Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Rencana
33
0

Penting ajar anak adab beraya

Apr 10, 2024 | 05:31 AM



Adab dan orang Melayu berpisah tiada.

Sempena musim perayaan ini, banyak sebenarnya adab dan nilai murni yang boleh ibu bapa terapkan dalam diri anak-anak mereka.

Selain mengeratkan silaturahim semasa kunjung-mengunjung, budaya dan agama kita juga mengajar adab-adab sebagai tetamu yang menziarahi rumah orang lain.

Antaranya seperti berikut:

Sebelum memasuki rumah orang, eloklah mengajar anak supaya memberi salam dahulu.

Setelah itu, jangan lupa mengajar mereka bersalaman dengan orang yang lebih dewasa terutama mereka yang sudah tua.

Zaman sekarang, ramai juga ibu bapa muda “moden” yang tidak mengajar anak mereka untuk salam orang tua.

Anak mereka “belum bersedia” katanya, atau mereka tidak ingin anak mereka bersentuhan dengan “orang yang tidak dikenali” (padahal nenek dan datuk saudara).

Hmm... masing-masing lah. Terpulang pada ibu bapa untuk membentuk anak sendiri.

Di dalam rumah pula, ibu bapa patut memastikan anak-anak mereka menjaga tingkah laku.

Jangan biarkan anak sesuka hati menyentuh atau mengambil barang tuan rumah; jangan pula anak-anak jadikan sofa atau perabot tuan rumah sebagai ‘playground’ – dan ibu bapa biarkan sahaja sambil ketawa.

Jika ada anak yang terlebih aktif, ajari mereka cara berkelakuan yang sesuai di rumah orang lain.

Bukan tak boleh berlari-lari dan bermain di rumah orang terutama jika tuan rumah pun mempunyai anak kecil, tetapi ada batasnya.

Jangan biarkan mereka sesuka hati membuka pintu dan menjengah ke dalam bilik orang tanpa izin.

Bukan apa, kita tidak tahu keadaan rumah orang lain.

Mungkin sesetengah orang kurang selesa tempat tidur mereka ditunjukkan kepada khalayak ramai atau bilik yang berserak terdedah begitu sahaja... dah terbongkar ‘rahsia’ dan aibnya.

Usahlah kita biasakan menggunakan alasan “mereka masih kecil” untuk butakan mata dan pekakkan telinga kepada kelakuan kanak-kanak yang kurang elok.

Ingatkan anak juga adab beraya dengan meminta izin kebenaran tuan rumah jika mereka inginkan sesuatu.

Misalnya, jika anak tersebut ingin meminjam barang tuan rumah, main dengan permainan kanak-kanak di dalam rumah, bahkan menggunakan tandas sekali pun, bukankah lebih manis dan beradab untuk meminta izin terlebih dahulu?

Selain itu, kita semua tahu musim perayaan selalunya ‘musim makan sakan’ juga. Hampir setiap rumah yang dikunjungi menjamu tetamu dengan hidangan istimewa.

Walaupun kadang kita sudah kekenyangan dek makan besar di setiap rumah, ingatkan anak-anak supaya setidak-tidaknya menjamah makanan yang sudah tersedia.

Tuan rumah sudah bersusah-payah menyiapkan jamuan tersebut, tidak baik pula kalau kita sebagai tetamu tidak menghargai usaha dan penat-lelahnya itu.

Seandainya makanan yang disediakan tidak sesuai dengan tekak kita, jangan pula mengutuk atau memberi komen yang tidak baik... terguris hati tukang masak nanti.

Sewaktu menziarahi sanak-saudara semasa Hari Raya juga pastinya ramai yang menggunakan peluang tersebut untuk berborak dan mengambil tahu perkembangan terkini anggota keluarga yang jarang berjumpa. Maklumlah, setahun sekali baru bersua.

Oleh itu, bagi mereka yang mempunyai anak-anak yang lebih dewasa, galakkan mereka untuk sama-sama terlibat dalam perbualan yang ada. Usahlah asyik terpaku pada skrin telefon bimbit atau televisyen sahaja.

Dengan cara ini, bukan sahaja mereka dapat belajar cara bergaul dengan anggota keluarga dan masyarakat lain, ia juga dapat mengeratkan hubungan sesama insan menerusi perkongsian pengalaman.

Satu lagi adab sebagai tetamu sewaktu Raya, janganlah terlalu lama berada di rumah orang lain, lebih-lebih lagi kalau sudah malam.

Beringatlah tentang keadaan tuan rumah yang mungkin sudah penat sehari suntuk melayan tetamu. Lagi pula, esoknya orang lain mungkin perlu ke kerja atau ada urusan lain. Jadilah tetamu yang bertimbang rasa.

Ketika ingin pulang pula, kanak-kanak biasanya ghairah menerima duit Raya. Ingatkan anak-anak kita supaya menjaga tatatertib ketika menerima sampul duit itu.

Ambillah sampul duit dengan tangan kanan, jangan merampas sampul tersebut daripada orang yang memberikannya dan jangan sesekali membuka sampul itu di depan orang tersebut.

Jangan lupa juga untuk mengucapkan terima kasih kepada si pemberi.

Adab-adab ini mungkin kelihatan mudah atau ‘common sense’, tetapi usahlah kita menganggap enteng perkara-perkara sedemikian.

Didiklah anak sejak kecil untuk jadi insan yang beradab. Ingatlah, hina besi kerana karat, hina manusia tidak berbudi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >