Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Kaitan Robux, PS5 dengan berpuasa

NAZRI HADI SAPARIN

Apr 11, 2022 | 05:30 AM



MEMANG kita tahu, banyak yang boleh diperoleh menerusi amalan berpuasa.



Antaranya, ia mengajar kita erti ketakwaan kita kepada sang Pencipta kerana kita menahan lapar dan dahaga semata-mata untuk-Nya.



Pada masa yang sama, dengan mengalami sendiri cabaran menahan lapar dan dahaga itu, ia mengingatkan kita supaya bersyukur dengan nikmat yang diberikan, dan menginsafi diri.



Bagi ibu bapa pula, ia merupakan peluang keemasan untuk menggariskan nilai-nilai tersebut kepada anak-anak.



Bagi anak-anak saya, saya dan isteri mengingatkan mereka bahawa mereka berpuasa semata-mata untuk Tuhan, dan setiap pagi kami melafazkan niat bersama dengan maknanya dalam kededua bahasa Melayu dan Inggeris.



Anak saya yang sulung, mempunyai autisme, justeru konsep puasa untuk Penciptanya itu mungkin tidak difahami sepenuhnya.



Namun, dia tahu bahawa puasa itu adalah sesuatu perkara yang baik dilakukan, dan sejak beberapa tahun lalu, kami berbangga dia dapat berpuasa 'penuh'.



Penuh dalam konteks bagi anak autisme kami ialah, dalam sebulan mungkin dalam dua, tiga hari dia akan meneguk air sedikit, dan sambung berpuasa. "Opps," katanya apabila ini berlaku, secara selamba. Jadilah.



Bagi anak saya yang kedua, anak neurotipikal berusia lapan tahun Julai ini, ini merupakan tahun ketiga dia berpuasa, dengan tahun lalu kali pertama dia berpuasa penuh 30 hari.



Malah, dialah yang paling ghairah untuk bangun sahur.



Setiap hari, tepat 8.30 malam, dia akan dengan sendirinya masuk ke bilik untuk bersiap tidur, supaya dapat bangun pada 4.30 pagi keesokan harinya.



Sememangnya, semangat daya tahan dalam kanak-kanak kadang-kala mengagumkan kita... lebih-lebih lagi kalau ada motivasi tambahan - ganjaran selepas 30 hari berpuasa.



Bagi anak saya yang sulung itu, ganjaran baginya ialah pergi ke tempat-tempat menarik, melakukan kegiatan seronok.



Jadi, sebagai hadiah berpuasa, dia meminta kami membawanya ke Dolphin Island di Sentosa.



Bagi yang nombor dua pula, dia tahu yang tuntutan ke atasnya lebih mencabar daripada si abang.



Sedang abang boleh minum sedikit dan sambung berpuasa, atau kadangkala bersahur pada 6 pagi (waktu sarapan biasa sebelum ke sekolah), dia pula perlu mengikuti jadual dan peraturan berpuasa seperti biasa.



Justeru, hadiah puasa baginya pula ialah sejumlah Robux, iaitu wang maya bagi wadah permainan dalam talian, Roblox, yang membolehkan penggunanya menikmati permainan video yang dicipta mereka atau pengguna lain.



Di samping Robux, satu lagi hadiah yang menantinya ialah alat permainan video PlayStation 5 (PS5) sekiranya cukup berpuasa sebulan.



Lumayan. Apabila saya mula berpuasa dulu, tidak ada pula ganjaran yang ditawarkan.



Apa yang menariknya, ganjaran PS5 ini bukan hanya menjadi motivasi bagi anak saya. Malah, ganjaran itu telah menjalani satu evolusi, dengan ia kini menjadi motivasi bagi rakan-rakannya di sekolah.



Tempoh hari, anak saya menelefon saya dalam perjalannya pulang dari sekolah.



Dengan nada yang sedih dan air mata bercucuran di pipi, dia mengaku telah minum air sedikit kerana terlalu haus.



Alasannya ialah dia menyertai rakan-rakan lain bermain semasa waktu rehat, kemudian turut serta juga dalam sesi Pendidikan Fizikal (PE) meskipun dia diberi kelonggaran tidak turut serta oleh guru.



Menurut anak saya, rakan-rakannya itu memarahinya kerana minum, sekali gus meletakkan kemungkinan ganjaran PS5 itu ditarik balik. Ini meskipun, apabila saya tanya, rakan-rakannya itu pun minum sama dengan anak saya, mereka semua buka puasa beramai-ramai.



Malah, salah seorang daripada mereka menyarankan agar anak saya tidak perlu mendedahkan apa yang berlaku itu kepada saya dan isteri.



Mujurlah, anak saya itu tidak berbohong, sebaliknya membuat keputusan memberitahu perkara yang berlaku.



Oleh sebab itu, saya katakan, ganjaran PS5 masih boleh menjadi kenyataan, tetapi mulai hari itu dia harus kekal konsisten berpuasa, selain melakukan beberapa perkara lagi yang akan saya tentukan kelak.



Dengan cepat dia bersetuju.



Ada sesetengah ibu bapa yang tidak bersetuju dengan pendekatan ganjaran ini. Terpulang, masing-masing bebas melakukan pendekatan keibubapaan yang dirasakan terbaik.



Tapi bagi yang masih belum buat keputusan, pengajaran daripada pengalaman saya: Jangan remehkan kuasa motivasi ganjaran!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >