Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

RENCANA

Dari pandemik ke persaraan: Laluan perjalanan Presiden Halimah Yacob

Jul 30, 2023 | 05:30 AM



Dia datang dengan lenggang lenggoknya


Dia datang dengan senyum simpulnya


Dia datang dengan senyum manisnya…



Lagu ‘Dia Datang’ mengisi ruang Dewan Jamuan di Istana Negara Malaysia menyambut ketibaan Presiden Halimah Yacob yang berada di sana bagi lawatan negara pada Mac lalu.

Sebelum bermulanya Majlis Santapan, penari kanak-kanak dan dewasa turut membuat persembahan, siap berpakaian tradisional.

Mengenang pengalaman tersebut, Puan Halimah teringat soalan yang diajukan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, kepadanya – apa pendapat beliau tentang pilihan lagu-lagu dan tarian yang dipersembahkan?

Daripada situlah beliau mendapat tahu, rupanya ada kisah di sebalik soalannya itu.







“Beliau beritahu saya, ‘Sebenarnya saya yang pilih semua lagu-lagu itu untuk awak dan saya yang koreografi tarian itu juga untuk awak’,” kata Puan Halimah sambil tersenyum lebar.

“Itu sangat menarik bagi saya. Ia menunjukkan betapa beliau sanggup bersusah payah demi memastikan tetamunya rasa selesa,” tambah beliau.

Itulah antara kenangan indah lagi menarik sebagai presiden yang tersemat dalam hati Puan Halimah. 

Daripada kenangan peribadi hinggalah pengalaman sebagai ‘Presiden Pandemik’, semuanya sempat dikongsi dengan beberapa wartawan dari bilik berita SPH Media semasa temu ramah yang diadakan awal Julai lalu di Istana.


CABARAN COVID-19

Nak tidur malam pun susah.

Itulah pengakuan Puan Halimah sendiri mengenang pengalaman beliau sebagai Ketua Negara semasa kemuncak pandemik Covid-19.

Pada waktu itu berlaku perbincangan hangat tentang sama ada rizab negara boleh digunakan oleh pemerintah untuk membantu Singapura dan warganya mengharungi krisis wabak tersebut.

“Semestinya ia adalah tanggungjawab yang besar dan ia bukan mudah.

“Saya pernah berkata sebelum ini, ia telah membuat saya tidak dapat tidur malam dan saya pasti CPA (Majlis Penasihat Presiden) juga melalui perkara yang sama, sebab ia bukan semudah menggunakan kunci untuk membuka rizab.

“Anda perlu benar-benar prihatin dan benar-benar yakin bahawa ia akan membantu warga Singapura dan (yakin) bahawa ini adalah situasi yang sangat luar biasa dan mengerikan yang kita hadapi,” katanya.

Beliau akur tidak pernah terlintas pun di fikirannya semasa baru memulakan tugas bahawa beliau akan berdepan dengan cabaran sebesar pandemik Covid-19.

Sebagai pemegang kunci kedua rizab negara, beliau perlu berjumpa dengan orang kuat dari pelbagai kementerian – antaranya, Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) – untuk memahami kesan pandemik terhadap bidang masing-masing.

“Banyak perbincangan telah diadakan dengan pelbagai menteri, pegawai kementerian yang semuanya bekerja siang malam. Saya mesti katakan, mereka telah bekerja bertungkus lumus, menyediakan semua maklumat yang CPA dan diri saya sebagai Presiden tanyakan.


“Kami berjumpa mereka banyak kali, bahkan saya rasa kami berjumpa mereka… sekurang-kurangnya 50 kali, dan itu bukan jumlah yang calang-calang dan pertemuan-pertemuan itu memakan masa berjam-jam lamanya,” jelas Puan Halimah.


SUARA BAGI SEMUA

Sepanjang enam tahun perkhidmatannya, beliau telah berusaha mendekati pelbagai golongan masyarakat daripada yang muda hingga ke tua – masing-masing dengan keprihatinan tersendiri.

Namun, terdapat beberapa golongan yang seolah-olah mempunyai tempat istimewa di hatinya.

Antara isu yang telah diperjuangkannya ialah kesihatan mental, golongan berkeperluan khas dan golongan kurang bernasib baik yang perlu dilibatkan dalam ruang digital.

Ditanya mengapa isu-isu itu menjadi keprihatinannya, Puan Halimah menjelaskan:

“Saya fikir kita perlu melihat kepada masyarakat yang kurang diberi perhatian (underserved communities).

“Bagi mereka yang kurang mendapat perhatian, kita perlu berusaha dengan lebih gigih untuk mendekati mereka agar mereka tidak terpencil, supaya mereka juga boleh meraih manfaat daripada kemajuan kita semua.”

Malah, antara perkara yang diperjuangkan sepanjang tempoh menjadi Presiden bukanlah perkara baru baginya.

Misalnya, Puan Halimah berkata semasa beliau merupakan Anggota Parlimen, beliau sudah giat memperjuangkan isu kesihatan mental.

“Pada 2008 apabila terdapat Rang Undang-Undang tentang kesihatan mental yang dibahaskan di Parlimen, saya bangkit bercakap mengenainya.

“Saya menekankan kepentingan memastikan terdapat sokongan masyarakat yang secukupnya apabila seseorang dikeluarkan daripada penjagaan institusi,” ujar beliau.

‘Meminjamkan suaranya’ untuk membantu golongan yang memerlukan serta meningkatkan kesedaran tentang isu-isu penting yang memerlukan perhatian dianggap antara perkara utama semasa perkhidmatannya.

Beliau berkata: “Penglibatan masyarakat saya, advokasi bagi warga, dengan kumpulan berkepentingan tertentu – bagi saya itu adalah penting kerana saya fikir, di penghujung hari, saya mesti meminjamkan suara saya.

“Saya telah bertemu dengan banyak kumpulan yang saya sokong dan mereka memberitahu saya bahawa mereka berasakan seperti disokong pejabat tertinggi negara dan itu membuat mereka rasa sangat tenang kerana setidak-tidaknya, beberapa kebimbangan mereka diambil kira.

“Oleh itu, menggunakan suara (pengaruh) saya untuk membantu golongan-golongan ini adalah penting bagi saya.”


NAK BERMAIN DENGAN CUCU

Sebagai penutup temu bual, wartawan sempat menanyakan rancangan beliau setelah bersara kelak.

Puan Halimah sudah mengumumkan tidak ingin bertanding semula dalam pilihan raya presiden akan datang dan mahu bersara, jadi apakah yang akan dilakukannya setelah itu?

Dan soalan yang paling penting diajukan – adakah beliau akan berpindah semula ke flatnya di Yishun?

Sambil ketawa, Puan Halimah menjawab:

“Saya tak boleh lari daripada soalan itu nampaknya!

“Kami masih membuat perancangan. Saya masih mempunyai dua bulan, jadi saya masih berunding dengan keluarga, anak-anak dan sebagainya berkaitan penginapan.”

Namun, yang jelas, ibu lima anak dan nenek dua cucu itu sudah mempunyai agenda paling penting apabila bersara kelak iaitu bermain dengan cucu-cucunya.

“Apabila orang bersara, perkara pertama mereka lakukan ialah cuba mendapatkan kembali masa yang hilang bersama keluarga, itu yang paling penting.

“Saya kehilangan banyak masa bersama keluarga.

“Tapi saya sedar masa yang kehilangan itu tidak dapat dikembalikan sepenuhnya kerana anak-anak semua sudah besar… jadi apa yang kita lakukan, kita ganti dengan (meluangkan masa bersama) cucu.

“Jadi itulah yang akan saya lakukan, luangkan lebih banyak masa dengan keluarga, dengan cucu-cucu saya,” kata Puan Halimah, sambil mengingatkan bahawa beliau bakal berusia 70 tahun pada tahun depan. 

Temu bual yang sepatutnya memakan masa sejam itu berlanjutan sedikit masa lagi.

Mujur, tiada siapa yang terburu-buru dan kakitangan Presiden pun tidak tergesa-gesa hendak mengiringnya keluar. 

Malah, Puan Halimah sempat melayan ‘soalan susulan’ para wartawan yang menanyakan tentang kerongsang yang dipakainya hari itu.

“Oh! Ini hadiah daripada isteri Jokowi!” kongsi beliau.

Kerongsang sebesar tapak tangan itu dihias dengan beberapa butir mutiara dan merupakan hasil kerja tangan orang Indonesia, katanya.







Setelah bersembang sedikit lagi dan bertukar ucapan terima kasih, Puan Halimah lalu meminta diri dari East Drawing Room di Istana tempat temu bual diadakan.

Sepertimana ketika beliau datang, dengan senyum manisnya, beliau keluar, dengan berjalan tenang tapi pantas, tanpa berlenggang lenggok.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >