Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

ANALISIS BERITA

Penggubalan rang undang-undang antilompat parti ditunda

Apr 12, 2022 | 05:30 AM



LANGKAH kerajaan Malaysia untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti dijangka berdepan satu lagi masalah jika tidak melakukan pindaan ke atas Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh soal hilang kelayakan Ahli Parlimen (AP).



Sebabnya, agenda Sidang Khas Dewan Rakyat semalam hanya menyentuh pindaan Perkara 10 (kebebasan berpersatuan) yang menjadi punca kuasa bagi memberi ruang kepada ahli Dewan Rakyat menggubalnya.



Selepas perbahasan maraton yang berlangsung lebih tujuh jam melibatkan 59 AP, Dewan Rakyat sebulat suara memutuskan mahu merujuk penggubalan undang-undang antilompat parti kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.



Usul kerajaan itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.



Ia dipersetujui secara sebulat suara selepas diputuskan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.



Antara syor yang perlu dikemukakan jawatankuasa itu ialah:



i. Meneliti dan memberi pengkhususan ke atas tafsiran kepada larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan merujuk kepada fasal 2(c) dan fasal 3, sekatan-sekatan ke atas hak membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) fasal 1;



ii. Cadangan untuk memansuhkan perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu; dan



iii. Menyediakan suatu penyata yang mengandungi cadangan rang undang-undang berkait larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti serta pindaan Perlembagaan berkaitan dalam tempoh satu bulan. Jawatankuasa Pilihan Khas boleh melanjutkan tempoh sekiranya perlu.



"Bagi tujuan urusan tersebut, Jawatankuasa Pilihan Khas boleh menjemput mana-mana pihak seperti AP, pakar perundangan dan perlembagaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat madani serta individu lain agar hadir dalam persidangan Jawatankuasa Pilihan Khas dari semasa ke semasa," kata Datuk Seri Wan Junaidi ketika mengemukakan usul tersebut.



Selain itu, katanya jawatankuasa itu turut berhak menentukan penjadualan persidangan mereka sendiri sama ada diadakan di Parlimen ataupun di mana-mana tempat mengikut kesesuaian.



Sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), negara berhadapan isu pergolakan politik sehingga berlaku pertukaran penyandang jawatan Perdana Menteri sebanyak tiga kali dan bilangan AP yang melompat parti mencecah sehingga 39 orang.



Ini kata Datuk Seri Wan Junaidi satu isyarat yang jelas menunjukkan amalan demokrasi negara tidak sihat dan berada pada tahap membimbangkan.



Umumnya, menurut beliau, tindakan ahli Dewan Rakyat kemudiannya bertukar parti menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap mereka yang dipilih melalui pilihan raya.



"Sikap dan tindakan bertukar parti oleh mereka secara langsung membuatkan rakyat menilai kesetiaannya terhadap parti yang diwakili dan pada masa sama memberi kesan terhadap amalan demokrasi negara.



"Justeru, usaha menambah baik sistem pentadbiran negara melalui pelbagai inisiatif transformasi pentadbiran secara kerjasama dwipartisan kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) telah diterjemahkan melalui memorandum persefahaman politik pada 13 September 2021.



"Antaranya termasuk Perkara 2.1 mengenai keperluan membentang dan meluluskan Rang Undang-Undang Antilompat Parti di Parlimen," katanya dalam sesi mengemukakan usul bagi membolehkan RUU Antilompat Parti digubal di Parlimen semalam.



Datuk Seri Wan Junaidi berkata bagi menjayakan komitmen yang telah ditetapkan, kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara telah mengadakan sesi libat urus yang komprehensif dan menyeluruh bersama pihak berkepentingan pada November 2021 hingga 7 April lalu.



Sebanyak 12 sesi libat urus telah diadakan sepanjang tempoh tersebut yang antara lain menyentuh soal kaji selidik awam berkaitan peruntukan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti dengan seramai 7,571 responden iaitu 7,461 orang awam dan 110 AP.



Menurutnya, Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini bertujuan meminda Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan Fasal 3A.



Datuk Seri Wan Junaidi berkata pindaan itu turut memberi punca kuasa bagi membolehkan suatu akta khusus berhubung larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti digubal dan diluluskan di Parlimen.



Menurut beliau, mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara kerajaan dengan PH telah diadakan semalam dan tiga perkara dipersetujui.



Tiga perkara itu ialah pertamanya mengkhususkan berhubung dengan tafsiran bagi larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.



Kedua, cadangan untuk memansuhkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan termasuk mana-mana pindaan lain kepada Perlembagaan Persekutuan yang dianggap perlu dan ketiga menggubal suatu undang-undang khusus berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat bertukar parti.



"Perkara ini akan dikemukakan untuk perbincangan dan pertimbangan Jawatankuasa Pilihan Khas yang akan dilantik oleh dewan ini," katanya lagi.



Menurut Datuk Seri Wan Junaidi, sistem pentadbiran negara yang teratur, berkesan dan efektif sentiasa menjadi fokus utama kerajaan yang memerintah.



Dalam hal itu, kesepakatan bersama kerajaan dan pembangkang penting bagi mengembalikan kestabilan politik negara dalam keadaan semasa penularan wabak Covid-19 dan dalam masa memulihkan ekonomi negara serta sosial rakyat pascapandemik.



"Komitmen ini menjadi keutamaan kerajaan mengambil kira senario politik negara kebelakangan ini melibatkan ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau dalam bahasa mudahnya lompat parti.



"Istilah lain yang sering digunakan di negara luar berkaitan perkara ini, misalnya seperti defection, party jumping atau floor crossing yang mana boleh diterjemahkan sebagai pembelotan parti dan bertukar kesetiaan kepada parti.



"Keadaan ini menimbulkan banyak perdebatan dan polemik dalam kalangan masyarakat umum kerana ia melibatkan mandat atau kepercayaan rakyat yang memilih wakil di Dewan Rakyat," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >