Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

MENJELANG PILIHAN RAYA UMUM MALAYSIA

Pertingkat ekonomi, calon wibawa teras BN hadapi pilihan raya

Oct 26, 2022 | 05:30 AM



MEMPERTINGKAT ekonomi, mengembalikan kestabilan negara dan menawarkan calon-calon baru yang berwibawa dan "tiada dosa politik" merupakan tiga teras utama yang ditawarkan Barisan Nasional (BN) dalam usahanya meraih kemenangan selesa dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ini.



"Kami merasai kekalahan pada PRU14 dan ada hikmahnya. Kali ini seluruh anggota dan jentera parti berusaha gigih untuk menang," kata ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Encik Isham Jalil, dalam wawancara dengan Berita Harian baru-baru ini.



Menurutnya, BN harus meraih kemenangan selesa jika tidak pun meraih kemenangan besar dua pertiga daripada 222 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya umum yang akan berlangsung pada 19 November ini.



"Kemenangan selesa bermakna jumlah kerusi adalah tinggi, melebihi jumlah minima (112 kerusi sebagai kemenangan majoriti mudah) supaya tidak tergugat dengan tindakan lompat parti," terangnya.



Kemenangan besar yang dikecapi BN dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka pada November 2021 dan Johor pada Mac tahun ini juga mengentalkan lagi keyakinan dan semangat perikatan menggunakan lambang dacing itu.



"Kalau kita lihat daripada hasil PRN lalu, kita akan lihat pengundi sekarang pecah tiga. Pengundi bukan Melayu umpamanya, daripada kalangan Cina dan India, dah tak lagi memberi sokongan kepada parti-parti pembangkang sehebat dulu," kata mantan pengarah di Jabatan Perdana Menteri berkelulusan sarjana politik dan ekonomi dari Universiti Harvard dan sarjana pengurusan perniagaan (MBA) dari Sekolah Wharton, Universiti Pennsylvania, itu.



Menyentuh usaha menampilkan sekitar 70 peratus muka baru, Encik Isham berkata mereka raih sokongan sangat baik apabila mengetengahkan calon baru di Johor dan Melaka.



"Umno tak pernah buat benda-benda macam ini, sampaikan lapan daripada 10 calon muka baru. Jadi kami mengekalkan pendekatan serupa kali ini tetapi ramai juga ahli veteran yang terus mendapat sokongan rakyat dan pengundi. Jadi ada di antara mereka dikekalkan," terangnya.



Encik Isham, 46 tahun, juga disebut-sebut sebagai di antara barisan karyawan muda berkaliber, memiliki kelayakan akademik, selain komitmen tinggi membantu rakyat, yang mungkin diketengahkan dalam PRU15 ini.



"Saya telah dipanggil untuk berjumpa Presiden Umno (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi). Insya-Allah kalau diberi peluang, saya akan bertanding tetapi saya belum tahu di mana," katanya yang telah meraih sebanyak RM74,000 ($22,319) untuk dana politiknya.



Encik Isham atau nama sebenarnya, Hizatul Isham Abdul Jalil, yang berpengalaman selama 20 tahun di perkhidmatan awam, diketahui rapat dengan bekas perdana menteri, Encik Najib Tun Razak; dan pernah menjadi pegawai khas mantan presiden Umno itu.



Ditanya tentang kesan pemenjaraan Encik Najib ke atas Umno dan BN dalam pilihan raya ini, beliau berkata, pengaruh 'Bossku' di media sosial adalah di antaranya.



"Lihat cara dia beri penerangan tentang pelbagai isu, dasar kerajaan semasa pentadbirannya dan macam-macam lagi. Jangkauannya mencapai puluhan, ratusan ribu pengguna media sosial," katanya yang dilantik sebagai ahli MKT pada Jun lalu.



Menyentuh tentang harapannya untuk pilihan raya kali ini, beliau "mengharapkan agar kita dapat mengembalikan kestabilan negara secepat mungkin, dapat membaiki dan memperkukuh semula ekonomi".




"Kami merasai kekalahan pada PRU14 dan ada hikmahnya. Kali ini seluruh anggota dan jentera parti berusaha gigih untuk menang."
- Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Encik Isham Jalil , yang disebut-sebut sebagai antara calon muda berkaliber untuk bertanding dalam PRU15.




SEKILAS



  • KERAJAAN Barisan Nasional (BN) tumbang pada 9 Mei 2018, setelah menang hanya 79 daripada 222 kerusi dalam pilihan raya ke-14 (PRU14)

  • BN gagal pertahan kerajaan dibentuk selama 60 tahun

  • Datuk Seri Najib Tun Razak undur sebagai perdana menteri selepas sembilan tahun (3 Apr 2009 - 9 Mei 2018)

  • Pakatan Harapan (PH) tawan 113 kerusi dan raih majoriti mudah

  • PH bentuk kerajaan, Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik perdana menteri pada 10 Mei 2018 - buat kali kedua

  • Kerajaan PH selama 22 bulan berakhir apabila sebahagian ahli parlimen lompat parti dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar PH

  • Gabungan Bersatu dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) bersama beberapa parti lain tubuh Perikatan Nasional (PN) dan bentuk kerajaan

  • Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai perdana menteri pada 1 Mac 2020 tetapi letak jawatan selepas 17 bulan

  • Kerajaan campuran BN dibentuk dengan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilantik perdana menteri pada 21 Ogos 2021

  • Selepas 13 bulan pimpin kerajaan, Datuk Ismail Sabri umum bubar Parlimen pada 10 Oktober 2022 bagi pelaksanaan PRU15




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >