Anak angkat yang selama ini menjaga ibu bapanya tidak menerima satu sen daripada harta pusaka bapanya itu setelah beliau meninggal dunia.
Sebaliknya, harta pusaka tersebut dituntut adik-beradik arwah yang menggunakan hukum faraid memandangkan beliau tidak mempunyai anak kandung.
Kisah seperti ini berkaitan pembahagian harta setelah seseorang itu meninggal dunia tentunya kurang sedap didengar, namun ia banyak berlaku disebabkan kurangnya kesedaran tentang perancangan dan pembahagian harta.
Bagi mengelakkan perkara seperti ini dan juga untuk memastikan aset digunakan sebaiknya selepas kita meninggal dunia, kesedaran serta pengetahuan perlu dipertingkat berkaitan isu ini.
Siri ‘Forum Faraid: Wasiat Untuk Diriku’, anjuran Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) bertujuan memenuhi keperluan tersebut dalam memastikan masyarakat dilengkapkan dengan pengetahuan mengenai perkara ini.
Forum tersebut akan berlangsung pada 16 Ogos, 7.30 malam, di Auditorium Masjid Sultan.
Forum itu akan menekankan pentingnya peranan wasiat dalam perancangan legasi Islam.
Forum yang diadakan dalam bahasa Melayu itu akan membincangkan tentang asas perancangan legasi Islam, proses pembahagian harta pusaka, panduan lengkap dalam melaksanakan wasiat dan meraih pahala ‘sadaqah jaariah’ melalui pemberian yang dirancang.
Anggota panel bagi forum itu terdiri daripada pengurus dasar dan pembangunan agama, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle dan dua anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) Muis; peguam, Cik Nur Liyana Sinwan, dan pakar perancangan kewangan, Encik Hafiz Noorahman.
Personaliti Sujimy Mohamad yang juga pencipta kandungan digital merupakan pengacara dan moderator forum tersebut.
Dalam sesi itu, anggota panel akan menjelaskan cara-cara membuat wasiat yang berkesan, berkongsi langkah-langkah praktikal, kisah-kisah benar dan membetulkan sebarang salah tanggapan tentang wasiat.
Peserta berpeluang mempelajari cara meninggalkan legasi yang bukan sahaja menjamin kebajikan orang tersayang, tetapi juga penuh keberkatan untuk akhirat.
Lebih penting lagi, peserta berpeluang mempelajari bagaimana penyertaan ‘sadaqah jaariah’ ke dalam wasiat bakal mendatangkan manfaat berkekalan.
Mengulas tentang pembuatan wasiat, pengurus dasar dan pembangunan agama Muis, Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle, berkata:
“Wasiat bukan sekadar dokumen undang-undang tetapi cara untuk memulakan perbincangan mengenai perancangan legasi. Wacana wasiat bertujuan menghidupkan amalannya, sebagaimana yang dilakukan pada zaman Rasulullah saw.
“Dalam sebuah hadis (Sahih Bukhari), disampaikan bahawa, “Tidak boleh bagi seorang Muslim yang mempunyai hajat untuk tinggal selama dua malam tanpa ditulis wasiatnya dan bersiap sedia bersamanya.”
Dalam satu tinjauan yang dijalankan Muis baru-baru ini, 64 peratus peserta tinjauan berkata selain faraid, mereka tidak tahu tentang cara perancangan harta lain yang dibenarkan Islam.
Lantaran itu, Muis melancarkan Wakaf Masyarakat Singapura secara rasmi bersempena kempen Bulan Wakaf pada Ogos ini untuk membantu masyarakat memahami lebih lanjut dan menggalakkan perancangan harta pusaka mereka menerusi konsep Perancangan Legasi Islam (ILP).
Konsep Perancangan Legasi Islam (ILP) merujuk kepada perancangan pengagihan harta pusaka apabila seorang umat Islam meninggal dunia berdasarkan hukum syarak mengenai pusaka atau faraid.
Selain faraid, ada banyak lagi cara dalam pembahagian harta seperti memanfaatkan wasiat atau hibah (hadiah).
Dalam pada itu, forum tersebut berhasrat menggalakkan masyarakat mempertimbangkan pemberian legasi kepada tujuan sumbangan wakaf seperti WMS.
Ini kerana WMS mewujudkan sistem pembiayaan yang mampan untuk menyokong dana sedia ada bagi membantu institusi keagamaan, pembangunan asatizah dan program jangka panjang masyarakat menerusi sumbangan umat Islam di sini.
Masyarakat boleh mempertimbangkan memberikan sumbangan segera atau untuk masa depan kepada WMS secara tunai dengan jumlah serendah $10 sekali sahaja, secara bulanan atau tahunan menerusi laman www.wakaf.sg.
Mereka yang mahu menyumbang bagi masa depan boleh dilakukan dengan menamakan Muis atau WMS sebagai calon dalam penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) atau bayaran insurans masing-masing.
Justeru, jangan lepaskan peluang untuk mengetahui lebih lanjut lagi tentang peranan wasiat dalam perancangan legasi Islam dalam forum yang dijangka dihadiri sekitar 350 peserta.
Selain ‘Forum Faraid WMS: Wasiat Untuk Diriku’, orang ramai boleh menyertai acara lain yang akan dianjurkan sepanjang Ogos sempena Bulan Wakaf termasuk Jejak Warisan Wakaf pada 24 Ogos dan klinik perundingan di satu acara Perkampungan Legasi (Legacy Village) pada 30 Ogos.
Acara Perkampungan Legasi yang julung-julung kalinya diadakan memaparkan pelbagai reruai yang mendidik cara-cara individu Muslim belajar dan melaksanakan perancangan legasi dengan memanfaatkan instrumen sedia ada seperti alat penamaan CPF dan insuran serta mengenali Wasiat.
Satu lagi Forum Faraid WMS yang membincangkan tentang Wasiat turut diadakan, ini kali dalam bahasa Inggeris dan memaparkan Mufti, Dr Nazirudin Nasir.
Untuk membuat pendaftaran bagi ‘Forum Faraid: Wasiat Untuk Diriku’, sila lungsuri laman web, www.go.gov.sg/forumfaraid-16aug


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg