Buat kali pertama, pelbagai jenis bunga mawar damask – berwarna merah jambu – yang indah dan menakjubkan diketengahkan di pameran Rose Romance di Gardens by the Bay.
Bunga mawar damask juga merupakan antara bunga tertua dalam sejarah.
Pameran kali kelima yang diadakan dari 2 hingga 30 Jun di Flower Dome itu mempamerkan hampir 16,000 mawar daripada 70 jenis yang dipilih dengan kerjasama Kedutaan Turkey di Singapura.
Jenis mawar lain yang dipamerkan buat kali pertama termasuk mawar eksotik berwarna ‘hitam’ dari Isparta, mawar Rose Eden Climber dan mawar Leonardo da Vinci.
Turkey adalah antara negara penanam pohon mawar damask terkemuka di dunia.
Minyak mawar damask yang terkenal dengan aroma harumnya digunakan dalam minyak wangi sejak berabad-abad lamanya.
Pameran bunga Rose Romance membolehkan pengunjung menikmati suasana ladang mawar yang terbentang luas di Isparta, selain mengembara untuk melihat suasana bandar runtuhan purba Hierapolis.
Pengunjung juga boleh melihat mercu tanda budaya lain di Turkey seperti tapak bersejarah Sagalassos, kata pengurus kanan operasi konservatori di Gardens by the Bay, Cik Grace Yang.
Ketika melangkah ke Flower Dome, pengunjung akan disambut oleh pelbagai unsur seni bina Turkey di galeri tontonan aras atas.
Ketika turun ke kawasan tengah pameran itu, pengunjung akan melihat beberapa gerbang era Yunani dan satu tarikan air pancut yang diilhamkan dari zaman Antonin Empayar Rom dari AD138 hingga AD192.
Ia menggambarkan pengaruh purba Yunani dalam kekayaan sejarah Turkey, tambah Cik Yang.
Pameran tersebut turut mengetengahkan ciri menarik lain seperti ladang mawar, gerbang mawar dan satu peralatan penyulingan untuk menunjukkan bagaimana bunga mawar dituai dan diproses menjadi minyak mawar dan air mawar.
Pameran tersebut turut memaparkan rumah tradisional Bodrum dengan dinding batu kapur putih dan seni bina yang diilhamkan daripada dinasti Seljuk yang memerintah Asia Tengah dari abad ke-11 hingga ke-14.
Ia turut mewujudkan semula pemandangan dari Pamukkale iaitu satu destinasi pelancongan di Turkey yang terkenal dengan teres travertin putih dan kolam air spa panas dari zaman purba, ujar Cik Yang.
Pamukkale kini menjadi tapak warisan yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).
Sepanjang seminggu lalu, sepasukan 10 orang bekerja sepanjang malam antara waktu tutup dengan waktu buka Flower Dome, iaitu dari 9 malam hingga 9 pagi, untuk menanam setiap mawar dengan teliti dan menyiapkan pameran itu sebelum ia dibuka pada 2 Jun.
“Saya berharap pengunjung gembira melihat pelbagai jenis bunga ros di pameran ini, setiap satu bunga ini unik dari segi warna dan saiz, dan (saya berharap mereka) akan lebih menghargai kekayaan budaya Turkey,” tambah Cik Yang.
Akhbar The Straits Times (ST) berpeluang melihat keindahan hamparan tanaman bunga mawar di Turkey semasa menyertai rombongan lawatan ke negara itu pada Mei, yang dihos oleh Gardens by the Bay, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turkey dan Turkish Airlines.
Lawatan tersebut dianjurkan oleh Kedutaan Turkey di Singapura.
Pada masa ini, kerja menuai bunga mawar sedang rancak dilakukan di Isparta, sebuah wilayah di kawasan barat Turkey yang mempunyai ladang mawar sangat luas dan indah – seluas kira-kira 25 juta meter persegi.
Sebahagian besar ladang tersebut menumbuhkan bunga mawar damask berwarna merah dan merah jambu, membuat kota Isparta terkenal dengan julukan ‘Kota Mawar’.
Kerja menuai mawar tersebut dibuat pada Mei dan Jun.
Ia menghasilkan sekitar 13,000 kilogram (kg) mawar dan 1,500 kg minyak mawar serta air mawar.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg