kira-kira 5,000 pejuang – kebanyakannya veteran rejimen elit dan pasukan khas Russia.

Sejak itu, ia telah berkembang dengan begitu ketara.

“Wagner kini hampir pasti mempunyai 50,000 pejuang di Ukraine dan telah menjadi komponen utama kempen terhadap Ukraine,” kata Kementerian Pertahanan United Kingdom pada Januari.

Ia berkata pertubuhan itu mula merekrut dalam jumlah yang besar pada 2022 kerana Russia menghadapi masalah merekrut askar.

Sekitar 80 peratus askar Wagner di Ukraine telah dikeluarkan dari penjara, kata Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat pada awal tahun ini.

Meskipun tentera upahan adalah pertubuhan haram di Russia, Kumpulan Wagner mendaftar sebagai sebuah syarikat pada 2022 dan membuka ibu pejabat di Saint Petersburg.

“Ia secara terbuka merekrut di bandar-bandar Russia menerusi papan iklan dan media Russia menyifatkannya sebagai pertubuhan patriotik,” kata Dr Samuel Ramani, dari badan pemikir Institut Perkhidmatan Diraja.

Apakah yang dilakukan oleh Kumpulan Wagner di Ukraine?

Kumpulan Wagner banyak terlibat dalam usaha Russia menawan bandar Bakhmut, di timur Ukraine.

Tentera Ukraine berkata pejuang kumpulan itu dikerah dalam jumlah besar di kawasan terbuka, dengan ramai yang terbunuh akibatnya.

Pada mulanya kementerian pertahanan tidak menyebut bahawa Kumpulan Wagner terlibat dalam pertempuran itu. Bagaimanapun, ia kemudiannya memuji tentera upahannya kerana “berani dan tidak mementingkan diri”.

Bagaimanakah Kumpulan Wagner dimulakan?

Siasatan BBC ke atas Kumpulan Wagner menonjolkan pelibatan bekas pegawai tentera Russia, Encik Dmitri Utkin.


Seorang veteran perang Russia di Chechnya, beliau dianggap sebagai komander utama medan perang Wagner dan telah menamakan kumpulan itu sempena bekas tanda panggilan radionya.

Pemimpin sekarang ialah Encik Prigozhin, seorang ahli perniagaan kaya yang digelar “cef Putin” kerana beliau menyediakan katering untuk Kremlin.

“Operasi pertama Kumpulan Wagner ialah membantu Russia memisahkan Crimea (daripada Ukraine) pada 2014,” kata Tracey German, profesor konflik dan keselamatan di King’s College London.

Pada minggu-minggu sebelum pencerobohan Russia ke atas Ukraine, Wagner dikatakan melakukan serangan “bendera palsu” sebagai alasan untuk Kremlin melakukan pencerobohan.

Bagaimanakah Wagner bertempur dengan komander tentera Russia?

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, Encik Prigozhin berulang kali menuduh Menteri Pertahanan Russia, Encik Sergei Shoigu dan ketua tentera Russia di Ukraine, Encik Valery Gerasimov, tidak cekap dan sengaja mengurangkan bekalan kepada unit Wagner ketika mereka bertempur di Ukraine.

Kementerian pertahanan Russia telah mengarahkan syarikat seperti Wagner menandatangani kontrak untuk menyertai pasukan tentera Russia menjelang akhir Jun.

Kumpulan Wagner tidak dinamakan dalam pengumuman itu, tetapi langkah tersebut dilihat sebagai percubaan Moscow untuk meningkatkan kawalan ke atasnya.

Encik Prigozhin mengeluarkan kenyataan berang yang mengisytiharkan tenteranya akan memboikot kontrak itu.

Konfrontasi memuncak pada 23 Jun apabila Encik Prigozhin menuduh pegawai tertinggi pertahanan Russia mengebom askar Wagner di Ukraine, mengakibatkan sejumlah besar kematian.

Beliau tidak memberikan butiran lanjut, tetapi sehari kemudian tenteranya meneruskan rancangan untuk merebut kawalan ibu pejabat tentera di bandar Rostov-on-Don di selatan Russia dan terus menepis ancaman untuk berarak ke Moscow untuk menyingkirkan kepimpinan tentera.

Pada satu ketika, tentera Wagner dikatakan semakin hampir ke Moscow tanpa menghadapi sebarang tentangan kerana Encik Putin mengarahkan langkah-langkah keselamatan diperketat di seluruh ibu negara itu dan tempat lain.

Bagaimanapun, peningkatan dramatik itu nampaknya mengarah kepada kemungkinan berlakunya konfrontasi, lantas Encik Prigozhin membatalkan tindakan ketenterannya dan mengumumkan bahawa beliau telah bersetuju untuk meninggalkan Russia, berikutan proses pengantaraan oleh Presiden Belarus, Encik Alexander Lukashenko.

Perjanjian itu, Kremlin kemudiannya mengesahkannya, termasuk ikrar akan menghentikan pendakwaan terhadap pemimpin Wagner dan askar yang mengambil bahagian dalam apa yang disebut Moscow sebagai pemberontakan.

Di manakah lagi Kumpulan Wagner beroperasi?

Sejak 2015, askar upahan Kumpulan Wagner telah berada di Syria, berjuang bersama pasukan propemerintah dan menjaga loji minyak.

Terdapat juga tentera kumpulan itu yang menyokong pasukan pimpinan Jeneral Khalifa Haftar.

Republik Afrika Tengah (CAR) telah mengundang Kumpulan Wagner untuk menjaga lombong berlian tetapi sebenarnya menjaga lombong emas di Sudan.

Kerajaan Mali, di Afrika Barat, menggunakan Kumpulan Wagner terhadap kumpulan militan Islam.

Encik Prigozhin dikatakan menjana wang daripada operasi Kumpulan Wagner ini.

Perbendaharaan Amerika mendakwa beliau menggunakan kehadirannya untuk memperkaya syarikat perlombongan miliknya dan telah mengenakan sekatan ke atasnya.

Apakah jenayah yang didakwa dilakukan Kumpulan Wagner?

Pada Januari, seorang bekas komander menuntut suaka di Norway selepas meninggalkan pakaian tentera upahan. Beliau mendakwa telah menyaksikan jenayah perang di Ukraine.

Tiga askar upahan Kumpulan Wagner didakwa oleh pendakwa raya Ukraine kerana membunuh dan menyeksa orang awam berhampiran Kyiv pada April 2022, bersama tentera Russia.

Perisikan Jerman mengesyaki tentera upahan Wagner mungkin juga membunuh orang awam di Bucha pada Mac 2022.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pemerintah Perancis menuduh anggota Wagner melakukan kegiatan merogol dan merompak orang awam di Republik Afrika Tengah.

Pada 2020, tentera Amerika menuduh tentera upahan Wagner menanam periuk api dan alat letupan buatan lain di dalam dan sekitar ibu negara Libya, Tripoli.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >