Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

‘Menumpang susahkan orang... lebih baik berdikari...’

Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Setiap hari sekitar 11 malam, beliau akan mula mencari ruang yang sesuai untuk dijadikan ‘tempat tidur’.

‘Tilamnya’ pula dibentuk beberapa kotak yang dileperkan dan digabung bagi mengalas tubuh dengan kepala yang berbantalkan tuala yang dilipat.

Menjelang pagi, beliau akan tumpang mandi di salah sebuah masjid berdekatan sebelum ke tempat kerja selepas solat subuh.

Demikian rutin harian Encik Hariz (bukan nama sebenar) sejak mula tidur bergelandangan awal 2023.

“Tempat nak menumpang tu ada, cuma lagi senang dan selesa dengan cari tempat sendiri,” kata Encik Hariz, 63 tahun, yang ditemui Berita Minggu (BM) sekitar tengah malam di sebuah kawasan di timur Singapura yang biasanya cukup sibuk pada waktu pagi.







Menerangkan situasinya, Encik Hariz berkata meskipun tidak pernah memiliki rumah sendiri, beliau telah lama menetap di flat lima bilik milik salah seorang adik-beradiknya di daerah timur.

Beliau kemudian memutuskan mencari flat sewa sendiri sekitar sembilan tahun lalu setelah anak saudaranya berkahwin dan menetap di unit tersebut bersama keluarganya.

“Saya pun rasa tak sedap juga kerana saya tidur di ruang tamu, jadi macam rasa tak selesa dan saya rasa mereka pun kurang selesa,” ujarnya yang kini bertugas sebagai seorang pekerja pembersihan.

Beliau kemudian ditawarkan salah seorang rakan kerjanya untuk menumpang di unit flat satu biliknya dengan membayar sewa $300 sebulan.

Namun tidak lama kemudian, Encik Hariz mendapati bukan hanya beliau yang menumpang di flat tersebut.

“Saya tengok dia bawa pulang beberapa wanita – kebanyakannya berbangsa Indonesia – masuk dan tumpang tinggal di rumah itu.

“Saya tak kisahlah apa yang dia buat, tapi saya memang tak selesa, jadi saya keluar rumah cari tempat tidur lain,” katanya yang pada masa itu masih meninggalkan barangan miliknya di rumah sewa itu.

Sejak itu, tempat beliau tidur malam tidak menentu.

“Janji ada ruang yang tersedia, saya lebih rela tidur di sana.

“Sebelum ini di tempat kerja ada ruang untuk saya tumpang tidur, tapi sekarang saya dah tukar tempat kerja, jadi tak ada ruang lagi.

“Kawasan ini pula dekat dengan tempat kerja,” kata Encik Hariz.

Semasa BM mengunjungi kawasan itu, sekitar empat individu gelandangan lain dilihat tidur di depan kedai yang tutup.

“Yang bagusnya, semasa kita di sini, tak ada orang yang kacau, pasal dia tahu kita tumpang tidur saja di sini,” katanya.

Encik Hariz berkata tumpuannya sekarang adalah untuk terus bekerja selagi terdaya demi menampung kehidupan anak dan isteri yang jauh di mata.

Isteri Encik Hariz, seorang warga Indonesia, dan enam anak pasangan itu kini di Bandung dan hanya bertemu apabila Encik Hariz ke sana setiap beberapa bulan.

Gaji yang dibawa pulang setiap bulan biasanya dibahagi-bahagikan antara keperluan beliau sendiri untuk hidup di Singapura dan keperluan isteri dan anak-anak – berusia antara 12 tahun dengan 26 tahun – antaranya masih bersekolah.

Encik Hariz kini berusaha mendapatkan tempat tinggal sendiri dan telah hubungi beberapa agensi, namun belum mendapatkan sebarang kata putus.

“Kalau boleh, memang naklah rumah sendiri, selesa juga, tapi simpanan CPF agak kurang kerana dulu banyak buat kerja-kerja yang dibayar tunai saja,” kata Encik Hariz.

Beliau meletakkan matlamat untuk bekerja keras beberapa tahun lagi sebelum ‘bersara’ di Bandung bersama anak dan isteri.

“Saya kalau boleh nak tinggal sana, bangun pagi depan sawah padi, nak beribadah pun tenang saja di sana.

“Tapi tengoklah macam mana nanti,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >