Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MENJELANG RAPAT HARI KEBANGSAAN 2023

Dasar CPF, kos jaga kesihatan, perumahan antara isu patut dikaji semula berkaitan persaraan: Pakar

Aug 19, 2023 | 05:30 AM



Mungkin sudah tiba masanya untuk melihat dan mengkaji semula beberapa dasar berkaitan sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF).

Demikian cadangan beberapa pakar ekonomi yang dihubungi Berita Harian (BH) untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai kecukupan persaraan warga Singapura.


Baru-baru ini semasa menyampaikan Amanat Hari Kebangsaannya, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata sistem CPF yang telah dipertingkat secara bertahap bertujuan memastikan warga Singapura dapat menyimpan wang yang mencukupi semasa bekerja bagi tempoh persaraan.

Namun, Encik Lee akur sebahagian pekerja yang kini berusia 50-an dan awal 60-an tahun masih belum mempunyai simpanan CPF yang mencukupi dan wajar dibantu.


Apa yang dianggap ‘mencukupi’?


Terdapat banyak pandangan tentang apa yang patut dianggap ‘cukup’ bagi persaraan.

“Sesetengah orang mentakrifkan (kecukupan) sebagai keupayaan untuk memenuhi garis kemiskinan mutlak, ada pula yang mentakrifkan sebagai 30 peratus hingga 40 peratus daripada pendapatan terakhir yang diraih, manakala yang lain mentakrifkannya sebagai keupayaan untuk memenuhi keperluan.

“Jika kita memudahkan perbahasan, kecukupan kewangan membayangkan sama ada dalam setiap tempoh masa, pendapatan individu – sama ada pendapatan daripada bekerja, pendapatan daripada faedah, pendapatan daripada sewa – mampu menyediakan untuk kegunaan individu tersebut,” jelas Dr Akshar Saxena, Penolong Profesor bahagian Ekonomi di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Pensyarah Jabatan Ekonomi di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Chan Kok Hoe, pula menganggap kecukupan persaraan asas sebagai kemampuan seseorang membayar makanan, perumahan, perubatan dan penjagaan jangka panjang setiap bulan sepanjang tempoh bersara.

Beliau turut merujuk kajian yang dijalankan Felo Penyelidik Kanan di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew, NUS, Dr Ng Kok Hoe, dan beberapa pengkaji lain pada 2021 yang mendapati seorang warga emas memerlukan $1,421 sebulan untuk memenuhi keperluan asasnya.

“Jumlah itu harus diselaraskan dan dinaikkan secara berkala untuk mengambil kira kenaikan dalam indeks harga pengguna bagi isi rumah pesara.

“Terpulang kepada individu pesara untuk memutuskan berapa banyak lagi keselesaan yang beliau perlukan melebihi kecukupan asas,” kata Encik Chan.

Pakar ekonomi, Profesor Madya Walter Theseira, dari Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) pula berkata di Singapura, penanda aras kecukupan persaraan asas boleh dilihat daripada konsep ‘Jumlah Persaraan’ yang digunakan dalam sistem CPF.

“Sebab mengapa kita begitu bimbang tentang kecukupan persaraan adalah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kira-kira empat dalam 10 pencarum CPF tidak memenuhi Jumlah Persaraan Asas apabila mencapai 55 tahun, dan... jumlah persaraan asas hanya mencukupi untuk taraf hidup minimum dalam persaraan,” kata beliau.

Dr Theseira menambah, beberapa faktor lain turut menjejas kecukupan persaraan warga Singapura.

Ini termasuk jangkaan yang lebih tinggi bagi taraf hidup setelah bersara, kos termasuk perbelanjaan perubatan yang semakin meningkat dan jangka hayat yang lebih panjang.

“Beberapa kos utama yang ditanggung oleh pesara, seperti untuk perbelanjaan perubatan, telah meningkat lebih cepat daripada inflasi umum.

“Jangka hayat semasa persaraan juga meningkat, jadi orang ramai sedar wang persaraan mereka mesti bertahan lebih lama,” ujarnya.

Menjelaskan tentang isu serupa, Dr Saxena berkata:

“Orang ramai hidup lebih lama, memerlukan lebih banyak barangan dan harga barangan telah meningkat, tanpa peningkatan yang setimpal dalam simpanan atau pendapatan mereka, justeru mereka mempunyai jumlah yang lebih sedikit untuk dibelanjakan tetapi perlu belanja lebih banyak.”

Encik Chan berpendapat “bahaya terbesar” kepada pesara ialah inflasi kos perubatan mengatasi pertumbuhan pendapatan, pulangan aset kewangan yang tidak menentu dalam jangka panjang dan mempunyai terlalu banyak pendapatan mereka dibelanjakan untuk pembayaran rumah.


Apa yang pemerintah boleh lakukan?


Dr Theseira berkata beliau menjangkakan Encik Lee, semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan (NDR) 2023 pada Ahad, akan menyentuh dengan lebih mendalam langkah-langkah yang boleh diambil untuk membantu warga Singapura yang hampir mencapai umur persaraan namun menghadapi kesukaran memenuhi Jumlah Persaraan Asas CPF mereka.

Satu lagi golongan yang mungkin mendapat perhatian ialah warga Singapura berpendapatan rendah yang sudah bersara dan menerima pembayaran CPF rendah yang terhakis oleh inflasi, katanya.

Seperti Dr Theseira, beberapa pakar lain yang dihubungi BH turut mengusulkan agar pemerintah melihat semula dasar CPF sedia ada.

Profesor Madya di Jabatan Sosiology, NUS, Dr Tan Ern Ser, berpendapat pemerintah patut mewujudkan Dana Persaraan Senja bagi mereka yang berusia antara 50-an dengan 60-an tahun.

Dana tersebut boleh berkembang saban tahun dan digunakan untuk menyumbang secara langsung kepada akaun persaraan CPF warga emas, katanya.

“Pada masa yang sama, beri insentif kepada anak-anak warga emas untuk menyumbang kepada akaun warga emas itu, dengan rebat atau pelepasan cukai yang lebih tinggi.

“Tapi yang paling penting, jika warga emas masih boleh bekerja, pemerintah patut memberi mereka insentif untuk kekal dalam pekerjaan atau kembali bekerja,” ujar Dr Tan.

Dr Theseira pula menekankan bahawa apa yang paling penting ialah menggalakkan warga yang belum bersara untuk menyumbang kepada akaun CPF mereka secara mampan.

“Sebab paling lumrah mengapa akaun CPF mereka rendah ialah mereka tidak bekerja secara konsisten dalam pekerjaan berbayar CPF,” katanya sambil memberi contoh pekerja gig atau mereka yang bekerja sendiri.

“Jika mereka boleh digalakkan untuk memasuki pekerjaan formal selagi mereka mampu dan berminat, ini akan sangat membantu.

“Memberi tambah nilai CPF yang sepadan juga boleh membantu,” katanya.

Bagi mereka yang sudah bersara pula, Dr Theseira menyarankan mengkaji semula sama ada bantuan tambahan boleh diberikan untuk meningkatkan pembayaran CPF demi menangani inflasi.

“Sistem sedia ada di mana pembayaran CPF Life tidak diselaraskan untuk mengambil kira inflasi bukanlah baik bagi mereka yang menerima pembayaran CPF Life yang sangat rendah,” ujar beliau.

Sementara itu, Dr Saxena pula berharap akan terdapat lebih banyak sokongan terhadap penjagaan kesihatan.

“Perbelanjaan penjagaan kesihatan membentuk bahagian besar perbelanjaan isi rumah dan warga tua dan kumpulan berpendapatan rendah terjejas secara tidak seimbang,” katanya.

Beliau menambah: “Tekanan mental disebabkan bil penjagaan kesihatan dan mengelak daripada mendapatkan penjagaan kesihatan akibat bil yang dijangka akan diterima boleh memburukkan lagi kesihatan masyarakat serta mengurangkan produktiviti, yang akan menyebabkan kos penjagaan kesihatan terus meningkat dalam jangka panjang serta pendapatan yang berkurangan.”

Bagi Encik Chan, pemerintah patut terus memperbaiki lagi dasar-dasar pendapatan berasaskan perumahan, menambah nilai akaun CPF pesara dan bakal pesara serta meningkatkan kadar faedah bonus pada baki CPF yang rendah.

“Bagi pesara dan bakal pesara, pemerintah boleh terus mempermanis dasar pendapatan berasaskan perumahan... serta menambah nilai akaun CPF mereka dan meningkatkan kadar faedah bonus pada baki CPF yang rendah. Dalam jangka panjang, langkah yang paling penting ialah memastikan kos perubatan terkawal dan memastikan perumahan mampu dimiliki,” tambah beliau.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >