Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Dahulu gelandangan, kutip makanan… kini berteduh di rumah sewa hasil bantuan

Jul 09, 2023 | 05:31 AM



Selepas lebih tiga dekad keluar masuk penjara akibat dadah, Cik Puspawati Mohd Sanie enggan lagi terperangkap dalam kancah jenayah dan bertekad membuka lembaran baru dalam kehidupannya.

Namun, wanita itu menghadapi pelbagai hambatan, antaranya ketiadaan tempat berteduh.

Tanpa tempat perlindungan, Cik Puspawati, yang kini berusia 57 tahun, terpaksa berpindah-randah selama setahun pada 2019 – kadangkala tidur di rumah kawan, rumah kakaknya dan pernah juga bergelandangan di Pantai Changi.

“Ia satu keadaan yang amat sukar bagi saya, lebih-lebih lagi ketika itu saya dalam fasa pemulihan dan ingin memulakan hidup baru. Saya pindah-randah, kadang tinggal di rumah kakak atau rumah bapa tetapi saya tidak mahu menyusahkan keluarga saya.

“Pernah juga saya tinggal dalam khemah di Pantai Changi. Di situ, sebenarnya kita tak boleh tidur sembarangan kerana boleh kena saman. Kalau ada makan, saya makanlah. Kalau tak ada makan, saya pergi tong sampah kutip makanan.

“Pada waktu itu, saya takut sekali akan terjerumus kembali ambil dadah dan balik penjara,” cerita Cik Puspawati, yang bersih daripada dadah sejak 2019.

Ini sehingga beliau bertemu pekerja sosial, Cik Zulayqha Zulkifli, yang juga salah seorang pengasas Project Hills – satu daya usaha yang membantu mereka yang kurang bernasib baik dan keluarga yang tinggal di rumah sewa.

Dengan sokongan Cik Zulayqha, Cik Puspawati akhirnya dapat tinggal di rumah sewa satu bilik di kawasan Sembawang sejak sekitar tiga tahun lalu.

“Syukur Alhamdulillah, Zulayqha banyak membantu saya dan saya amat berterima kasih kepadanya,” kata beliau.

Cik Puspawati berkongsi bahawa pada mulanya, Cik Zulayqha membantunya mendapatkan bilik sewa di sebuah flat untuk tinggal buat sementara waktu, namun beliau tidak berasa selesa dan mahukan rumah yang boleh didiaminya sendiri.

Selain sokongan Cik Zulayqha, beliau bertemu dengan Anggota Parlimen (AP) untuk mendapatkan bantuan sehingga berjaya mendapatkan rumah sewa di Sembawang itu.

“Jika tidak kerana Zulayqha dan pihak lain yang membantu, saya rasa mungkin saya akan balik ke penjara atau duduk di tepi jalan,” ujar Cik Puspawati.

Pada masa ini, Cik Puspawati tidak bekerja kerana perlu ulang-alik menjaga bapanya yang menghidap barah perut tahap empat.

Beliau mendapat bantuan daripada Pejabat Perkhidmatan Sosial (SSO) untuk membiayai kos rumah sewanya dan juga bil air lampu.

Bagi perbelanjaan hariannya pula, Cik Puspawati menerima bantuan kewangan sekitar $500 daripada SSO dan lebih $200 daripada Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) setiap bulan.

Meskipun sibuk membantu menjaga bapanya bersama kakak beliau, Cik Puspawati berkata beliau cuba mencari masa melakukan kerja sukarelawan di Institut Kesihatan Mental (IMH) dan pusat pemulihan penagihan We Care Community Services jika ada kelapangan waktu.

Sebagai sukarelawan, beliau memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada bekas pesalah dadah yang sedang menjalani pemulihan supaya mereka tidak kembali terjerumus dalam kegiatan haram itu dan dapat memulakan kehidupan baru dengan baik.

Bagi individu yang mengalami kehidupan yang serupa seperti dirinya dahulu, Cik Puspawati berharap mereka dapat kekal kuat dan tabah serta tidak menyerah kalah dan terus berusaha untuk mengatasi cabaran yang dihadapi.

“Jangan putus asa. Mereka perlu banyak bersabar dan tahan keadaan untuk mengharungi segala cabaran.

“Dengan usaha gigih dan doa, keadaan hidup akan bertambah baik. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya,” kata beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >