Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palang Merah S’pura bantu operasi pemulihan banjir di Sri Lanka

Pasukan sukarelawan, bantuan berjumlah $50,000 dihulur untuk pertolongan segera
Jun 25, 2024 | 4:54 PM
Sepasukan lima orang akan menyokong operasi bantuan dan pemulihan banjir oleh Persatuan Palang Merah Sri Lanka (SLRCS).
Sepasukan lima orang akan menyokong operasi bantuan dan pemulihan banjir oleh Persatuan Palang Merah Sri Lanka (SLRCS). - Foto PALANG MERAH SINGAPURA (SRC)

Palang Merah Singapura (SRC) telah menghantar bantuan kemanusiaan dan pasukan sukarelawan ke Sri Lanka untuk menyokong operasi bantuan dan pemulihan banjir di negara itu, lapor akhbar The Straits Times.

SRC menghulurkan bantuan berjumlah $50,000 kepada Persatuan Palang Merah Sri Lanka (SLRCS) bagi mereka menyampaikan bantuan segera.

Ini termasuk menyediakan air minuman yang selamat, bantuan pertolongan cemas dan mengagihkan barangan bukan makanan kepada keluarga yang kehilangan tempat tinggal akibat bencana alam tersebut.

Jumlah itu juga akan menyokong penganjuran kem perubatan di kawasan terjejas banjir dan daya usaha untuk membersihkan tempat genangan air banjir dan sistem saliran bagi mengurangkan risiko denggi.

Sepasukan lima orang turut dikerahkan oleh SRC ke Colombo pada 21 Jun dan mereka akan tetap di ibu negara Sri Lanka sehingga 27 Jun.

Mereka terdiri daripada empat sukarelawan yang telah menjalani latihan kerahan bencana luar negara SRC dan seorang kakitangan SRC.

Di sana, mereka akan menilai keperluan penduduk terjejas, menyokong operasi kemanusiaan, membantu dalam kem perubatan dan mengagihkan barangan bukan makanan kepada mangsa.

Setiausaha Agung merangkap Ketua Eksekutif SRC, Encik Benjamin William, berkata selepas banjir, Sri Lanka menghadapi dua cabaran iaitu menangani kesan segera banjir dan ancaman wabak denggi.”

Beliau menambah air bertakung akibat banjir telah mewujudkan tempat pembiakan nyamuk, menimbulkan kebimbangan mengenai potensi wabak dalam beberapa minggu akan datang.

“Selain menangani keperluan paling segera, kami memberi tumpuan kepada menyokong usaha meningkatkan kesedaran penduduk rentan tentang denggi bagi mengurangkan risiko kesihatan awam,” tambahnya.

Pasukan sukarelawan akan mengusahakan kegiatan pencegahan denggi seperti kempen pengawasan dari rumah ke rumah di zon terpilih untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk.

SRC berkata kempen pencegahan denggi juga akan dijalankan di sekolah, di samping mengadakan latihan kawalan wabak denggi untuk sukarelawan bagi menyiapkan mereka dalam menghadapi sebarang potensi wabak denggi.

Banjir dan kemarau adalah kitaran biasa di Sri Lanka, yang dilanda monsun selatan antara Mei dengan September, manakala monsun timur laut berlaku dari Disember hingga Februari.

Banjir dan pemindahan besar-besaran akibat hujan lebat adalah perkara biasa.

Sri Lanka telah mengalami hujan lebat akibat ribut monsun sejak pertengahan Mei 2024 yang mengakibatkan banjir, kerosakan akibat angin kencang dan tanah runtuh.

Penduduk di 20 dari 25 daerah termasuk Colombo, Gampaha, Kalutara, Matara, Galle, Ratnapura dan Puttalam dilaporkan terjejas, kata SRC.

Terdapat 33 kematian dilaporkan.

Hampir 5,000 orang berada di pusat pemindahan, dengan lebih 200,000 orang terjejas.

Banyak rumah mengalami kerosakan teruk dan bekalan tenaga terganggu.

Amaran banjir juga telah dikeluarkan untuk beberapa lembangan sungai dari daerah berbeza memandangkan lebih banyak hujan dan angin kencang dijangka berlaku.

Meskipun Sri Lanka bergantung kepada hujan monsun bermusim untuk pengairan serta hidroelektrik, pakar telah memberi amaran bahawa ia menghadapi banjir yang lebih kerap apabila dunia semakin panas akibat perubahan iklim, lapor AFP pada awal Jun.

Pada Mei, jurucakap pusat pengurusan bencana Sri Lanka berkata hujan lebat adalah yang paling teruk pernah dilihat negara itu sejak 2010, lapor Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg