Helo dan terima kasih.
Bagi saya dan isteri, ia sudah menjadi satu tabiat bagi kami mengucapkan demikian kepada orang yang kami temui –daripada ahli keluarga, sanak saudara kepada juruwang atau pekedai.
Apabila anak saya mula cuba bertutur selepas mencecah usia sekitar enam bulan, kami berdua sering menggunakan kedua-dua perkataan itu apabila kami membawanya berjalan-jalan.
Ketika membeli barang keperluan rumah atau membeli makanan di pusat penjaja, kami akan bertanya khabar kepada juruwang atau pekedai dengan memulakan dengan ucapan helo, sambil mendukung puteri kami dan memegang tangannya untuk melambai kepada pekedai tersebut.
Selepas membuat bayaran, kami ucapkan terima kasih.
Dua perkataan itu merupakan antara perkataan pertama disebutkan anak pertama kami yang baru menyambut hari lahirnya yang kedua pada 13 Ogos lalu.
Amalan tersebut benar-benar menyebarkan senyuman kepada orang lain dan membuat mereka senang dengan kami.
Ini juga kami alami semasa bercuti di kawasan pergunungan Kundasang, di Sabah, Malaysia dekat kaki Gunung Kinabalu Julai lalu.
Untuk menjauhi kesibukan hidup di bandar, kami memilih untuk menginap di ‘atas awan’ semasa bermalam di sebuah kotej dipanggil ‘Kiram’s Village’.
Pada lewat petang sewaktu kami berada di sana, kami berpeluang menikmati keindahan melihat matahari terbenam di sekitar kawasan itu sambil membawa anak kami yang tidak suka duduk diam dalam rumah untuk berjalan-jalan sebentar.
Di sebuah kawasan lapang tempat penginapan itu terdapat beberapa kanak-kanak dari tiga keluarga yang sedang bermain dengan lalang, seorang berusia sekitar tiga tahun dan yang lain berusia empat tahun ke atas.
“Helo,” kata anak saya dengan melambai kepada kanak-kanak lelaki tiga tahun itu.
Mereka kemudian bermain dengan ‘pedang’ lalang sementara ibu bapa kanak-kanak itu mula berbual dengan kami.
“Berapa umurnya?” tanya salah seorang ibu kepada isteri saya.
“Bulan depan masuk dua tahun,” kata isteri saya.
“Sopannya dia, cakap helo. Tak takut dengan orang,” tambahnya.
“Dia memang suka buat kawan,” sambut isteri saya.
Kami kemudian semakin seronok berbual mesra.
“Sebenarnya kami ada rancangan nak barbeku dekat rumah kami di depan tu lepas ni,” kata saya.
“Kita pun! Eh datanglah tempat kita! Rumah sini lebih besar, boleh tampung ramai orang,” sambung seorang ayah daripada keluarga itu.
Ketiga-tiga keluarga itu adalah teman sekerja dan mereka berasal dari Semenanjung Malaysia dan sedang bekerja di Kota Kinabalu.
Kebetulan mereka berada di situ untuk bercuti bagi meraikan salah seorang teman yang akan menerima ijazah kedoktoran (PhD) dalam bidang kulinari tidak lama nanti.
Apabila kami tiba di rumah tersebut selepas Maghrib, kami sumbang sedikit daging lembu, kambing dan ikan yang dibeli dari pekan untuk dimasak bersama.
Sepanjang malam kami bersembang sementara anak kami bermesra dengan anak-anak mereka.
Beberapa sahabat baru kami dari Kota Kinabalu juga menyertai acara malam itu dan membawa kek dari restoran Secret Recipe untuk menyambut kejayaan teman mereka.
Sementara mereka menyanyikan lagu untuk meraikan pencapaian rakan yang akan bergelar doktor, anak kami sibuk menyanyikan lagu ‘Happy Birthday’ dalam bahasa Inggeris kerana baru sahaja belajar lagu itu semasa menyambut ulang tahun saya sebulan lalu.
Apabila teman-teman baru kami mendengar dia bernyanyi seorang diri, mereka menyalakan lilin dan meletakkan tanda ‘Happy Birthday’ di atas kek – yang sepatutnya bagi menyambut pencapaian bakal doktor itu – dan kemudian menyanyikan lagu selamat hari jadi bersama.
Anak kami juga bertepuk tangan dek terlalu gembira.
Kami berasa terharu dengan suasana itu.
Semuanya bermula dengan ucapan helo oleh puteri kami kepada beberapa orang yang pada awalnya kami tidak kenal tetapi kemudian menjadi rapat.
Sudah tentu sebelum kami bersurai malam itu, anak kami juga mengucapkan ‘makaseh’ (terima kasih) kepada mereka.
“
Helo dan terima kasih... Apabila anak saya mula cuba bertutur selepas mencecah usia sekitar enam bulan, kami berdua sering menggunakan kedua-dua perkataan itu apabila kami membawanya berjalan-jalan. Dua perkataan itu merupakan antara perkataan pertama disebutkan anak pertama kami yang baru menyambut hari lahirnya yang kedua pada 13 Ogos lalu. Amalan tersebut benar-benar menyebarkan senyuman kepada orang lain dan membuat mereka senang dengan kami.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg