Subuh
5:34
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kadi dan naib kadi bimbing suami isteri harungi perkahwinan

Nov 20, 2022 | 07:00 AM



SETIAP pagi, Cik Wan Nurhidayah Mohd Zainuddin, 26 tahun, pengurus dan guru eksekutif di pusat penjagaan pelajar, akan mendapat panggilan daripada bapanya, di mana mereka saling bertanya khabar dan berbicara seketika.


Rutin harian ini, pada awalnya, membuat suami Cik Wan Nurhidayah, Encik Muhammad Firdaus Masrani, 25 tahun, eksekutif program dalam sektor perkhidmatan sosial, tertanya-tanya terhadap tujuan bapa mentuanya menghubungi isterinya pada setiap pagi. 


Namun, berbekalkan pengetahuan yang dipelajari daripada program ‘Bersamamu’ bahawa si suami atau isteri mesti bersikap terbuka untuk menerima budaya keluarga pasangan yang berlainan, Encik Muhammad Firdaus kian menganggap panggilan antara bapa mentua dengan isterinya sebagai cara mereka mengekalkan jalinan mesra mereka.


Demikian merupakan antara contoh tentang bagaimana pasangan suami isteri, Encik Muhammad Firdaus dan Cik Wan Nurhidayah, telah mengaplikasikan apa mereka pelajari daripada program ‘Bersamamu’ untuk menangani ketidakfahaman atau konflik dalam rumah tangga mereka. 


Encik Muhammad Firdaus dan Cik Wan Nurhidayah yang telah mendirikan rumah tangga pada 25 Disember tahun lalu, telah turut serta dalam program ‘Bersamamu’, satu inisiatif oleh Kadi, Naib Kadi dan Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM), dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan M³.


Program ‘Bersamamu’ melibatkan para Kadi dan Naib Kadi membimbing para mempelai sebelum mereka mendirikan rumah tangga sehingga ke dua tahun pertama alam perkahwinan mereka.


Menurut Naib Kadi, Ustaz Mohamed Asysallehan Mohamed Ali, rumah tangga yang bahagia seharusnya berasaskan kepada ilmu pengetahuan yang kukuh dan bermakna. 


Bimbingan perkahwinan serta sesi bersemuka ataupun ‘face-to-face’ dengan Naib Kadi sebelum bernikah dalam program ‘Bersamamu’ diharapkan dapat membantu pasangan mengenal pasti kepentingan memperolehi ilmu yang diperlukan untuk melayari bahtera rumah tangga dengan sebaik mungkin. 


Selain dari bimbingan perkahwinan, sesi bersemuka dengan Naib Kadi ini merupakan sebuah platform, di mana pasangan boleh mendapatkan beberapa saranan dari Naib Kadi berkaitan program-program bermanfaat yang mereka boleh sertai, sama ada secara individu mahupun bersama. 


Tiada had usia yang dikenakan bagi pasangan mempelai yang menyertai program ‘Bersamamu’ sejak ia dilancarkan pada Julai 2019.


“Ramai yang sungguh-sungguh menuntut ilmu untuk mempelajari tatatertib serta cara-cara melaksanakan ibadah seperti solat, puasa dan haji contohnya. Namun, tidak ramai yang faham akan pentingnya menuntut ilmu yang diperlukan untuk mempersiapkan diri sebelum mendirikan rumah tangga, seolah-olah ilmu itu datang secara tiba-tiba ketika terlafaznya ijab dan qabul.”


“Anggapan sedemikian menyebabkan pasangan yang baru berumah tangga untuk mengambil tindakan yang kurang wajar ketika berhadapan dengan pelbagai cabaran dan rintangan yang mendatang,” kata Ustaz Asysallehan. 


Bagi Encik Muhammad Firdaus dan Cik Wan Nurhidayah, sesi bersemuka bersama Naib Kadi, Ustaz Asysallehan, sebelum mereka bernikah pada April tahun lalu menandakan permulaan program ‘Bersamamu’.


Ia juga permulaan mereka menjalin hubungan erat bersama Ustaz Asysallehan yang telah memberi mereka panduan dan sokongan sepanjang proses pernikahan dan alam rumah tangga mereka.


“Selepas kami jumpa Ustaz Asyallehan pada awalnya, kami disarankan menghadiri kursus rumah tangga dan berpeluang menemui kaunselor yang sedia membantu pasangan mempelai, seandainya mereka memerlukan bantuan,” kata Encik Muhammad Firdaus.


“Saya telah meraih manfaat daripada kursus rumah tangga yang dikendalikan oleh agensi pelantikan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) kerana ia membuat kami memikirkan tentang jangkaan kami terhadap pasangan selepas kami bernikah.

“Juga mengingatkan kami tentang peri pentingnya menstabilkan kewangan kami sebelum mempunyai anak, pentingnya memahami budaya keluarga pasangan dan mendedahkan kami pada aneka cara untuk menangani konflik,” kata Cik Wan Nurhidayah.


Namun, keupayaan untuk terus mendapat bimbingan daripada Ustaz Mohamed Asysallehan adalah sesuatu yang pasangan ini hargai menerusi program ‘Bersamamu’.


“Selepas mendirikan rumah tangga, kami tanya pelbagai soalan kepada Ustaz Asysallehan, antaranya berkenaan pemberian nafkah, ibu bapa mentua dan juga mengenai muzik. 

“Malah, Ustaz Asysallehan juga telah memainkan peranan penting dalam proses pencarian rumah pertama kami dengan memberikan pandangan dan nasihat bernas,” jelas Encik Muhammad Firdaus.


Selain itu, Ustaz Asysallehan juga akan memaklumkan mereka tentang pelbagai kursus rumah tangga yang sedia ada yang boleh terus membantu mereka mengukuhkan alam rumah tangga mereka. 


Menerusi sokongan dan bimbingan Ustaz Asysallehan, pasangan suami isteri muda seperti Encik Muhammad Firdaus dan Cik Wan Nurhidayah dapat permulaan baik dalam perkahwinan mereka dan berupaya mengukuhkan alam rumah tangga mereka sebelum memulakan keluarga sendiri.


Memberi sokongan kepada pasangan dengan menggalakkan mereka menurut serta dalam program persiapan perkahwinan dan mendapatkan pelbagai sokongan sedia ada selepas mendirikan rumah tangga adalah antara rancangan dalam Pelan Singapura Mesra Keluarga 2025 (Made For Families 2025 - MFF 2025).


Pelan ini mengandungi aspirasi keluarga oleh pemerintah serta rakan masyarakat lain yang bertujuan menjadikan Singapura sebuah negara di mana semua keluarga akan dihargai dan disokong.


Menerusi pelan MFF 2025 ini, beberapa inisiatif sepanjang tiga tahun ke depan akan dilancarkan. 


Ini termasuk bangunan Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pendaftaran Perkahwinan Muslim (ROMM) yang akan dinaik taraf, lebih banyak perlindungan perundangan mengatasi keganasan keluarga serta khidmat penjagaan anak yang baru. 


Sebuah tapak pernikahan baru di kawasan Zon Keluarga di Taman di Persisiran juga akan ditubuhkan mulai 26 November ini.


Berkongsi pendapat bahawa di antara cabaran yang sering dihadapi pasangan yang baru berumah tangga ialah dalam membuat penyesuaian ketika berhadapan dengan perbezaan cara masing-masing menjalani kehidupan seharian, Ustaz Asysallehan berkata:

“Perkahwinan sememangnya memerlukan pelbagai pengorbanan yang seharusnya dibuat oleh kedua-dua pasangan, bukanlah hanya pihak suami mahupun isteri sahaja. Ia juga memerlukan komunikasi serta tolak ansur, di mana kedua-dua pasangan memainkan peranan yang sangat penting. 

“Kerana sehebat mana pun setiap individu, pastinya setiap suami dan isteri mengharapkan bantuan dan kerjasama pasangan masing-masing ketika menguruskan hal ehwal rumah tangga.”


Bagi pasangan muda Encik Muhammad Firdaus dan Cik Wan Nurhidayah, mereka akur peri pentingnya membina alam perkahwinan yang stabil supaya mereka dapat memberikan suasana yang selamat dan menyayangi tatkala mereka mempunyai anak nanti. 


Keluarga kukuh dan stabil juga dapat memupuk individu yang berdaya tahan yang kemudian dapat membuat sumbangan penting pada masyarakat.


Lantaran itu, adalah penting bagi pasangan berkomunikasi serta bertolak ansur di dalam perkahwinan. 


“Kami rasa ia penting untuk memahami niat kami mendirikan rumah tangga pada awalnya iaitu kerana Allah s.w.t.. Dengan niat ini, kami akan terus berusaha membina keluarga sakinah, mawaddah, dan rahmah di samping terus memanfaatkan sokongan sedia ada seperti bimbingan dari Ustaz Asysallehan dan menyertai kursus rumah tangga supaya kami dapat membina keluarga yang kukuh dan stabil,” kata Encik Muhammad Firdaus. 


Lantaran itu, Ustaz Asysallehan turut menyarankan pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga teruskan usaha untuk menuntut ilmu-ilmu lain yang diperlukan seperti ilmu penjaga anak supaya dapat menjadi contoh yang baik bagi anak-anak yang bakal dilahirkan dan dibesarkan bersama. 


Antara program lain yang pasangan boleh ikuti adalah Saturdate kendalian Projek Arif, di mana pakar kesihatan dan para doktor dari Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) membincangkan perkara dan isu berkaitan kehamilan dan penjagaan anak-anak dan langkah-langkah yang boleh diambil oleh pasangan.




PELAN SINGAPURA MESRA KELUARGA 2025 

Pelan Singapura Mesra Keluarga 2025 adalah pelan nasional selama tiga tahun tentang bagaimana pemerintah, rakan masyarakat, perusahaan dan individu boleh sama-sama mencipta masyarakat mesra keluarga menjelang beberapa tahun akan datang. 

 Antara inisiatif dan sokongan untuk keluarga adalah:

SOKONGAN PERKAHWINAN 

  • Portal sehenti “Perjalanan Perkahwinan Kita” untuk perancangan perkahwinan.  
  • Program perkahwinan, bimbingan, bengkel-bengkel perancangan kewangan oleh rakan kongsi masyarakat.
  • Bangunan Pendaftaran Perkahwinan (ROM) dan Pendaftaran Perkahwinan Muslim (ROMM) akan siap dinaik taraf pada 2030.

Layari laman web, www.msf.gov.sg/marriageprep, untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang pelbagai program perkahwinan.

SOKONGAN PERUMAHAN

  • Lebih banyak flat BTO disediakan buat keluarga yang pertama kali memiliki flat.
  • Flat BTO dengan masa penantian lebih pendek dalam tempoh tiga tahun atau kurang.
  • Geran perumahan sehingga $80,000 untuk flat baru, atau sehingga $160,000 untuk flat jual semula.

SOKONGAN KEIBUBAPAAN 

  • Sokongan kewangan yang dipertingkatkan untuk pasangan yang sudah mendirikan rumah tangga dan mempunyai anak.
  • Skim Bonus Bayi, subsidi penjagaan kesihatan, Geran Medisave untuk Bayi Baru Lahir, dan Perlindungan Hayat Medishield sejak kelahiran bayi.
  • Skim Cuti Dibayar Pemerintah.
  • Subsidi pendidikan sehingga usia 16 tahun, berjumlah sekitar $180,000.
  • Kumpulan Sokongan Rakan Sebaya Ibu Bapa Kejiranan dan program keibubapaan oleh rakan masyarakat.

SOKONGAN PRASEKOLAH

  • Sebanyak 80 peratus kanak-kanak akan mendapat tempat di sebuah sekolah prasekolah yang disokong pemerintah pada 2025.
  • Had yuran di prasekolah yang mendapat dana sokongan pemerintah akan dikurangkan mulai Januari 2023.

 




Untuk mengetahui inisiatif lanjut buat keluarga, imbas kod QR atau layari laman web,

go.gov.sg/MFF2025plan, untuk Pelan Singapura Mesra Keluarga 2025. 



Pasangan juga boleh menghubungi Kadi atau Naib Kadi mereka semasa dua tahun pertama

perkahwinan mereka untuk mendapat sokongan atau berkenaan Program Persiapan

Perkahwinan(MPrep). Layari laman web, go.gov.sg/msfmarriagepreparation, untuk

maklumat MPREP dalam masyarakat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >