Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palang Merah S’pura ingin luaskan skala, skop khidmat kemanusiaan

Antara lain khidmat bantuan cemas oleh sukarelawan akan diluas ke lebih banyak taman; laksana program sokong kesejahteraan mental pekerja migran
Sep 3, 2024 | 5:41 PM
(Dari kiri) Encik Satyanarayana Mylavarapu, Cik Genevieve Peggy Jeffs, Cik Han Bi Guang dan Encik Goh Jia Yong yang merupakan antara individu dan pertubuhan yang diberi penghargaan dalam satu majlis anugerah Palang Merah Singapura (SRC) pada 2 September.
(Dari kiri) Encik Satyanarayana Mylavarapu, Cik Genevieve Peggy Jeffs, Cik Han Bi Guang dan Encik Goh Jia Yong yang merupakan antara individu dan pertubuhan yang diberi penghargaan dalam satu majlis anugerah Palang Merah Singapura (SRC) pada 2 September. - Foto ST

Pada suatu hari pada November 2023, satu mesej kecemasan muncul di telefon bimbit Cik Han Bi Guang mengenai satu kes kecemasan perubatan di kawasan berhampiran.

Cik Han, yang telah mempelajari kemahiran bantuan cemas di Akademi Palang Merah Singapura (SRC), bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan bantuan itu di myResponder, satu aplikasi yang dibangunkan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Beliau melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) ke atas seorang lelaki yang mengalami serangan jantung dan berjaya menyelamatkan nyawanya.

Atas tindakan beraninya, Cik Han, 51 tahun, penjaga bapanya secara sepenuh masa, menerima Anugerah Penyelamat Nyawa SRC pada 2 September.

Beliau adalah antara 223 individu dan 57 pertubuhan yang diberi penghargaan dalam satu majlis anugerah tahunan SRC di Rumah Kelab HomeTeamNS Bedok Reservoir.

Majlis tersebut diserikan penaung SRC, Presiden Tharman Shanmugaratnam.

Cik Han, yang pernah menyelamatkan rakan sekolahnya daripada lemas semasa menuntut di prauniversiti, berharap lebih ramai orang akan mempelajari kemahiran menyelamatkan nyawa.

“Apabila kecemasan berlaku, seorang jiran, pembantu rumah atau sesiapa sahaja di kawasan berhampiran (yang mempunyai kemahiran ini) boleh membuat perbezaan,” katanya kepada The Straits Times (ST).

Untuk mendekati lebih ramai orang, pengerusi SRC, Encik Tan Kai Hoe, berkata SRC komited untuk meluaskan skala dan skop khidmat kemanusiaannya secara berperingkat.

Di samping khidmat pertolongan cemas di acara nasional dan masyarakat, SRC bekerja rapat dengan Lembaga Taman Negara (NPB) untuk meluaskan program ‘First Aiders on Wheels’ dengan menyertakan lebih banyak taman.

Program tersebut mengerahkan sukarelawan untuk memberi pertolongan cemas kepada mereka yang memerlukan, seperti merawat kecederaan fizikal seseorang, memberi jaminan dan keselesaan, atau menghubungi ambulans kecemasan.

SRC juga akan menyokong masyarakat pekerja migran melalui kegiatan dan latihan yang meningkatkan kesejahteraan mereka, selain memberi khidmat penghantaran barangan perubatan ke rumah mereka yang berhampiran.

Ia akan menggunakan teknologi inovatif untuk meningkatkan latihan dan menambah baik tindak balas bencana, kongsi Encik Tan.

Kurikulum baru Belia Palang Merah kini merangkumi kesihatan mental, keusahawanan sosial, dan teknologi baru seperti realiti maya dan operasi dron, bagi mempersiapkan golongan muda untuk operasi kemanusiaan.

SRC juga meneroka ciri-ciri yang dipertingkat bagi program Pemantauan Rumah dan Penjagaan Orang Tua (HoME+) badan amal itu, dalam usaha memastikan keselamatan dan kesejahteraan warga emas.

Rumah Palang Merah bagi Orang Kurang Upaya telah menggunakan bantuan robot dan huraian inovatif lain untuk memastikan mutu penjagaan lebih baik.

Junior Palang Merah akan berhubung dengan penerima warga tua untuk menggalak ikatan antara generasi.

Sebuah Kelab Palang Merah Emas akan turut dilancarkan tidak lama lagi bagi menarik lebih ramai sukarelawan warga emas, ujar Encik Tan.

SRC turut melancarkan Anugerah Bersama untuk Kemanusiaan pada 2 September bagi mengiktiraf sumbangan 17 individu dan pertubuhan yang telah memainkan peranan penting dalam memajukan usaha badan amal itu selama beberapa dekad.

Salah seorang daripada tiga penerima individu bagi anugerah itu ialah dermawan dan pengumpul dana, Cik Genevieve Peggy Jeffs.

Sukarelawan yang sudah lama menabur bakti itu telah mempengerusikan lima acara gala dan empat bazar antarabangsa buat SRC.

Beliau juga akan menganjurkan satu acara gala sempena ulang tahun ke-75 SRC pada November ini.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg