Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:26
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

PAKISTAN DITENGGELAMI AIR

Kampung jadi tasik angkara banjir

Oct 15, 2022 | 05:30 AM



ENCIK Bharo Mal, seorang pemilik kedai runcit, dahulu mempunyai perniagaan yang maju, menjual barang keperluan harian, makanan dan sayur-sayuran kepada penduduk di kampungnya di daerah Tando Allahyar, Sindh, Pakistan.



Beliau, 60 tahun, berkata pada hari yang baik, beliau berupaya meraih pendapatan sekitar 2,500 Rupee ($16.45) setiap hari dan menikmati keuntungan sekitar 300 hingga 400 rupee ($2.63).



Wang itu cukup untuk menampung kehidupan beliau bersama keluarganya, kata bapa enam anak itu ketika ditemui wartawan Berita Harian baru-baru ini.



Namun kini, Encik Mal hanya mampu duduk-duduk sahaja dalam sebuah tempat berteduh yang diperbuat daripada batang kayu pokok kapas dan beratapkan beberapa kain khemah.



Rumahnya telah musnah akibat banjir dua bulan lalu. Beliau bersama beberapa keluarga lain kini menginap di 'kediaman' sementara itu, yang terletak di sebuah tanah lapang sebagai tempat berteduh sementara.



Di belakangnya, kelihatan sebuah 'tasik' yang luasnya sekitar tiga kilometer.



"Itulah kampung kami," katanya sambil menuding ke arah tasik itu, merujuk kepada kampungnya yang bernama Mohammad Hashim Noodan.



Terletak lebih 40 kilometer dari kota Hyderabad, kampung Encik Mal, seperti ribuan kampung lain di wilayah Sindh, terjejas teruk dalam kejadian banjir besar akibat hujan yang berterusan di Pakistan, dari Julai hingga Ogos lalu.



Hingga kini, kampung mereka masih ditenggelami air.



Ketika ditinjau Berita Harian dan pasukan Mercy Relief, yang ke Pakistan, beberapa bangunan separuh tenggelam kelihatan di 'tebing' tasik itu, namun di tengahnya pula tidak kelihatan apa-apa bangunan di permukaan air kecuali beberapa pokok sahaja.



Mercy Relief berada di situ dengan badan bukan pemerintah Pakistan, Program Sokongan Daerah Kecil (NRSP) untuk meninjau keadaan tempat berteduh penduduk di situ kelmarin.



Salah seorang kakitangan NRSP yang menguruskan daerah Tando Allahyar dan Matiari berkata, lebih 1,000 orang duduk di kampung yang tenggelam itu.



Di tempat berteduh yang sempit itu, Encik Mal menunjukkan kepada wartawan beberapa kotak kayu.



Di dalamnya adalah beberapa paket seperti garam, buah-buahan dan kentang yang diselamatkannya apabila banjir berlaku, namun tidak dapat dijual sejak lebih dua bulan lalu.



"Tiada orang yang berupaya membelinya kerana ladang semua telah rosak dan tiada pekerjaan untuk penduduk di sini," jelasnya.



Beliau berkata hampir semua tanaman pertanian, seperti pohon kapas, pokok pisang, bijirin, pokok tebu, dan lain-lain lagi telah rosak, dan 80 peratus haiwan ternakan mereka mati disebabkan penyakit.



Itu merupakan sumber pendapatan bagi kebanyakan penduduk di situ yang tidak memiliki tanah sendiri, namun menyewa dan menguruskan ladang tuan tanah untuk mendapat gaji seharian.



Bukan itu sahaja, keadaan tempat tinggal di kem sementara juga membawa bahaya.



Antara lain mereka terdedah kepada penyakit bawaan air seperti demam teruk berpunca daripada nyamuk, cirit-birit dan lain-lain lagi.



Encik Mal juga mendedahkan beliau kehilangan seorang cucu perempuan 20 hari lalu selepas digigit ular.



"Hidup di sini tak sesuai dan mendatangkan banyak masalah kepada kami, ia susah untuk kami teruskan hidup," katanya.



Penduduk kampung tersebut berada di sebuah plot tanah yang diizin tuan tanah untuk mereka berteduh sementara. Termasuk juga haiwan ternakan mereka.



Pegawai NRSP berkata mereka bakal dihalau keluar jika tuan tanah tidak setuju melanjutkan penginapan mereka jika banjir tidak surut.



Encik Mal juga telah menyuruh dua anak lelakinya bertugas di ladang berdekatan lain agar dapat memulangkan sedikit gaji untuk menyara hidup.



"Setiap hari, kami hanya fikirkan bagaimana untuk teruskan hidup kami," keluhnya.



Pengerusi Mercy Relief, Encik Satwant Singh, yang berada di situ berkata keperluan mendesak penduduk di situ adalah tempat berteduh yang lebih lengkap.



"Saya tak rasa air akan surut dalam dua atau tiga bulan mendatang. Jadi mereka akan perlukan tempat berteduh lebih baik atau kemudahan perumahan sementara.



"Itu dan juga pakaian perlindungan sejuk menjelang musim sejuk akan datang," ujarnya.



Selain itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan NRSP untuk menyediakan kaedah bagi penduduk kampung yang terjejas dek banjir mendapatkan gaji menerusi pekerjaan memandangkan ladang dan haiwan ternakan mereka banyak telah rosak.




"Apa yang boleh didapati sekarang adalah kesan banjir di Pakistan mungkin berlarut hingga tempoh berpanjangan.

Saya tak rasa banjir akan surut dalam dua atau tiga bulan jadi apa yang kami perlu lakukan adalah untuk menghulurkan bantuan jangka panjang yang mungkin boleh berlangsung sekurang-kurangnya setahun...

Keperluan mendesak sekarang adalah menyediakan perumahan sementara lebih lengkap, juga kerana musim sejuk akan datang.

Program selanjutnya adalah membolehkan mereka menyara hidup secara berdikari agar mereka dapat meraih pendapatan dan menyokongi urusan seharian mereka.

Lagi satu keperluan mendesak termasuk menyediakan kemudahan jagaan dan perubatan lebih lengkap bagi mereka yang memerlukan dengan bekerjasama dan membantu penyedia kesihatan di sini."

- Encik Satwant Singh, Pengerusi Mercy Relief.




Ikuti kisah masyarakat di Pakistan yang terpaksa membina semula kehidupan mereka selepas kampung mereka ditenggelami banjir menerusi lensa wartawan Berita Harian, Harith Mustaffa. Harith berpeluang mendampingi masyarakat di sana semasa mengikuti misi kemanusiaan Mercy Relief selama seminggu di sana.




LAWATAN MERCY RELIEF KE PAKISTAN



TARIKH: 10-13 Oktober

TUJUAN LAWATAN:



  • Pengagihan pek bantuan kepada lebih 250 keluarga

  • Jalin hubungan dengan rakan tempatan, Program Sokongan Kawasan Terpencil (NRSP), Pakistan

  • Tinjauan keperluan di kawasan perkhemahan sementara penduduk kampung terjejas banjir

  • Tinjauan keperluan perubatan bagi jagaan wanita dan kanak-kanak khususnya wanita yang akan dan baru bersalin.

Tindakan lanjut:



  • Penyediaan tempat berteduh sementara dan pakaian hangat menjelang musim sejuk

  • Penyediaan bantuan kewangan bagi menyokong penduduk kampung bekerja semula bersama NRSP

  • Bantuan sokongan kemudahan jagaan bagi wanita dan perubatan




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >