Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Cerpen

Gelembungan Sulit

Aug 27, 2023 | 05:31 AM



SITI MARINA AJMAIN


Sudah terlalu lama dia memendam rahsia itu. Perit sungguh rasanya menanggung bebanan memikulnya ke mana sahaja dia pergi. Serba-serbi tidak mengena. Hidupnya dihantui kegusaran semenjak membawa rahsia itu ke merata tempat, bagaikan ada saka yang mengekori dan menguasai dirinya sepanjang detik. Semakin hari rahsia itu semakin menghimpit dadanya sehingga saluran pernafasannya rasa tersekat. Sudah dia cuba untuk berlari jauh dari situ, namun dia tewas dengan keadaan penyakit semput yang membuatkan nafasnya pula tercungap-cungap seperti orang yang ketandusan bekalan oksigen. Sungguh memberatkan.

Hari berganti bulan, rahsia itu semakin menggelembung bulat, membesar tanpa had. Dia risau andai gelembungan itu sudah tidak lagi mampu menampung tumbesaran rahsia itu lagi dan akan mencetuskan suatu letupan yang dahsyat di masa akan datang.

“Ini suatu peringatan untuk dirimu. Biar pecah di perut, tetapi jangan sampai pecah di mulut!”

“Jaga rahsia ini, jangan sampai bocor. Engkau tentu tidak mahu kehilangan pekerjaanmu, bukan?”

Aduh! Ini adalah suatu ancaman yang amat merisaukan. Ugutan yang sangat membimbangkan dirinya. Dia tidak sanggup untuk kehilangan pekerjaan. Inilah satu-satunya kemahiran yang dimiliki untuk menyara keluarganya. Namun si penyampai rahsia itu lebih berkuasa. Periuk nasinya bergantung pada ihsan si penyampai rahsia itu.

“Dalam ramai-ramai orang, mengapalah aku yang dia pilih untuk menjadi penyimpan rahsia ini?” Hatinya menjadi gundah-gulana memikirkan kepayahan menggalas tanggungjawab yang sebesar itu.

Rahsia itu sudah dikemamnya di dalam mulut buat sekian lama. Kini dia cuba mengalihkannya ke tempat lain pula. Mungkin lebih elok dialihkan ke perut pula. Maklumlah, bukankah si penyampai rahsia itu pernah berkata; biar pecah di perut, tetapi jangan sampai pecah di mulut?

Setelah rahsia itu dipindahkan, kini ia menimbulkan masalah lain kepada dirinya pula. Perutnya semakin gembung dan membuncit. Apakah dia terkena penyakit busung atau kanser perut?

Dia cuba ikhtiar mencari penawar bagi gembung perutnya. Sudah beberapa kali dia mendapatkan rawatan kesihatan. Namun tiada seorang doktor pun yang mampu memastikan apakah penyakit yang sedang dihidapinya itu. Segala bentuk imbasan kesihatan yang menggunakan teknologi terkini serta X-ray sudah dilakukan olehnya atas saranan doktor. Malangnya masih belum dapat dikesan punca yang membuat perutnya membuncit sedemikian rupa. Bukan gembung air, bukan juga gembung kerana angin. Jauh sekali daripada menghidapi penyakit busung atau kanser. Tiada diagnosis yang pasti tentang penyakit misteri yang membelenggu dirinya.

Dia khuatir andai apa yang sedang ditanggung olehnya akan lambat-laun menjejas kesihatan dirinya, baik dari segi fizikal mahupun mental. Dia sudah tidak sanggup lagi untuk menyimpan rahsia ini seorang diri. Dia harus berkongsi dengan seseorang. Dia harus meluahkan apa yang terbenam jauh di dasar sanubarinya. Namun kepada siapakah harus dia ceritakan semua itu? Adakah sesiapa yang akan mempercayai kata-katanya?

Jari-jemarinya pantas menari di atas papan kekunci. Daripada aksara menjadi perkataan. Daripada perkataan menjadi bait-bait ayat. Daripada ayat menjadi perenggan. Laman blog menjadi medan untuknya menyulam kata-kata. Satu persatu dia melepaskan rahsia yang sudah sekian lama tersimpan elok di genggaman. Tiada sesiapa pun yang akan tahu gerangan di sebalik nama samaran yang digunakan di laman blog itu.

Fikirnya itulah jalan yang terbaik untuk dia berkongsi rahsia itu. Setiap hari dia akan bercerita sedikit demi sedikit tentangnya. Semakin hari gembung di perutnya semakin mengecil. Perutnya pun menjadi kempis kembali. Dia sudah pulih seperti sedia kala. Dia sudah kembali cergas dan ceria seperti dahulu.

Setelah dia sembuh daripada penyakitnya, kini giliran komputer ribanya pula diserang oleh sang virus. Segala perisian yang ada di dalamnya tidak lagi dapat diakses. Dia menjadi panik. Dia cuba menyelamatkan segala data yang terkandung di dalamnya dengan memformatkan kembali komputer riba itu dengan bantuan seorang pakar teknologi maklumat.

Hampir seminggu juga dia terputus hubungan dengan dunia maya sementara menunggu komputer ribanya diperbaiki. Dalam hampir seminggu itu jugalah dia merasa agak khuatir jika penyakit gembung perut itu akan kembali menyerang dirinya kerana dia tidak dapat mengemas kini laman blog rahsia itu. Mujur apa yang dibimbangkan tidak terjadi.

*****

Malu bukan kepalang kala dia diiring pergi oleh beberapa orang anggota polis. Kelihatan beberapa orang jiran mula menjengah dari balik pintu dan tingkap rumah masing-masing. Dia menduga pasti penangkapan ke atas dirinya menjadi topik hangat di kedai kopi dan pasar berdekatan pada beberapa hari mendatang. Dia dapat menduga, pelbagai andaian dan cerita rekaan akan tersebar luas tentang dirinya. Mukanya pasti terpampang di kaca televisyen semasa buletin berita utama dan di dada akhbar. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata membawa binasa. Walhal dengan hanya menuangkan tinta kata di alam siber. Kekesalan mengasak ke seluruh jiwanya.

Ketika sampai ke balai polis, dia telah bertembung dengan si penyampai rahsia itu. Tidak tergamak dia mahu bertentang mata dengan tuan empunya badan. Dia malu dengan pendedahan dan penularan rahsia yang sepatutnya dia simpan rapi.

“Kamu sudah menyusahkan saya. Kerana kelalaian kamu, saya juga jadi terbabit di dalam kes ini. Harapkan pagar, pagar makan padi!”

Dia hanya mampu menundukkan kepalanya. Dia pun tidak tahu jawapan apa yang patut dia berikan kepada si penyampai rahsia itu. Dia sendiri pun tidak pasti bagaimana rahsia sulit itu boleh bocor dan menjadi tular. Mujur dia terus dibawa masuk ke bilik siasatan. Sekurang-kurangnya dia tidak perlu berhadapan dengan orang yang lagi marah dan berang akan dirinya.

Segala macam persoalan bertubi-tubi diajukan kepadanya semasa penyiasatan sedang dijalankan. Dia terpaksa menceritakan satu persatu dengan terperinci tentang bagaimana rahsia sebesar itu boleh terbongkar dan menular. Dia cuba memberikan kerjasama yang sebaik mungkin kepada pihak polis. Dia berharap agar tidak disabitkan kesalahan, ataupun dijatuhi hukuman yang berat.

“Ini komputer riba milik kamu?” Tanya pegawai penyiasat yang bermuka garang.

“Ini memang komputer riba saya. Tetapi sudah hampir seminggu ia tiada bersama saya. Saya menghantarnya untuk diperbaiki kerana ia rosak akibat serangan virus.” Dia semakin kebingungan bagaimana pihak berkuasa dapat menyita komputer riba itu, sedangkan tidak ada sesiapa pun yang tahu apa yang telah terjadi ke atas barangan peribadinya.

“Bukan susah mahu menjejaki alamat protokol Internet. Itu kepakaran kami. Sementelah lagi kami menerima beberapa aduan tentang apa yang tertera di dalam blog tulisan kamu sendiri. Benda sudah menjadi tular, apa lagi yang mahu kamu nafikan?”

Dia terkedu dengan kenyataan itu. Otaknya bagaikan kehilangan fungsi; tidak mampu memikirkan bagaimana masyarakat boleh sedar akan kewujudan blog rahsia itu. Pelik.

“Mustahil laman blog itu boleh menjadi tular. Ia berstatus peribadi, bermakna tiada sesiapa pun yang dapat membaca isi kandungannya. Percayalah pada saya, Encik.” Dia merayu mengharapkan simpati dan pengertian daripada pihak berkuasa.

“Cuba kamu layari laman blog kamu itu sebagai seorang pengunjung, dan bukan sebagai seorang pengguna. Lihat sendiri kebenarannya.”

Dia mengikut sahaja arahan pegawai penyiasat itu. Ternyata laman blog rahsia rekaannya mudah diakses dan dikunjungi oleh sesiapa sahaja. Barulah dia menyedari bahawa ketika komputer ribanya dihantar ke pakar untuk diperbaiki, cacing virus yang menyerang komputer itu telah menyebarkan banyak maklumat serta butiran peribadinya. Malahan laman blog rahsia itu pun sudah hilang taraf privasinya. Ia kini boleh dilungsuri oleh sesiapa sahaja.

“Ini rahsia pemimpin tertinggi kerajaan. Sekarang rahsia itu telah diketahui umum. Ketua kerajaan telah dimalukan secara terang-terangan. Beliau telah ditertawakan dan diejek bertubi-tubi. Kamu telah melanggar tatasusila negara.”

Dia membaca satu-persatu daripada komentar yang ditinggalkan di setiap hantaran pada blognya. Ramai yang berasa lucu akan rahsia-rahsia yang dikongsikan olehnya.Tidak kurang juga yang mengecam tuan empunya blog itu kerana bersikap tidak professional dan tidak amanah. Ada yang mengugut untuk melaporkan perkara itu kepada pihak pemerintah.

*****

Pintu bilik siasatan itu dibuka dari luar. Seorang lelaki separuh usia menapak masuk ke dalam.

“Tuan, inilah si pelaku itu. Komputer riba peribadinya juga telah dapat kami jejaki dan telah kami sita.”

Jantungnya berdegup kian kencang, badannya mulai menggeletar, kakinya semakin longlai dan lidahnya menjadi kaku. Dia tidak menduga sama sekali untuk berhadapan dengan Ketua Pentadbir Negara!

“Kamulah yang telah membongkarkan segala cela dan aib diri saya kepada masyarakat sekeliling?” Panahan mata Ketua Pentadbir Negara menikam tepat ke wajahnya.

Dengan segala kudrat yang ada, dia bingkas dari tempat duduknya lalu menerkam dan memeluk erat kaki lelaki itu. Dia tidak peduli lagi akan kurap yang menjangkiti kaki Ketua Pentadbir Negara. Dia hanya mengharapkan pengampunan dan tidak dibuang pekerjaan.

“Maafkan saya, Tuan. Memang saya yang bersalah menceritakan tentang aib Tuan di dalam laman blog itu. Tetapi percayalah, bukan saya yang menyebabkan perkara ini hingga menjadi tular. Ini semua salah si cacing virus yang menyebarkan segala-galanya.”

Dia menangis teresak-esak. Seribu sesalan melingkari perasaannya. Dia takut akan kemungkinan yang bakal berlaku ke atas dirinya.

“Sabar, sabar….bertenang. Saya ke sini bukan untuk menghukum kamu. Memang pada mulanya saya rasa terkesan dan malu dengan apa yang telah terjadi. Namun, setelah saya mengamati komentar-komentar yang ditinggalkan oleh pengikut-pengikut laman blog itu, saya dapati majoriti dalam kalangan mereka sebenarnya tidak peduli akan penyakit ekzema yang saya alami.”

“Mereka lebih membutuhkan seorang ketua yang berdedikasi dan prihatin dalam mentadbir dan memajukan negara, serta dapat meningkatkan taraf kehidupan rakyat.”

Ketua Pentadbir Negara juga meyakinkan bahawa tiada tindakan undang-undang akan diambil ke atas dirinya, asalkan dia tidak lagi mengulangi kesilapan sedemikian. Pekerjaannya juga dijamin tidak akan terjejas. Sujud syukur dia pada ketika itu juga.

Biodata Penulis


Siti Marina Ajmain adalah seorang suri rumah yang pernah berkhidmat sebagai seorang pendidik bagi bayi dan kanak-kanak berkeperluan khas. Memegang Diploma dalam Perkhidmatan Kemasyarakatan dan juga terlatih dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta terapi perubatan. Cerpen “Penerimaan” pernah disiarkan di dalam Antologi Cerpen Nyala terbitan Unggun Creative. Cerpen “Di Balik Jeriji” dan “Kepompong” telah diterbitkan di dalam buku-buku Antologi Fiksyen Remaja terbitan UnguPen. “Warkah Buat Kita Yang Diuji”, “Monolog Aku, Idea Dan Tinta Kata” serta “Lidahnya Menjadi Beku, Kelu Dan Membisu” pernah disiarkan di Berita Minggu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >