Ramai yang biasa menghabiskan masa lapang mereka dengan rehat semata-mata.
Namun, bagi Cik Nur Sekhah Pungut, pembantu rumah berasal dari Semarang, Jawa Tengah di Indonesia, beliau bertekad untuk memanfaatkan masa lapangnya dengan menghadiri kelas peningkatan dirinya.
“Daripada kami membazirkan waktu semasa hari cuti kami, lebih baik kami mengambil masa untuk hadiri kursus kerana ia lebih bermanfaat,” kata beliau.
Kini beliau sedang berusaha mendapatkan Diploma Lanjutan dalam bidang Sains Penjagaan Kesihatan di Newton International College (NIC) – sebuah institusi pendidikan privet di Selegie Road, menyediakan kursus Diploma, Kursus Lanjutan, Diploma Lanjutan dan pelbagai Kursus Sijil Singapura dan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dengan akreditasi tinggi.
Cik Sekhah, 38 tahun, yang menetap di Kim Tian Place, dijadualkan tamat pengajian beliau pada September 2024.
Beliau berkongsi bahawa hasratnya adalah untuk beralih kerjaya daripada seorang pembantu rumah kepada kakitangan di rumah penjagaan orang tua.
“Saya sudah belajar dan pertingkatkan diri saya, jadi saya ingin ke tempat menjaga orang tua seperti di rumah penjagaan warga senja,” jelas beliau.
Salah satu sebab beliau ingin berbuat demikian adalah kerana ingin meraih gaji yang lebih tinggi.
“Saya ingin gaji lebih besar kerana saya mempunyai anak berusia 15 tahun yang masih sekolah, jadi saya ingin sediakan lebih banyak duit untuk membiayai persekolahannya,” tambah beliau.
Usaha beliau untuk pertingkatkan diri bermula pada 2014 semasa beliau bekerja bersama majikan keduanya.
Beliau mengikuti kelas bahasa Inggeris kerana ingin berbahasa Inggeris agar dapat berkomunikasi bersama orang ramai dengan lebih mudah.
Beliau juga menghadiri kelas menangani pesakit demensia untuk membantu menjaga ahli keluarga majikannya pada masa itu.
Beliau kini dapat hadiri dan fahami apa yang diajar semasa kelasnya di NIC.
Cik Sekhah juga berkata bahawa dengan apa yang beliau pelajari di sekolah membantunya menjaga orang tua dengan lebih baik lagi.
Menurutnya, mengimbangi sekolah dan kerja merupakan perkara yang amat sukar.
Beliau berkongsi bahawa dirinya harus belajar semasa waktu rehat dan harus tidur lewat, selewat 2 atau 3 pagi, bagi menghabiskan tugasan sekolahnya.
Cik Sekhah hanya dapat menghadiri kelas dua bulan sekali kerana sibuk menjaga ahli keluarga majikannya.
Beliau juga menghabiskan duit beliau sendiri, sebanyak $250 sebulan (sekitar lebih daripada 30 peratus daripada gajinya) untuk membayar yuran sekolahnya.
Cik Sekhah mengakui bahawa beliau tidak akan dapat mengejar impiannya jika beliau tidak mempunyai majikan yang menyokongnya.
“Majikan saya katakan kepada saya, “kalau kamu masih boleh belajar, belajarlah agar boleh dapatkan pekerjaan yang lebih baik”,” kongsi Cik Sekhah.
Cik Sekhah juga berpendapat bahawa majikan beliau tidak ragu-ragu menyokong dan membantunya kerana beliau sudah melaksanakan tugas dengan baik.
Apabila dihubungi Berita Minggu (BM), majikan Cik Sekhah enggan memberi komen kerana mereka sedang berduka menyusuli kematian anggota keluarga mereka baru-baru ini.
Cik Sekhah benar-benar berharap melalui usaha, pengalaman dan kelayakan yang diperolehinya, hasratnya untuk menjadi kakitangan rumah penjagaan warga senja akan tercapai.
“
Daripada kami membazirkan waktu semasa hari cuti kami, lebih baik kami mengambil masa untuk hadiri kursus kerana ia lebih bermanfaat... Saya sudah belajar dan pertingkatkan diri saya, jadi saya ingin ke tempat menjaga orang tua seperti di rumah penjagaan warga senja.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg