Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pejuang barah nasihat orang ramai agar jalani ujian awal

Jul 30, 2023 | 3:49 PM
BERTARUNG DENGAN BARAH: 
Cik Ratnawati Mohd Yusoff mendapat sokongan daripada Persatuan Ain dalam perjalanannya melawan penyakit barah.
BERTARUNG DENGAN BARAH: Cik Ratnawati Mohd Yusoff mendapat sokongan daripada Persatuan Ain dalam perjalanannya melawan penyakit barah. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Tidak pernah terlintas di fikirannya mahu menjalani ujian barah memandangkan keluarganya tidak mempunyai sejarah menghidap penyakit itu dan beliau tidak pernah mengalami sebarang gejala.

Ia hanya hingga satu hari di mana beliau menyedari terdapat ketulan di buah dada kanannya di mana Cik Ratnawati Mohd Yusoff memutuskan untuk ke doktor dan kemudian digegarkan berita tidak diduga bahawa beliau menghidap barah buah dada tahap tiga.

Menyifatkan peristiwa 16 tahun lalu itu sebagai amat menyedihkan, Cik Ratnawati berkata:

“Saya mula berfikiran negatif... apabila saya pulang ke rumah, saya termenung, menangis.

“Saya pun bertanya, mengapa saya?”

Kini sebagai seorang pesakit yang sudah bertarung dengan barah dan pulih, Cik Ratnawati, 59 tahun, mencadangkan agar orang ramai melalui ujian barah dari usia awal.

Menurut suri rumah itu, ia lebih baik untuk mengesan barah pada tahap awal dan merawatnya daripada mendapat tahu tentang penyakit itu secara tiba-tiba apabila ia sudah berada di tahap lanjut.

Cik Ratnawati ditemui Berita Harian (BH) sewaktu acara pelancaran kempen Persatuan Ain – Kesan Awal, Barah Terkawal: Yok Screening! – yang diadakan di Wisma Geylang Serai pada Ahad.

Beliau merupakan antara relawan serta penerima bantuan Persatuan Ain yang membahagi-bahagikan cenderahati kepada pengunjung yang datang untuk mengetahui maklumat lanjut tentang ujian barah.

Berkongsi perjalanannya kepada BH, Cik Ratnawati berkata suaminya banyak membantu beliau dalam mengatasi kesan sampingan yang dialami akibat sesi rawatan kemoterapi yang kerap membuatnya lesu dan tidak ada selera makan, serta memberinya semangat untuk pulih.

Namun pada 2017, barahnya kembali menyerangnya lagi, dan pada waktu itu bersifat “agresif”.

Keadaannya ibarat jatuh ditimpa tangga kerana pada waktu itu, Cik Ratnawati sedang menjaga suaminya yang terlantar di katil akibat serangan strok.

“Saya rasa tertekan sangat sebab diri sendiri sakit, dan suami pula terlantar,” kata beliau yang tetap memaksa dirinya untuk teruskan hidup dan kuat semangat dalam menjalani rawatan kemoterapi lagi.

Namun, beliau tidak menafikan bahawa beliau hampir kemurungan dan memanjatkan kesyukuran apabila diperkenalkan kepada Persatuan Ain.

“Persatuan Ain memberi kita sokongan moral, dan mereka adakan macam-macam kegiatan jadi kita tak rasa keseorangan. Kalau ada acara... dari situ kita (pesakit barah) dapat kumpul beramai-ramai, saling meluahkan (perasaan) kepada satu sama lain,” ujar ibu dua anak itu.

Walaupun akui bahawa barah bukanlah penyakit yang dapat hilang sepenuhnya, Cik Ratnawati berharap agar ia tidak kembali menyerangnya lagi. – NUR HUMAIRA SAJAT

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg