Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

MENYANJUNG KASIH IBU

Ibu tiri curahkan kasih seperti anak sendiri

Ibu adalah segalanya. Setiap anak mengetahui betapa berharganya seorang ibu. Bibir ibu sering mengucap doa buat anak-anaknya. Sempena Hari Ibu ini, BERITA MINGGU memaparkan kisah dan rintihan dua ibu yang melalui nasib berlainan - namun memiliki sifat yang sama - kasih sayang pada anak.
May 08, 2022 | 08:33 PM



PANDEMIK Covid-19 yang melanda seluruh dunia telah menjejas teruk pendapatan Cik Norhidayah Mohd Ali sebagai penyanyi dalam pelbagai acara.



Cik Norhidayah, 35 tahun, sudah biasa dengan pekerjaan menyanyi berdasarkan acara selama 17 tahun. Namun Covid-19 menjejas pelbagai acara, dan persembahan hiburan terhenti menyusuli peraturan yang tidak membenarkan persembahan diadakan.



Beliau cuba membuat penyesuaian dengan melakukan kerja sambilan termasuk menjadi penghantar makanan Deliveroo, dan dapat berasa selesa dengan sumber pendapatan baru itu.



"Sebagai penghantar makanan, masa pekerjaan lebih fleksibel. Saya dapat memilih masa dan tempoh saya bekerja, terutama setelah menyelesaikan tugas sebagai isteri, ibu dan pengasuh.



"Saya amat berterima kasih kepada Deliveroo kerana dapat menyokong jadual untuk individu yang mempunyai pelbagai tanggungjawab seperti saya," ujar beliau.



Membina rumah tangga pada 2018, Cik Norhidayah menjadi ibu tiri kepada seorang anak lelaki daripada perkahwinan suaminya sebelum ini.



Menurut Cik Norhidayah, pada mulanya anak tirinya itu tidak mesra bersamanya.



"Namun dengan masa dan kasih sayang, perlahan-lahan dia mula menerima kehadiran saya dalam keluarganya," kata beliau.



Menurut Cik Norhidayah lagi, beliau dan suami telah mencuba untuk mendapatkan zuriat, tetapi belum ada rezeki buat masa ini.



"Saya tetap bersyukur kerana masih dapat merasakan naluri seorang ibu kepada anak tiri saya," ujar beliau.



Cik Norhidayah membuat kesimpulan bahawa seseorang wanita yang tidak dapat memberikan zuriat tidak bermakna beliau tidak dapat menjadi seorang ibu.



"Secara jujur, ia amat menyedihkan apabila mendapat tahu anda mempunyai kemungkinan rendah untuk menjadi seorang ibu.



"Ia terasa pada Hari Ibu apabila melihat orang lain menyambutnya bersama keluarga dan anak mereka.



"Mulanya saya berasa saya tidak layak menyambut Hari Ibu kerana saya seorang ibu tiri sahaja.



"Hingga tahun lalu, saya menyedari bahawa segala yang saya lakukan untuk anak tiri saya adalah dengan ikhlas sepertimana seorang ibu menjaga anaknya sendiri.



"Saya amat menyayangi dan mengasihinya," kata beliau.



Menurut Cik Norhidayah, anak tirinya, Norman Micqael Mohd Fairuz, seorang yang pemalu, kini telah menerimanya sebagai ibu tiri.



Norman Micqael masih berhubung dengan ibu kandungnya dan menyayangi kededua ibunya.



"Pengalaman saya menjaga dan mengasihi Norman Micqael membuat saya berasa saya layak juga menyambut Hari Ibu, meskipun tidak mempunyai anak kandung sendiri," kata Cik Norhidayah melahirkan rasa syukur akan kesempatan itu.



Tahun ini, keluarga itu akan meraikan Hari Ibu bersama buat pertama kali dan Cik Norhidayah berkata, suaminya, Encik Mohd Fairuz Md Nor, akan membawa mereka keluar makan.



"Saya tidak perlu ke tempat-tempat mahal. Bagi saya, keluar makan sate bersama sudah mencukupi. Yang penting adalah masa yang diluangkan bersama," tambah beliau.



Selain tanggungjawab sebagai ibu, Cik Norhidayah juga menjaga kededua ibu dan bapa mentuanya di rumah.



Kini, dengan kelonggaran peraturan Covid-19, Cik Norhidayah membuat rancangan untuk kembali menyanyi secara langsung di acara-acara.



Beliau telah mula bernyanyi menerusi penstriman langsung di aplikasi Bigo, mendendangkan lagu-lagu yang diminta penonton di aplikasi itu.



Ini dilakukan secara sambilan dengan pekerjaan menghantar makanan.



Beliau bekerja keras melaksanakan dua pekerjaan, demi menampung kos perbelanjaan keluarga.



Cik Norhidayah akur bahawa bekerja dan melaksanakan tanggungjawab seorang ibu tidak mudah.



"Tidak kira sama ada anda ibu tunggal, ibu tiri atau ibu kandung. Walaupun anda tidak melahirkan anak atau tidak menyusukan anak itu, anda tetap seorang ibu jika anak itu anda kasihi dan anggap seperti anak sendiri.



"Jangan berhenti menyayangi mereka, mengasihi mereka dan bekerja keras untuk mereka. Tanggungjawab seorang ibu besar dan amat penting kepada setiap anak.



"Selamat Hari Ibu kepada semua ibu dan saya harap anda dapat meluangkan hari ini dengan keluarga tersayang," ujar Cik Norhidayah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >