Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Maliki: Gilap potensi anak demi kejayaan masa depan

Fahami potensi dapat beri mereka ruang berkembang tanpa tekanan
Jan 23, 2025 | 3:57 PM
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, berkongsi pandangan tentang kepentingan memanfaatkan potensi kanak-kanak ketika mereka sedang berkembang dalam satu episod podcast NoTapis bersama Penerbit Eksekutif, Cik Siti Aisyah Nordin.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, berkongsi pandangan tentang kepentingan memanfaatkan potensi kanak-kanak ketika mereka sedang berkembang dalam satu episod podcast NoTapis bersama Penerbit Eksekutif, Cik Siti Aisyah Nordin. - Foto BH oleh KHALID BABA

Memanfaatkan potensi kanak-kanak adalah perkara yang sangat penting bagi perkembangan mereka, terutama sekali dalam membantu mereka mencapai kejayaan apabila dewasa kelak.

Pandangan ini sangat dipegang teguh oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman, dan isterinya sebagai ibu bapa.

Dr Maliki menyedari bahawa dengan mengenal pasti kekuatan dan keunikan kedua-dua anaknya, beliau dan isteri dapat membantu anak-anak mereka meneroka minat dan bakat masing-masing.

Menurut Dr Maliki, dengan memahami potensi anak-anak, mereka dapat diberi ruang untuk berkembang tanpa tekanan yang berlebihan.

“Apa yang saya dan isteri saya lakukan adalah untuk membantu anak-anak kita mencapai potensi tertinggi mereka dan melihat kekuatan yang mereka ada.

“Kita tidak membandingkan anak-anak kita dan mendorong mereka di dalam aspek yang mereka memerlukan jika perlu kerana kita tahu mereka mempunyai potensi masing-masing,” katanya.

Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan tekanan terhadap anak-anak, tetapi turut memberi mereka ruang untuk mengasah bakat dalam bidang yang mereka cemerlang.

Hasilnya, anak-anak beliau telah berjaya mencapai kejayaan dalam pelbagai bidang seperti undang-undang dan pekerja sosial.

Ini bagi Dr Maliki membuktikan betapa pentingnya memberi ruang kepada anak-anak untuk mengejar minat mereka dan menghargai bakat yang dimiliki.

Dalam episod NoTapis baru-baru ini, Dr Maliki turut berkongsi cara prinsip ini diterapkan dalam dasar pendidikan Singapura.

Watch on YouTube

Dalam podcast tersebut, beliau menggariskan peri pentingnya membangunkan pelbagai laluan untuk kejayaan pelajar, berdasarkan kebolehan dan minat mereka.

Semasa beliau memulakan tugas di Kementerian Pendidikan (MOE) pada 2020, Dr Maliki memperkenalkan dasar-dasar yang menawarkan pelbagai laluan pendidikan untuk pelajar.

Salah satu dasar yang dilaksanakan adalah sistem Pengumpulan Berdasarkan Subjek (SBB) Penuh untuk pelajar sekolah menengah.

Melalui sistem SBB, pelajar diberi kebebasan untuk memilih mata pelajaran pada tahap yang sesuai dengan kekuatan mereka, sama ada pada tahap lebih tinggi atau lebih rendah.

Menurut Dr Maliki, sistem ini bertujuan meningkatkan keyakinan pelajar dan membolehkan mereka menguasai mata pelajaran mengikut kemampuan masing-masing.

Selain itu, pelaksanaan sistem kelas yang merangkumi pelajar dengan keupayaan berbeza turut memupuk semangat perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan pelajar.

Ini menunjukkan bahawa dalam dunia yang semakin berkembang, penting untuk menyediakan ruang yang lebih terangkum bagi memastikan pelajar bersedia menghadapi cabaran masa depan.

“Kita ingin nilai serta prinsip ini diterapkan pada usia yang muda,” kata Dr Maliki.

Beliau menegaskan bahawa apabila pelajar memasuki dunia pendidikan, mereka harus memahami bahawa dunia luar adalah pelbagai dan penuh dengan pelbagai cabaran yang memerlukan kebolehan yang berbeza-beza.

Apa yang saya dan isteri saya lakukan adalah untuk membantu anak-anak kita mencapai potensi tertinggi mereka dan melihat kekuatan yang mereka ada. Kita tidak membandingkan anak-anak kita dan mendorong mereka di dalam aspek yang mereka memerlukan jika perlu kerana kita tahu mereka mempunyai potensi masing-masing... Kita ingin nilai serta prinsip ini diterapkan pada usia yang muda.
Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Pendidikan), Dr Mohamad Maliki Osman.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg