Tiga dekad lalu, Cik Sumiyati Da’im tiba di Singapura dengan rendah hati dan setinggi harapan untuk mengubah nasib dan kehidupan keluarganya di Indonesia.
Bertekad untuk berjaya, gadis berusia 17 tahun itu memulakan tugas sebagai pembantu rumah di Singapura.
Selang empat tahun, berbekal pengalaman bekerja di Singapura, beliau mencuba nasib pula bekerja di Hong Kong dan menyusuli itu di Taiwan.
Selepas hampir dua dekad menyerantau, beliau kini telah kembali ke Surabaya untuk membuka lembaran baru dalam hidupnya.
Kini, Cik Sumiyati, 47 tahun, tidak lagi bertugas sebagai pembantu rumah, tetapi membantu wanita lain menjadi pembantu rumah di luar negara menerusi pusat latihan pembantu rumah yang ditubuhkannya pada 2022.
Kisah Cik Sumiyati serupa dengan kisah pembantu rumah lain dari Indonesia yang berjaya mempertingkat kehidupan selepas bekerja di Singapura.
Menurut jurucakap dan penasihat di Kedutaan Indonesia, Cik Ade Rina, sekitar 167,000 warga Indonesia bekerja di Singapura sebagai pembantu rumah pada masa ini, berdasarkan jumlah yang memohon kepada kedutaan itu bagi tujuan memperbaharui pasport.
Jumlah ini lebih 50 peratus daripada jumlah pembantu rumah keseluruhan di Singapura, iaitu sekitar 286,000 orang, menurut maklumat di laman web Kementerian Tenaga Kerja (MOM).
Kekuatan dolar Singapura berbanding rupiah Indonesia memikat ramai wanita untuk bekerja sebagai pembantu rumah di Singapura kerana mereka mahukan gaji yang lumayan, kata Cik Ade Rina.
Menurut tinjauan yang dilakukan Kedutaan Indonesia, sekitar 30-40% pendapatan pembantu rumah Indonesia di Singapura akan dihantar pulang.
Walaupun tumpuan utama mereka adalah untuk mencari rezeki demi keluarga, ada sebahagian yang lebih dahagakan ilmu dan cuba mempertingkat diri sendiri semasa berada di Singapura.
Dan kini, ada lebih banyak peluang untuk kumpulan ini berbuat demikian.
Beberapa pertubuhan tidak meraih keuntungan seperti Persatuan Pekerja Domestik Asing bagi Sokongan Sosial dan Latihan (FAST) dan Aidha menawarkan kursus-kursus dalam pengurusan kewangan, perhubungan, komputer dan keusahawanan yang ditujukan kepada pembantu rumah.
Pengurus Komunikasi Aidha, yang bermaksud ‘mengejar cita-cita’ dalam bahasa Sanskrit, Cik Amirah Ali, berkata kursus kewangan yang dijalankan pihaknya memberi peserta keupayaan untuk membangunkan pelan kewangan peribadi dan lebih lanjut lagi, asas keusahawanan supaya pembantu rumah boleh memulakan perniagaan di negara sendiri.
Di luar sektor ini, Masjid Mujahidin di Stirling Road juga menyediakan kursus mempertingkat diri melalui Pusat Pembelajaran Mujahidah yang dikendalikannya.
Eksekutif Kanan Korporat dan Pembangunan pusat ini, Cik Zuraidah Wari, berkata sejak 2005, lebih 5,000 pembantu rumah asing telah menyertai program latihan yang ditawarkan. Selain kelas agama mingguan, ia juga menyediakan kelas memasak dan menjahit serta Kelas Bahasa Inggeris.
Beliau berkata sebahagian pelajar kini telah memulakan perniagaan selepas pulang ke tanah air masing-masing. Mereka yang meraih sijil Bahasa Inggeris juga ada yang telah mula mengajar di kampung.
Kunci kejayaan pembantu rumah yang menghadiri kursus atau program pendidikan di Singapura secara sambilan adalah sokongan majikan, kata Cik Amirah.
Pemilik Hilwah Maid Agency Pte Ltd, Cik Nurhilwah Ibrahim Brown, 49 tahun, bersetuju:
“Majikan boleh galakkan mereka menghadiri bengkel dan kursus untuk meningkatkan kemahiran. Jika boleh, tawarkan untuk tampung kos bengkel atau sesi latihan. Selain itu juga, cuba laraskan jadual kerjanya untuk membolehkannya menghadiri bengkel-bengkel itu.”
Bersependapat juga, Cik Nurikah Jamil, 33 tahun, pengurus dan pemilik Bibik2GoSg Pte Ltd, berkata komunikasi di antara majikan dan pembantu amat penting untuk menjalinkan perhubungan pekerjaan yang baik dan harmonis.
“Kami di Bibik2GoSg menyediakan kursus penjagaan orang tua dan bayi untuk membantu persiapkan pembantu yang tidak mempunyai banyak pengalaman dalam hal ini. Selain itu, majikan boleh memberi sokongan mereka menghadiri kelas di luar atau dalam talian, dan berikan penjadualan kerja lebih fleksibel.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg