Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Nasib Gelandangan: Bilangan merosot, namun ada ruang perbaiki sokongan

Sedang ramai warga Singapura pulang ke rumah selepas kerja untuk meluangkan masa bersama keluarga sebelum tidur selesa, wujud segolongan orang yang terpaksa menjadikan ruang awam sebagai tempat tidur mereka. BERITA MINGGU menjengah isu gelandangan dan bantuan yang tersedia kepada golongan ini.
Jul 09, 2023 | 05:30 AM



Selama lebih sembilan bulan, Encik Rizal (bukan nama sebenar) terpaksa berpindah dari satu tempat ke tempat lain setiap malam demi mencari ruang sesuai untuk melelapkan mata selama beberapa jam sebelum ke kerja pada keesokan harinya.

Ruang tepi tangga unit flat HDB kerap menjadi pilihan kerana persekitarannya yang sunyi sepi, terutama pada tengah malam.

Konflik keluarga menyebabkan beliau keluar rumah pada 2021 dan “lebih rela tidur di tepi jalan” sementara mencari huraian perumahan alternatif, kata Encik Rizal, 35 tahun.

Selepas mendapatkan bantuan mencari rumah, Encik Rizal kini menyewa unit flat HDB di kawasan Jalan Besar bersama seorang individu.

“Tapi tak semua bertuah seperti saya,” katanya, sambil menambah masih ada lagi antara kenalannya yang lebih lama hidup gelandangan.

BANTUAN BAGI GELANDANGAN DIPERKUKUH

Jumlah gelandangan di Singapura dilaporkan merosot 40 peratus kepada 530 pada 2022 berbanding 921 pada 2019, menurut laporan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

Antara sebab utama gelandangan termasuk masalah dengan keluarga atau penghuni yang tinggal bersama dalam satu rumah, sukar mendapatkan rumah, dan masalah kewangan, menurut laporan hasil tinjauan yang dilakukan MSF pada November 2022.

Laporan yang dikeluarkan pada 2023 itu turut mendedahkan bahawa sejak ditubuhkan pada 2019, Rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Peers) telah menyokong lebih 1,600 gelandangan menerusi pendampingan dan pendekatan, bantuan yang diselaras dan menyeluruh, serta tempat berlindung.

Selain itu, rakan-rakan Peers telah mengusahakan program tempat tidur selamat atau ‘Safe, Sound Sleeping Places’ (S3P) dalam ruang masyarakat agar golongan gelandangan mempunyai sekitaran yang selamat untuk berehat.

Sehingga Mac 2023, terdapat 22 S3P yang melengkapi enam Rumah Perlindungan Sementara (TS) tajaan MSF, yang menyediakan pemintasan kerja sosial untuk menyokong klien terhadap perumahan yang stabil.

Antara April 2020 dengan Mac 2023, seramai 340 individu di bawah TS melanjutkan kepada perumahan jangka panjang.

Meskipun pelbagai langkah telah diambil bagi memperkukuh bantuan bagi golongan gelandangan, sekitar separuh daripada individu gelandangan yang ditinjau belum mendapatkan bantuan daripada pemerintah atau badan-badan masyarakat, menurut laporan itu.

BANTUAN PERLU DIPERHALUSI; SETIAP KES BERBEZA, KOMPLEKS

Encik Ahmad (bukan nama sebenar) mula tidur di tepi jalan 11 tahun lalu kerana berasa “lebih bebas”.

Menumpang atau menyewa dengan orang lain lebih mendatangkan masalah baginya, dan beliau lebih selesa berdikari sendiri, kata Encik Ahmad semasa ditemui Berita Minggu (BM).


Menurut pengarah pendekatan sosial di Badan Agama dan Pelajaran Radin Mas (Bapa), Encik Muhammad Faris Shahfawi, ada dalam kalangan golongan itu yang kurang terbuka kepada bantuan yang dihulurkan dan ini menjadi antara cabaran utama yang dihadapi kumpulan sukarelawannya.

Bapa mengendalikan program Outreach for Rough Sleepers (OURS) yang bertujuan membantu golongan gelandangan dengan memberi makanan dan keperluan.

“Ramai yang menganggap mereka yang gelandangan ini tidak mempunyai rumah atau tempat menumpang, tetapi biasanya isu di sebalik apa yang kita lihat itu lebih kompleks. Hendak berikan bantuan juga tidak semudah itu.

“Ada di antara mereka dalam situasi tempat tidur di luar merupakan pilihan terbaik yang mereka ada buat masa sekarang,” ujar Encik Faris.

Tambahnya, masa yang lebih lama diperlukan bagi membina kepercayaan dengan golongan tersebut.

Pada masa yang sama, bantuan yang diberikan juga perlu diperhalusi untuk merangkumi keperluan klien berbeza, kata jurucakap Pusat Khidmat Keluarga Foundation of Rotary Clubs Singapore (FRCS).

“Klien gelandangan yang mempunyai isu kesihatan mental, isu penagihan dan sejarah keganasan mempunyai risiko keciciran dan tidak menerima bantuan menyeluruh kerana mereka mungkin menghadapi kesukaran untuk mengekalkan tempat di rumah perlindungan.

“Justeru, agensi sedia ada yang mengendalikan isu gelandangan perlu dilengkapkan dengan keupayaan dipertingkat bagi mengendalikan isu seperti ini, supaya mereka juga dapat bertindak sewajarnya,” kata beliau memberi respons kepada pertanyaan BM.

Menurutnya, meskipun dengan huraian seperti S3P dan rumah perlindungan, permohonan tetap memerlukan masa dan ini mengakibatkan ramai terpaksa meneruskan kehidupan gelandangan itu.

Justeru, huraian alternatif perlu dipertimbang, contohnya dengan mengubah ruang yang tidak digunakan di estet perumahan kepada ruang sementara untuk golongan itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >