Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Langkah pertingkat perlindungan, perkasa mangsa keganasan keluarga

Pindaan terhadap Rang Undang-Undang Piagam Wanita (Keganasan Keluarga dan Perkara-Perkara Lain) telah diluluskan pada Julai, meluaskan lagi perlindungan bagi mangsa keganasan keluarga. BERITA HARIAN menjengah isu keganasan keluarga serta usaha yang perlu diteruskan bagi mewujudkan ekosistem dipertingkat bagi mangsa.
Jul 31, 2023 | 05:31 AM



Fasa ‘bulan madu’ yang biasanya dinikmati pasangan yang baru mendirikan rumah tangga cukup berbeza bagi Cik Anis (bukan nama sebenar) – ia seolah-olah mimpi buruk.

Setelah terpaksa berhenti kerja disebabkan kehamilan anak pertama, beliau dan suami sering bergaduh tentang hal kewangan.

Tidak cukup kata-kata kesat yang dilontarkan, Cik Anis juga seringkali dipukul dan ditendang suaminya apabila beliau ‘naik angin’, mengakibatkan lebam dan luka di merata tubuhnya termasuk pada wajah.

Demi “menjaga maruah keluarga”, Cik Anis, 31 tahun, tidak memberitahu sesiapa tentang apa yang berlaku di rumah selama lebih empat tahun.

Namun, apabila suaminya itu mula memukulnya di hadapan tiga anak mereka, Cik Anis memutuskan untuk meninggalkan rumah itu bersama anak-anaknya.

“Saya dah tak boleh tahan lagi pada masa itu selepas kami bergaduh depan anak-anak.

“Kerana saya tak nak anak-anak saya alami perkara ini, ini bukan persekitaran keluarga yang baik untuk mereka,” ujarnya, yang telah memberanikan diri membuat laporan polis dan mendapatkan bantuan peguam.

Cik Anis kemudian mendapat tahu suaminya itu berhutang ratusan ribu dolar – yang sebelum ini disorokkan daripada pengetahuannya – disebabkan si suami tahi judi.

Selepas keluar dari rumah bersama anak-anaknya, Cik Anis langsung memohon Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadap suaminya.

Mereka bercerai pada 2021.

“Meskipun saya memang takut terserempak atau bertemu beliau (untuk hal-hal tertentu) sekarang, kewujudan PPO ini membuat saya rasa lebih selamat,” kata Cik Anis semasa ditemu bual Berita Harian (BH).


Tahun lalu, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyiasat hampir 2,300 kes baru berkaitan keganasan keluarga.

Talian antikeganasan dan gangguan seksual pula menerima lebih 10,000 panggilan meminta bantuan.

Ramai mangsa keganasan keluarga seperti Cik Anis bimbang tentang keselamatan diri dan anak-anak.

Mereka kini boleh mendapatkan perlindungan lebih banyak di bawah pindaan terhadap Piagam Wanita yang diluluskan di Parlimen pada Julai.

Menurut pengarah urusan firma guaman Crescent Law Chambers LLC, Encik Ahmad Nizam Abbas, dalam kes seperti Cik Anis, mangsa boleh menambah kepada perintah yang dikenakan kepada pesalah, termasuk dengan memohon Perintah Menjauhkan Diri (Stay Away Order) dan Perintah Dilarang Berhubung (No Contact Order).

“Sebelum ini, PPO biasanya dikenakan bagi kejadian di rumah. Tapi kini mangsa boleh dilindungi di tempat kerja dan juga di mana sahaja beliau tetapkan.

“(Dengan dikenakan perintah ini) pesalah tidak boleh mengganggu mangsa dengan menghubunginya di tempat kerja atau menunggu mangsa di luar bangunan pejabat,” kata Encik Nizam.

Beliau menambah Perintah Dilarang Berhubung itu juga merangkumi gangguan dalam talian, di mana pesalah boleh diminta untuk tidak mengganggu mangsa di media sosial, contohnya.

PERLINDUNGAN DIPERTINGKAT

Perintah Menjauhkan Diri dan Perintah Dilarang Berhubung merupakan antara perubahan yang dikuatkuasa selepas pindaan tersebut demi mempertingkat perlindungan yang diberikan kepada mangsa keganasan keluarga.

Tahun lalu, sekitar 2,000 permohonon PPO dibuat kepada Mahkamah Keadilan Keluarga, yang mana 25 peratus daripadanya dibuat oleh kaum Adam.

Menambah kepada fungsi PPO, kededua perintah baru itu diperkenalkan bagi memastikan pesalah tidak langsung berhubungan dengan mangsa dalam apa jua cara sekalipun, termasuk secara fizikal, pertuturan atau digital.

Pekerja Sosial di rumah kebajikan Casa Raudha, Cik Nur Elisa Md Samsol, berkata:

“Sekatan ini dapat membantu dalam mengelakkan berlakunya gangguan dan intimidasi, dan ini dapat memberikan mangsa ruang yang diperlukan untuk rasa selamat dan untuk membuat keputusan dengan lebih baik tentang masa depan mereka.”

Selain sekatan tambahan yang diperkenalkan itu, takrifan keganasan keluarga yang dikemas kini turut menyumbang terhadap peningkatan perlindungan bagi mangsa keganasan.

Takrifan bagi “keganasan keluarga” kini jelas merangkumi penderaan fizikal, seksual, emosi dan psikologi di bawah pindaan tersebut.

Ini termasuk tingkah laku mengawal atau memaksa, contohnya ugutan atau sentiasa membuat panggilan untuk mengetahui keberadaan mangsa.

Takrifan tersebut mengiktiraf bahawa penderaan dengan cara apa sekalipun perlu diambil serius kerana ia mempunyai kesan berpanjangan, kata pengerusi SG Her Empowerment (SHE), Cik Stefanie Yuen semasa dihubungi BH.

Undang-undang yang diperbaharui itu turut menunjukkan komitmen terhadap usaha memberikan perlindungan menyeluruh kepada semua individu yang mengalami penderaan dalam konteks keluarga, tambahnya.

“Ini memastikan mangsa gangguan emosi dan psikologi diberikan perhatian sewajarnya.

“Dengan menjelaskan jenis tingkah laku yang boleh dikategorikan sebagai keganasan keluarga, takrifan baru itu juga boleh digunakan dalam mendidik masyarakat awam dan meningkatkan kesedaran akan jenis penderaan berbeza,” ujar Cik Yuen.

‘SUARA’ MANGSA LEBIH LANTANG

Perubahan pada undang-undang yang diperkenal juga lebih memperkasa mangsa untuk membuat keputusan sendiri serta menawarkan rangkaian sokongan untuk membantu mereka dalam mengambil tindakan.

Pindaan tersebut merangkumi langkah menyediakan sumber serta bantuan untuk membantu mangsa membina semula kehidupan mereka, menurut pengurus pusat khidmat keluarga PPIS (Persatuan Pemudi Islam Singapura) FSC East, Cik Nuraida Khalid.

Ia turut memperkasa mangsa lebih muda untuk bertindak, antaranya dengan membenarkan individu berusia antara 18 dengan 20 tahun untuk memohon PPO sendiri, tanpa bantuan anggota keluarga atau individu dilantik lain.

Sebelum ini hanya individu berusia 21 tahun ke atas boleh membuat permohonan untuk PPO sendiri.

“Salah satu cabaran utama yang dihadapi mangsa dalam memohon PPO adalah kebimbangan didendam anggota keluarga lain kerana melaporkan mengenai anggota keluarga sendiri.

“Kriteria untuk mencari wakil untuk memohon PPO bagi pihak mereka boleh menghalang mangsa daripada mendapatkan perlindungan yang diperlukan,” kata Cik Nuraida.

Dalam pada itu, ‘pelindung’ juga kini boleh campur tangan dalam kes tertentu di bawah undang-undang baru tersebut, memberikan mangsa sokongan serta bimbingan yang diperlukan dalam situasi terdesak.

 ‘Pelindung’, yang merujuk kepada mereka yang mempunyai kelayakan serta pengalaman yang sesuai, yang dilantik Ketua Pengarah Kebajikan Sosial MSF.

Antara bidang kuasa yang diberikan kepada mereka termasuk mengeluarkan Perintah Kecemasan di tempat kejadian, dalam kes-kes berisiko tinggi di mana terdapat bahaya pelaku akan melakukan keganasan keluarga terhadap mereka yang terselamat.

“Ini penting terutama sekali apabila terdapat risiko tinggi berlakunya keganasan keluarga tetapi mangsa enggan memohon PPO.

“Langkah ini memastikan mereka dilindungi dari segi undang-undang, dan ‘pelindung’ boleh memastikan hak mereka terpelihara,” kata Cik Nur Elisa.

SEKADAR PERMULAAN

Perubahan yang telah dikuatkuasakan melalui pindaan yang diluluskan, dialu-alukan dalam usaha menghentikan lingkaran keganasan keluarga.

“Kami percaya langkah-langkah ini boleh membantu meningkatkan kesedaran tentang keganasan keluarga serta sumber yang tersedia bagi mangsa dan keluarga.

“Ia juga akan memperkasa mangsa dan orang ramai untuk bertindak mendapatkan perlindungan,” menurut jurucakap Pusat Khidmat Keluarga Foundation of Rotary Clubs Singapore (FRCS).

Namun, usaha membina ekosistem yang lebih menyeluruh dalam mengatasi isu ini perlu diteruskan.

Dalam kenyataannya, Persatuan Wanita bagi Tindakan dan Kajian (Aware) berkata takrifan bagi setiap jenis keganasan keluarga seperti emosi, psikologi dan seksual, perlu disenaraikan dengan lebih jelas.

“Ini dapat membantu mereka yang terlibat dalam mengendalikan kes-kes ini termasuk yang menyediakan khidmat sokongan dan juga anggota masyarakat awam,” katanya.

Pada masa yang sama, ia berharap penderaan daripada segi kewangan turut terangkum di bawah takrifan keganasan keluarga bagi memberikan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada mangsa.

Aware turut menggesa agar lebih banyak sokongan, termasuk daripada segi perumahan, pekerjaan, imigrasi, kesihatan mental dan psikologi, turut disediakan bagi mangsa, terutama sekali warga asing dan anak-anak mereka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >