Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Beranikan diri sertai bidang didik awal kanak-kanak selepas 14 tahun kerja dalam khidmat pelanggan

Selain memastikan anda terus memahirkan diri, pembelajaran sepanjang hayat juga boleh memperkukuh kedudukan anda dalam pasaran kerja, asalkan anda mempunyai keinginan, tekad dan keyakinan untuk mendakapi konsep tersebut. Ikuti laporan berikut.
May 18, 2021 | 05:30 AM



SELAMA hampir 14 tahun Cik Nur Fazila Abdol Samad bekerja dalam industri perkhidmatan pelanggan.



Namun, setelah kembali daripada cuti bersalin pada tahun lalu ketika pandemik Covid-19 sedang dalam kemuncaknya, Cik Fazila menerima berita yang tidak diduga dan mengejutkan.



Dia, yang ketika itu dikerahkan bertugas di Lapangan Terbang Changi, diberhentikan kerja.



Pekerjaannya terjejas kerana penutupan sempadan dan Singapura pada waktu itu sedang dalam tempoh pemutus litar.



Walaupun fikirannya runsing, Cik Fazila, 34 tahun, tidak putus asa mencari sumber rezeki baru.



Atas saranan seorang rakan, dia memutuskan untuk mencuba kerjaya baru yang berbeza dengan pengalamannya dalam perkhidmatan pelanggan sebelum ini.



Dengan semangat positif, Cik Fazila mula menceburi bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai seorang pelatih penolong pendidik (educarer) di PCF Sparkletots @ Fernvale.



"Saya memang suka dengan kanak-kanak. Kebetulan saya juga baru melahirkan anak perempuan saya dan saya fikir, mengapa tidak saya beri peluang mencuba pekerjaan dalam pendidikan awal kanak-kanak?



"Meskipun industri ini berbeza sekali daripada pengalaman saya sebelum ini, saya cuba fikir secara positif. Jika dulu, pelanggan saya kebanyakannya orang dewasa. Kini sebagai penolong pendidik, 'pelanggan' saya adalah kanak-kanak yang perlu saya jaga dan ajar," kata ibu tiga anak itu.



Sebagai penolong pendidik, Cik Fazila membantu guru utama di dalam kelas. Misalnya, setiap pagi, dia akan menyambut kedatangan kanak-kanak ke prasekolah dan menghidangkan makanan mereka untuk sarapan dan tengah hari.



Dia juga melakukan kegiatan interaktif seperti bermain bersama, membaca buku dan kraf, bersama kanak-kanak itu untuk membangunkan kemahiran kognitif mereka.



Cik Fazila kini sedang mengikuti kursus Sijil Lanjutan dalam Pendidikan Awal Kanak-Kanak di mana dia mempelajari teori dan strategi untuk menyokong pembangunan kanak-kanak.



Antaranya, dia belajar cara memupuk dan memerhatikan seorang kanak-kanak, mengenal pasti apa yang mereka suka dan tidak suka supaya mereka dapat menikmati rutin sekolah setiap hari, dan sebagainya.



Malah, pengetahuan yang ditimbanya itu dapat dia manfaatkan juga di rumah dalam membesarkan tiga anaknya, katanya.



Walaupun seronok meneroka industri baru itu, Cik Fazila mengakui terdapat cabarannya pada mulanya, dengan dia kadang kala tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila seorang kanak-kanak itu meragam.



"Pada mulanya, saya tidak tahu apa yang saya perlu lakukan. Tetapi bila dah belajar, saya berikan mereka ruang untuk menangis dahulu dan kemudian menggunakan strategi yang telah saya pelajari. Setiap hari merupakan satu proses pembelajaran bagi saya," katanya.



Mengimbangi masa antara kerja, sekolah dengan keluarga juga satu lagi cabaran bagi Cik Fazila, namun dia bersyukur mendapat sokongan kukuh dari keluarganya, terutamanya suaminya.



Bagi mereka yang mahu menukar kerjaya, Cik Fazila menasihatkan golongan ini untuk melakukannya dan mempertingkatkan diri mereka.



"Anda perlu beri peluang untuk melakukannya tetapi sokongan dari keluarga juga amat penting agar anda boleh melaluinya dengan lancar. Memang tidak mudah untuk belajar semula, tetapi jika anda tidak cuba, anda tidak akan tahu," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >