Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

‘Fokus pada apa mahu dicapai… biar orang nilai sejauh mana sumbangan anda’

Jul 30, 2023 | 5:30 AM
GALAK PERPADUAN: Puan Halimah (tengah) berinteraksi dengan hadirin semasa Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) pertama yang diadakan pada 19 Jun 2019.
GALAK PERPADUAN: Puan Halimah (tengah) berinteraksi dengan hadirin semasa Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) pertama yang diadakan pada 19 Jun 2019. - Foto ST

“Orang akan menilai anda berdasarkan perbuatan lebih daripada perbualan anda,” kata Presiden Halimah Yacob, berkongsi pandangannya tentang bagaimana isu presiden dilantik yang digembar-gemburkan semasa awal penggalnya kini seakan sudah berubah.

Beliau akur sudah menjangkakan kontroversi tersebut sebelum memulakan tugas sebagai Ketua Negara.

“Saya telah menjangkakannya dan ia berlaku, jadi saya kata, ‘Okey, kita teruskan dari sini’.

“Apa yang orang perlu lihat ialah apakah pendirian jawatan kepresidenan ini? Apa yang telah disumbangkannya? Bagaimana ia telah menyumbang kepada mengubah kehidupan orang ramai?

“Saya fikir itu lebih penting,” ujar Puan Halimah.

Menyandang jawatan awam bukanlah sesuatu yang mudah, tambahnya, bahkan seseorang itu perlu bersedia diperhatikan, dikritik dan dipersoal.

“Namun, kita mesti kekal fokus… Dalam kehidupan saya, itulah yang selalu saya lakukan – kekal fokus pada matlamat saya, apa yang saya ingin capai, itu sahaja – dan biarkan orang menilai sejauh mana anda telah menyumbang kepada peningkatan kehidupan mereka,” kata beliau.

Mengulangi apa yang pernah dijanjikannya ketika baru memulakan tugas sebagai Presiden enam tahun lalu, Puan Halimah berkata meskipun beliau dilantik dalam pilihan raya presiden yang diperuntuk bagi masyarakat Melayu, beliau merupakan presiden untuk semua warga tidak kira bangsa atau agama.

Sebagai Presiden, beliau mewakili semua warga Singapura, tidak kira sama ada mereka muda, tua, wanita atau lelaki, mahupun bangsa atau agama mereka, katanya.

Menyentuh isu bangsa, Puan Halimah berkata antara usaha penting yang dilakukannya semasa tempoh perkhidmatannya ialah mencadangkan Persidangan Antarabangsa Mengenai Masyarakat Bersatu Padu (ICCS) yang diadakan pada 2019.

Lebih 40 negara dan 1,000 peserta dari seluruh dunia telah mengambil bahagian dalam persidangan itu.

“Saya masih berjumpa dengan beberapa ketua negara-negara ini dan mereka beritahu saya bahawa (ICCS) sangat bagus kerana perkara ini – masyarakat berbilang budaya, bangsa dan agama – banyak negara di dunia kini perlu menangani isu ini,” kongsi beliau.

Saban tahun, persidangan tersebut telah menyatukan orang ramai untuk membincangkan bersama pelbagai topik seperti agama, identiti dan perpaduan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg