Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Penemuan ‘batu plastik’ akibat pencemaran amat ‘mengerikan’

Feb 07, 2024 | 05:43 PM



Dalam satu lagi bukti kegiatan manusia yang memudaratkan alam sekitar, satu kejadian batu-batan yang terbentuk secara semula jadi, tetapi bercampur dengan serpihan plastik dan bahan pencemar lain, telah ditemui di serata dunia.

‘Batu plastik’ atau plastistones berwarna biru dan hijau yang tampak pelik itu adalah satu komposit yang terbentuk apabila bahan seperti logam berat, pelarut organik dan mikroplastik bercampur atau melekat pada permukaan batuan enapan, atau sedimentary rock.


Ia ditemui di lima benua dan 11 negara – Amerika Syarikat, Portugal, Britain, Italy, Jepun, Sepanyol, China, India, Bangladesh, Brazil dan Peru.


Penemuan “mengerikan” itu, walaupun di pulau-pulau jauh, membuat penyelidik berasa bimbang, dan menimbulkan pelbagai persoalan, lapor The Straits Times (ST).


Antaranya, penemuan itu mungkin menandakan permulaan Anthropocene, iaitu satu zaman geologi baru yang menunjukkan masa manusia secara ketara mula mengubah permukaan bumi, atmosfera, lautan dan sistem kitaran nutrien, dengan kesan berpanjangan di bumi.


“Kami banyak bercakap mengenai Anthropocene, dan kini tiba masanya,” kata pakar geologi, Profesor Fernanda Avelar Santos, kepada agensi berita AFP.


“Pencemaran, sampah di laut dan plastik yang dibuang secara sembarangan di laut kini semakin menjadi bahan geologi... yang terpelihara dalam rekod geologi bumi,” ujar beliau.

‘Batu plastik’ itu telah ditemui di Pulau Trindade, satu singkapan gunung berapi yang terletak 1,140 kilometer dari pantai Brazil dan hanya boleh dikunjungi melalui perjalanan bot selama tiga hingga empat hari.

“Pencemaran marin mencetuskan anjakan paradigma bagi konsep pembentukan batuan enapan,” tulis satu pasukan yang diketuai oleh Profesor Santos dalam satu kajian yang diterbitkan pada September 2023 dalam jurnal Marine Pollution Bulletin.


“Campur tangan manusia kini begitu meluas sehingga seseorang perlu bertanya apa yang benar-benar semula jadi,” tambahnya.

Profesor Santos dari Universiti Persekutuan Parana di selatan Brazil, kali pertama menemui longgokan batu plastik tersebut pada 2019 apabila beliau mengembara ke Pulau Trindade untuk menyelidik bagi satu tesis kedoktorannya mengenai topik berlainan, iaitu tanah runtuh, hakisan tanah dan “risiko geologi” lain.

Beliau sedang menjalankan penyelidikan itu berhampiran kawasan simpanan alam sekitar yang dilindungi, iaitu Turtle Beach, tempat pembiakan terbesar penyu hijau yang terancam di dunia apabila beliau ternampak satu singkapan besar yang kemudiannya dikenal pasti sebagai ‘batu plastik’.

Selepas pengembaraannya, beliau membawa batu-batan itu ke makmalnya untuk dianalisis, dan mendapati ia adalah pembentukan geologi baru.

“Kami membuat kesimpulan, manusia kini bertindak sebagai ejen geologi, mempengaruhi proses yang sebelum ini benar-benar semula jadi, contohnya, pembentukan batu,” ujar beliau, sambil menambah bahawa penemuan “baru dan menakutkan” itu menyebabkannya rasa terganggu dan kecewa.

Menerusi penyelidikannya, beliau turut mengetahui bahawa pembentukan plastik menyerupai batu dan pernah dilaporkan di tempat seperti Hawaii, Britain, Italy dan Jepun sejak 2014.

Beliau bimbang apabila batu itu terhakis, ia akan melepaskan mikroplastik ke alam sekitar dan seterusnya mencemari rantaian makanan di Pulau Trindade.

Pasukannya mendapati komponen utama dalam batu yang ditemui Profesor Santos adalah sisa-sisa jaring ikan.

Di seluruh dunia, lebih 400 juta tan sisa plastik dihasilkan setiap tahun, namun hanya sekitar 10 peratus daripadanya dikitar semula, menurut satu Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan sisa itu memenuhi tapak pelupusan sampah dan merosakkan lautan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >