Tatkala mononton sebuah video baru-baru ini yang menampilkan anak muda Melayu Singapura satu per satu mengakui bahawa mereka tidak fasih berbahasa Melayu dan kekok berbual bahasa Ibunda mereka menimbulkan kerisauan dalam diri ini.
Maaf kata, tetapi kadangkala rasa agak meluat jika saya bertemu belia yang dengan bangganya menjunjung bahasa Inggeris sedangkan diri sendiri berbangsa dan berketurunan Melayu.
Adakah ia disebabkan mereka anggap bahasa Melayu itu ‘low class’ berbanding bahasa ‘mat salleh’?
Ataupun mereka benar-benar tidak begitu terdedah dengan bahasa tersebut?
Sejak kecil lagi, saya dibesarkan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa utama – drama televisyen Melayu, rancangan radio Melayu, akhbar Melayu, lagu Melayu.
Bahasa Melayu menjadi sesuatu yang membentuk sebahagian besar jati diri saya.
Jarang sekali keluarga bertutur bahasa Inggeris di rumah.
Sebaliknya, saya banyak terdedah kepada bahasa Inggeris di sekolah dan meningkatkan penguasaan bahasa tersebut dalam interaksi bersama guru dan teman berlainan bangsa.
Ramai ibu bapa kini menghantar anak mereka ke tuisyen atau kelas tambahan pada usia yang lebih awal untuk mengasah kemahiran dalam bahasa Ibunda.
Walaupun ia satu usaha yang baik kerana ini bermakna ibu bapa lihat kepentingan bahasa Ibunda, saya juga percaya sekitaran di rumah memainkan peranan yang besar.
Tidak cukup untuk sekadar bergantung kepada ‘sumber luaran’.
Ibu bapa juga bertanggungjawab pupuk perasaan cinta terhadap bahasa Ibunda dan menunjukkan contoh yang baik dalam menutur bahasa tersebut dengan kerap.
Saya juga rasa dengan tekanan sistem akademik sekarang, ibu bapa mungkin melihat bahasa Melayu sebagai satu subjek peperiksaan daripada bahasa yang digunakan untuk tujuan praktikal.
Mempelajari bahasa Melayu baku yang dianggap ‘sempurna’ akan dititikberatkan dan boleh membuat seseorang anak hilang minat terhadap bahasa demikian.
Justeru sama penting untuk mengajar bahasa ‘pasar’ kepada anak supaya mereka tidak rasa janggal berbual bahasa Melayu dalam konteks harian.
Banci penduduk mendapati lebih banyak isi rumah menggunakan Inggeris sebagai bahasa yang paling kerap digunakan. Dalam kalangan penduduk berusia lima tahun dan ke atas pada 2020, hampir separuh berbual bahasa Inggeris paling banyak, satu peningkatan daripada sekitar sepertiga pada 2010.
Ia merisaukan untuk melihat perkembangan tersebut dan saya tidak mahu anak-anak saya membesar menjadi seorang yang mewar-warkan bahawa beliau “don’t know how to speak Malay”.
Sebagai seorang ibu sekarang, saya kerap mengingatkan diri saya agar bertutur bahasa Melayu bersama anak saya.
Ia menjadi satu komitmen bahawa jika saya ajar anak saya perkataan Inggeris, saya perlu memberi terjemahannya dalam bahasa Melayu.
Ini adalah dengan harapan bahawa anak saya dapat menjadi individu yang mahir berdwibahasa kelak.
Saya tidak menafikan atau meremehkan kebimbangan ibu bapa yang mungkin rasa anak mereka akan berdepan dengan masalah di sekolah kerana tidak selalu mengamalkan bahasa Inggeris di rumah.
Tetapi seperti yang ditekankan dalam ucapan Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing baru-baru ini, kajian menunjukkan bahawa otak kita mempunyai keupayaan untuk membuat penyesuaian.
“Sedang anak-anak ini beransur-ansur terdedah kepada penggunaan meluas Inggeris di sekolah dan masyarakat, otak mereka akan membuat penyesuaian, dan penguasaan Inggeris mereka akan semakin baik lama kelamaan,” katanya.
Malah beliau berkata keupayaan berdwibahasa penting dan membolehkan warga Singapura berhubung dengan orang ramai merentas negara dan budaya, sambil mengekalkan keyakinan terhadap identiti diri dalam dunia globalisasi.
Walhasil, kita tidak mahu menjadi ibu bapa yang menjadi ‘punca’ anak kita hanya mampu ekabahasa.
Dalam jangka panjang, saya pasti keupayaan berdwibahasa akan dipandang sebagai kemahiran istimewa yang dimiliki seseorang.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg