Rencana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat miskin masih terjejas selepas setahun Sri Lanka lakukan pemulihan ekonomi

Jul 11, 2023 | 3:15 PM
KEHIDUPAN TIDAK BERUBAH: Orang ramai beratur bagi membeli minyak tanah untuk kegunaan rumah di sebuah stesen minyak di Colombo walaupun bilangan mereka melakukan demikian merosot.
KEHIDUPAN TIDAK BERUBAH: Orang ramai beratur bagi membeli minyak tanah untuk kegunaan rumah di sebuah stesen minyak di Colombo walaupun bilangan mereka melakukan demikian merosot. - Foto AFP

COLOMBO: Setahun selepas rakyat Sri Lanka menyerbu kediaman Presiden ketika itu dan memaksa penyingkirannya semasa kemerosotan ekonomi, jalan-jalan raya di pulau itu kini tampak tenang, tiada lagi barisan beratur panjang di stesen minyak dan tiada juga pemadaman elektrik berjam-jam lamanya.

Bank pusat negara itu menjangkakan ekonomi akan mula pada 2023 selepas penguncupan enam suku  berturut-turut – lebih cepat daripada jangkaan kebanyakan pakar ekonomi – manakala pengiriman wang ke dalam negara melonjak dan bilangan pelancong ke negara itu meningkat.

Walaupun pakar ekonomi menilai Sri Lanka telah melepasi krisis terburuk, masalahnya masih jauh daripada selesai.

Kos makanan, penjagaan kesihatan dan sewa rumah masih tinggi dan semakin mahal, kadar kemiskinan meningkat dua kali ganda pada 2022 dan terus naik, manakala rundingan untuk menyusun semula beban hutang pemerintah menghadapi beberapa ketidakpastian.

“Memang terdapat kestabilan, yang bermaksud tiada kekurangan yang melampau, tiada barisan orang ramai beratur bagi membeli bahan api dan tiada bekalan elektrik yang terputus 13 jam,” kata Cik Rehana Thowfeek, pakar ekonomi di badan pemikir Institut Advocata yang berpangkalan di Colombo.

“Inflasi semakin rendah tetapi berbanding dengan tahap sebelum krisis, kos sara hidup sangat tinggi dan pendapatan tidak meningkat. Sebahagian besar rakyat miskin Sri Lanka adalah golongan berpendapatan harian dan mereka adalah antara yang paling teruk terjejas,” tambahnya.

Sri Lanka tenggelam dalam krisis kewangan selepas pandemik Covid-19 yang memusnahkan sektor pelancongan dan kiriman wang daripada rakyat yang bekerja di luar negara merudum. Perang di Ukraine menyebabkan harga import, terutamanya bahan api, meningkat secara mendadak.

Pada Mac 2022, beribu-ribu orang telah turun ke jalan raya untuk meluahkan kemarahan mereka terhadap pemotongan elektrik yang berpanjangan dan harga semakin meningkat, dan mendesak keluarga (Presiden) Rajapaksa yang telah menguasai politik negara itu selama 20 tahun lalu, segera melepaskan genggamannya.

Selepas bantahan berminggu-minggu dan krisis yang semakin memburuk, Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke luar negara, secara rasmi berundur pada 13 Julai 2022.

Beliau digantikan perdana menterinya, Encik Ranil Wickremesinghe, yang membawa angin pembaharuan dan merundingkan jaminan AS$2.9 bilion ($3.9 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Mac lalu.

Walaupun kenaikan harga semakin berkurangan, namun harga barangan dan perkhidmatan masih tinggi. Kos tenaga yang melonjak 65 peratus pada Februari, kekal sukar ditanggung oleh keluarga berpendapatan rendah walaupun pengurangan 14.2 peratus pada Julai.

Indeks inflasi utama berada pada paras 12 peratus pada Jun dan dijangka mencecah satu angka pada Julai selepas memuncak 70 peratus pada September 2022. Tetapi kos makanan, pakaian, penjagaan kesihatan dan perumahan kekal meningkat.

Inflasi makanan mencecah rekod tertinggi sebanyak 95 peratus pada September 2022 dan walaupun ia telah menurun, bacaan Jun sebanyak 4.1 peratus bermakna harga masih meningkat. Harga pakaian meningkat 44 peratus tahun ke tahun pada Jun, perumahan 26 peratus dan kos perubatan 16 peratus.

Kenaikan kos menjejas kemiskinan, yang meningkat hampir dua kali ganda kepada 25 peratus daripada penduduk Sri Lanka pada 2022 dan boleh melonjak kepada 27.4 peratus pada 2023, menurut Bank Dunia.

Minggu lalu, pemberi pinjaman pelbagai hala kepada negara-negara membangun telah meluluskan pinjaman AS$700 juta kepada Sri Lanka, termasuk AS$200 juta buat golongan miskin.

Dalam satu inisiatif baru untuk membantu golongan miskin, pemerintah berkata ia akan melancarkan program pemindahan tunai secara terus kepada sekitar 2.3 juta keluarga pada Julai dan berjanji untuk membelanjakan AS$680 juta setahun untuk kebajikan mereka.

Tetapi pengkritik berkata pemberian bulanan sebanyak 2,500 rupee ($11) hingga 15,000 rupee, berdasarkan tahap kemiskinan, adalah tidak mencukupi.

Encik Kamal Padmasiri, ahli lembaga Lembaga Faedah Kebajikan yang dikendalikan pemerintah, menganggarkan wang sebanyak 13,800 rupee adalah memadai bagi setiap orang sebulan – sesuatu yang sukar dipenuhi pemerintah.

“Pemindahan wang tunai akan diberikan selama tiga tahun dan orang ramai perlu bangun dan bergerak ke hadapan pada masa ini. Bayarannya tidak kekal... kami tidak mampu,” tambahnya.

Bagaimanapun, terdapat beberapa keberhasilan.

Peningkatan 30 peratus dalam hasil pelancongan pada 2023 dan lonjakan 76 peratus dalam kiriman wang telah menyalurkan AS$3.2 bilion ke dalam tabung Sri Lanka, membantu rizab mencecah paras tertinggi 14 bulan sebanyak AS$3.5 bilion pada Mei dan nilai mata wang meningkat sekitar 18 peratus pada 2023.

Sri Lanka masih perlu mengolah semula sebahagian besar hutang asingnya yang berjumlah AS$36 bilion, termasuk AS$12.5 bilion dalam bon antarabangsa dan kredit dua hala AS$11.3 bilion yang kebanyakannya terhutang kepada China, Jepun dan India.

Encik Wickremesinghe telah menetapkan matlamat untuk memuktamadkan perbincangan penyelesaian hutang menjelang September, yang, jika berjaya, akan melancarkan pengeluaran tahap kedua pembiayaan IMF yang akan dibayar menjelang Oktober.

Tetapi China, pemberi pinjaman terbesar Sri Lanka dengan sekitar AS$7.4 bilion dalam pinjaman dua hala dan komersial terkumpul, setakat ini menolak untuk menyertai apa yang dipanggil rangka kerja biasa yang dipelopori Jepun dan Kelab Paris negara-negara pemiutang untuk merundingkan semula hutang Sri Lanka.

Selain itu, walaupun unjuran pertumbuhan bermula pada suku Julai, ekonomi Sri Lanka yang dipacu eksportnya dijangka menguncup sebanyak 2 peratus pada 2023 selepas menyusut 7.8 peratus pada 2022.

Eksport jatuh 11 peratus pada 2023 sehingga Mei, kebanyakannya didorong oleh penurunan 16.5 peratus dalam jualan pakaian kepada Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat.

“Kami benar-benar perlu meningkatkan eksport untuk merancakkan ekonomi, kami memerlukan pelabur tulen dan kami perlu akses pasaran ke hadapan melalui perjanjian perdagangan bebas dan langkah lain,” kata Encik Shiran Fernando, ketua ekonomi di badan industri terbesar Sri Lanka, Dewan Perdagangan Ceylon.

“Program IMF akan hanya membolehkan kami terus bergerak untuk satu hingga dua tahun akan datang, tetapi selepas itu, kami memerlukan pembaharuan melibatkan soal tanah, buruh selain mengubah perusahaan negara yang merugikan.” – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg