Mencecah usia 60-an tahun, sekumpulan individu ini menjadi inspirasi kehidupan era emas yang penuh makna.
Antaranya seorang suri rumah yang gemar mendaki gunung dan bermain kasut roda, seorang bekas pesakit barah yang kini seorang jurulatih senaman dan giat menjadi model sambilan, serta artis veteran Singapura yang masih ‘menyengat’.
Sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 Singapura (SG60), Berita Minggu menampilkan individu ini untuk mencungkil rahsia mereka kekal bertenaga dan awet muda.
Suri rumah Cik Suriyati Rahmat Graham, 60 tahun, yang kini menetap di Sepanyol, bergiat dalam aktiviti lasak seperti mendaki gunung, sukan tenis dan bermain kasut roda.
“Saya memang suka beriadah, tetapi saya bukanlah jenis yang jaga makan. Tetapi kehilangan bapa saya 15 tahun lalu akibat barah, membuat saya terfikir tentang kesihatan saya sendiri dan memaksa saya buat perubahan untuk kesihatan yang berpanjangan,” ujarnya.
Guru pendidikan jasmani dan model sambilan, Encik Arun Rosiah, 60 tahun, bapa tiga anak yang baru menimang seorang cucu, berasa teruja dengan kehadiran cucunya itu dan bercita-cita untuk kekal sihat dan meningkatkan pengetahuan agama serta akademik untuk menjadi teladan baik buat cucunya.
“Sebagai seorang bapa sewaktu muda, saya sibuk bekerja jadi kurang memberikan perhatian menyeluruh buat anak-anak, tetapi sekarang saya sudah separuh bersara, dan saya ingin menjadi peneman dan contoh teladan buat cucu saya,” kata mualaf yang pernah mengidap penyakit barah itu. Beliau juga merancang mengambil lagi mata pelajaran Matematik dalam GCE peringkat ‘O’.
Cabaran hidup memang sudah menjadi lumrah dan setiap orang pasti akan melaluinya, namun bagi pelakon, pengacara dan pelawak terkenal Era Farida, 60 tahun, yang baru kehilangan ibunya tiga tahun lalu, beliau menghindari stres dengan membaca, berjalan, menonton filem ditemani oleh dua kucing kesayangannya.
“Jangan terlalu stres. Semua orang akan lalui liku-liku hidup, tetapi kita harus paksa diri untuk berfikiran positif,” kata pelakon veteran itu.
Menurut pakar psikologi untuk warga emas, Dr Wayne Freeman Chong, gaya hidup aktif ialah penting bagi warga emas untuk mengekalkan kesihatan kognitif, kesejahteraan emosi dan daya tahan fizikal.
“Kegiatan seperti berjalan kaki, tai chi dan aerobik bukan sahaja menguatkan badan, bahkan melambatkan perkembangan gangguan kognitif ringan,” jelasnya.
Pakar geriatrik, Dr Nur Farhan Alami, pula berkata individu yang lebih tua biasanya mengambil masa lebih lama untuk memproses maklumat, dan mengalami hilang ingatan.
“Ini sebahagian daripada proses biasa penuaan. Warga emas boleh mengekalkan kesihatan kognitif dengan mempelajari kemahiran baru, bersosial, kerap bersenam dan makan makanan seimbang,” kongsinya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg