Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

SAJIAN KHAS HARI INI: HOBI

Keluarga 6 beranak bentuk kugiran, 'jamming' di rumah erat silaturahim

Feb 01, 2023 | 05:30 AM



KELUARGA enam beranak ini meluangkan masa mereka bersama dengan melakukan sesi 'jamming' di rumah mereka setiap hujung minggu.



Encik Suhaimi Latiff, 45 tahun, mula 'jamming' bersama isteri dan empat anak-anaknya sejak tempoh pemutus litar Covid-19 dan kini ia telah menjadi satu kegiatan rutin setiap minggu di flat jumbonya di Bedok North.



Sejak kecil lagi, Encik Suhaimi telah didedahkan kepada muzik dan dengan perlahan, beliau juga mengenalkan dan mengajar anak-anaknya muzik.



Encik Suhaimi gembira kerana mereka semua telah menimba pengetahuan muzik dengan cara mereka tersendiri.



Anak-anaknya kini berusia antara 10 dengan 13 tahun. Yang sulung, bermain gitar, anak keduanya bermain keyboard dan anak kembarnya, seorang bermain bass dan seorang lagi menjadi penyanyi kugiran.



"Idea untuk kami bermain muzik bersama tercetus apabila saya terlihat di kaca televisyen ada sepasang warga emas yang masih tegap bermain alat muzik. Suaminya bermain keyboard manakala isterinya menyanyi.



"Saya pun memberitahu isteri, betapa indahnya jika kami boleh menua seperti mereka dan kami pun terfikir mengapa tidak. Ia bermula dengan saya dan isteri. Kemudian anak-anak juga turut serta bermain muzik memandangkan musim Covid-19 dan kami semua di rumah," ujar pengarah kreatif itu yang mahir dalam bermain pelbagai alat muzik. Isterinya, Cik Julia Jemangin, 47 tahun, seorang pengurus komunikasi korporat, pula berbakat dalam bermain dram.



Encik Suhaimi dan Cik Julia pernah membentuk sebuah kumpulan rok moden bersama dua lagi ahli, yang dinamakan 'Monofone'. Kumpulan itu berjaya menjadi naib juara dalam satu pertandingan anjuran stesen radio Power 90 pada 2005.



Setelah beberapa sesi latihan, lengkap dengan pemain gitar, bass, dram, keyboard dan penyanyi, keluarga itu membentuk sebuah kugiran yang dinamakan 'Relexjex'.



Namanya itu diilhamkan daripada frasa "relax ah jack', menggalak individu untuk bersantai, terutama apabila ramai yang berasa tertekan semasa Covid-19.



Berbelanja dengan wang tidak melebihi $3,000, Encik Suhaimi telah membeli set dram elektrik, gitar bass, amplifier bass dan juga mikrofon untuk latihan 'jamming' di rumah. Menurut Encik Suhaimi, beliau memastikan kadar bunyi dari sesi 'jamming' mereka tidak terlalu kuat dengan menggunakan dram elektrik. Dram sebegini sesuai untuk dimainkan di rumah, selain suara amplifier dan mikrofon dikawal.



"Bermain muzik bersama telah mengeratkan lagi hubungan kami sekeluarga. Saya amat gembira keluarga saya juga seronok bermain muzik.



"Muzik ialah semangat dan minat saya sejak muda lagi dan tidak ada sehari yang berlalu, saya tidak memikirkan muzik," jelas beliau.



Semangat Relexjex bermain muzik bersama juga telah menarik perhatian kejiranan Fengshan dan mereka telah diundang untuk membuat persembahan sambutan Hari Kebangsaan Fengshan 2020 secara virtual.



Menyusuli itu, pengetua Sekolah Rendah Bedok Green (sekolah anak-anaknya) telah mengunjung keluarga itu untuk sertai sesi 'jamming' bersama.



Relexjex kemudian dijemput untuk membuat persembahan di Sekolah Rendah Bedok Green pada 2021.



Sejak bermain sebagai kugiran bersama, keluarga itu memberi lebih tumpuan kepada lagu-lagu klasik rok seperti Eagles, Guns 'N' Roses dan Led Zeppelin.



Selain lagu Inggeris, klasik Melayu juga tidak dilupakan, kata Encik Suhaimi yang berkata mereka juga memainkan lagu-lagu klasik Melayu daripada P. Ramlee.



Kini repertoir Relexjex menjangkau lebih 20 lagu sejak mereka berlatih bersama buat pertama kali pada 2020.



Menurut Encik Suhaimi, ramai rakan-rakannya juga gembira apabila mendapat tahu bahawa keluarganya bermain muzik bersama.



"Sejujurnya, ia tidak sukar. Saya sering menasihati mereka agar mencubanya. Dengan sedikit usaha seperti mengikut tutorial dalam talian mengenal nota lagu-lagu atau cara bermain instrumen, mereka juga boleh bermain bersama.



"Jika sesiapa perlu bantuan, saya bersedia untuk membantu," ujarnya.



"Setiap keluarga mempunyai minat dan keistimewaannya sendiri. Bagi kami, inilah semangat kami dan saya gembira, hobi yang dimulakan sejak Covid-19 masih diamalkan," tambahnya.



Meluahkan harapannya untuk keluarganya, Encik Suhaimi berkata:



"Jika diberi peluang atau kesempatan, saya ingin membuat persembahan di Esplanade Theatres by the Bay bersama keluarga, satu hari nanti."



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >