Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karyawan wanita pun alami penderaan rumah tangga

Podcast BH, #NoTapis, bincang keganasan terhadap wanita, pembangunan mereka di S’pura bersama peguam dan CEO badan perkasa wanita
Jul 27, 2023 | 1:13 PM
BINCANG TENTANG KEGANASAN TERHADAP WANITA:  Wartawan Berita Harian, Cik Natasha Mustafa (kanan), bersama Encik Nizam Abbas dan Cik Simron Toor membincangkan tentang keganasan terhadap wanita dan bagaimana Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita membantu memajukan pembangunan wanita di Singapura dalam podcast BH, #NoTapis.
BINCANG TENTANG KEGANASAN TERHADAP WANITA: Wartawan Berita Harian, Cik Natasha Mustafa (kanan), bersama Encik Nizam Abbas dan Cik Simron Toor membincangkan tentang keganasan terhadap wanita dan bagaimana Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita membantu memajukan pembangunan wanita di Singapura dalam podcast BH, #NoTapis. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Penderaan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Walaupun ada orang menyangka wanita tidak berpendidikan atau tidak bekerja lebih mudah menjadi mangsa penderaan rumah tangga, wanita bekerja profesional sebenar tidak terkecuali daripada mengalami nasib sama.

Seorang peguam, Encik Nizam Abbas, berkata meskipun memegang jawatan kepimpinan tinggi di tempat kerja, di rumah ada wanita profesional menjadi mangsa penderaan di sebalik pintu tertutup.

Beliau berkata demikian dalam sebuah episod podcast Berita Harian, #NoTapis, mengenai keganasan terhadap wanita dan bagaimana Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dibentangkan oleh pemerintah pada Mac 2022 telah membantu memajukan pembangunan wanita di Singapura.

Turut menyertai perbincangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SG Her Empowerment (SHE), Cik Simran Toor.

SHE adalah sebuah badan tidak mencari untung (NPO) berstatus Institusi Bertaraf Awam (IPC) yang berusaha memperkasa kanak-kanak perempuan dan wanita melalui pelibatan dan perkongsian masyarakat.

Encik Nizam menceritakan kisah seorang kliennya, iaitu seorang peguam yang suaminya seorang doktor.

Menurut beliau, pasangan itu kelihatan seperti pasangan sempurna tetapi di rumah wanita itu didera melalui pelbagai cara.

“Suaminya sering mengawalnya. Beliau tidak dapat keluar, selalu dipukul dan disepak. Tetapi sebagai seorang peguam, beliau berjuang di mahkamah untuk membantu klien-kliennya yang mungkin mengalami keadaan yang sama,” ujar Encik Nizam.

Beliau menambah bahawa keadaan seperti itu banyak berlaku.

Encik Nizam berkata antara cabaran terbesar bagi karyawan wanita dalam keadaan itu ialah menangani perasaan malu di tempat kerja, di samping tidak ingin saudara-mara tahu ada isu dalam rumah tangga mereka.

“Masyarakat anggap mereka seperti ikon kerana mereka mempunyai jawatan tinggi dan berada.

“Kejadian seperti ini dianggap sebagai tidak sesuai atau selaras dengan imej yang mereka ada.

“Jadi susah untuk mereka ke hadapan dan meminta bantuan,” ujarnya.

Beliau juga berkata keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa pun.

Pada 4 Julai, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Pindaan Piagam Wanita (Keganasan Keluarga dan Hal Lain) yang antara lain memperkukuh keupayaan pemerintah campur tangan dalam kes keganasan keluarga.

Cik Simran berkata ini akan membantu ramai wanita dalam keadaan itu.

Beliau berkata pindaan itu mencerminkan pendirian teguh pemerintah terhadap keganasan dan komitmennya dalam memastikan keselamatan keluarga.

Pindaan itu membantu mangsa mengenal pasti risiko serta keperluan kededua pihak, mangsa dan pelaku, dan menyokong mereka dalam usaha mencapai perdamaian dalam keluarga.

Antara lain, pindaan itu juga memperkasa mahkamah dalam melindungi mangsa dan mengukuhkan usaha memulihkan pendera.

“Saya rasa masyarakat harus bantu dan memberi lebih banyak sokongan kepada golongan ini.

“Intervensi yang akan dijalankan sekarang membolehkan pihak tertentu campur tangan dalam kes berisiko tinggi dan membantu mangsa yang mungkin tidak ingin melaporkan isu tersebut,” kata Cik Simron.

“Jadi, ini memberi tanggungjawab kepada masyarakat dalam urusan keluarga, yang sebelum ini orang fikir hanya hal rumah tangga mangsa sendiri dan tiada kaitan dengan kita,” tambahnya.

Selain pindaan Piagam Wanita, Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Reformasi Keadilan Keluarga pada 8 Mei. Pindaan ini memperkukuh perlindungan bagi kanak-kanak dan pihak lain yang terdedah, termasuk mangsa keganasan keluarga.

Antara lain, ia menetapkan di bawah Proses Penguatkuasaan Pembayaran Nafkah (MEP) baru, Pegawai Penguatkuasa Penyelenggaraan (MEO) mempunyai kuasa mendapatkan maklumat berkaitan aset dan pendapatan pihak terjejas.

Mengalu-alukan pindaan ini, Encik Nizam berkata wanita Islam di sini juga boleh mendapat manfaat daripadanya.

Meskipun hal perkahwinan, perceraian dan harta pusaka orang Islam terletak di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla), dalam beberapa aspek lain Piagam Wanita dapat memberi manfaat kepada wanita Islam di sini.

Ini termasuk dalam aspek menuntut nafkah atau memohon Perintah Perlindungan Peribadi (PPO).

“Ramai yang mengatakan bahawa Piagam Wanita tidak dapat digunakan oleh wanita Islam tetapi ini kurang tepat.

“Sebenarnya, ramai dalam kalangan mereka yang pergi ke Mahkamah Keadilan Keluarga untuk menuntut nafkah adalah daripada masyarakat Melayu/Islam kita sendiri.

“Kita harus tahu bahawa Mahkamah Keadilan Keluarga ini boleh digunakan oleh wanita Islam Singapura,” jelas Encik Nizam.

Memahami bahawa ia mungkin merupakan sesuatu yang sukar dilakukan oleh mangsa penderaan rumah tangga, Encik Nizam berkata ada banyak lagi sokongan yang disediakan.

“Sekiranya, tidak ingin berjumpa peguam, tidak mengapa. Ada sokongan lain yang boleh membantu, seperti kaunselor, ahli terapi sosial atau pun ahli psikologi.

“Mereka tahu bagaimana boleh membantu anda dengan cara lain,” kata beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg