Setelah menamakan isterinya sebagai calon dalam penamaan Tabung Simpanan Pekerja (CPF), anak-anak mereka juga turut menuntut wang itu dengan alasan bahawa wang itu perlu difaraidkan.
Adakah wang itu perlu dibahagikan berdasarkan faraid?
Bagaimana pula jika seorang ibu memberitahu ahli keluarganya bahawa beliau hanya ingin memberikan barang kemasnya kepada anak perempuannya, tanpa sebarang bukti bertulis?
Perlukah wasiat itu ditandatangani seorang peguam secara rasmi?
Demikian antara soalan yang diajukan peserta semasa “Forum Faraid: Wasiat Untuk Diriku” yang diadakan di Auditorium Masjid Sultan pada 16 Ogos.
Lebih 300 peserta telah menyertai forum anjuran Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang telah dikendalikan dalam bahasa Melayu itu.
Anggota panel forum tersebut terdiri daripada pengurus dasar dan pembangunan agama, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Ustaz Dr Feirul Maliq Intajalle; dan dua anggota Kumpulan Kerja Perancangan Legasi Islam (ILPW) Muis iaitu Cik Nur Liyana Sinwan, seorang peguam, dan Encik Hafiz Noorahman, seorang pakar perancangan kewangan.
Antara topik yang dibincangkan panel itu termasuk topik berkaitan faraid dan wasiat seperti - keperluan merancang pembahagian harta, mengapa ia digalakkan dalam Islam, kelebihan membuat wasiat, panduan lengkap dalam melaksanakan wasiat serta membuat perancangan untuk meraih pahala sadaqah jaariah melalui wasiat.
Personaliti Sujimy Mohamad yang juga pencipta kandungan digital merupakan pengacara dan moderator forum tersebut.
Ustaz Dr Feirul telah memulakan perbincangan dengan menyampaikan kisah Nabi Yusuf a.s. yang menafsirkan mimpi raja Mesir dan menyarankan agar beliau menyuruh rakyatnya bercucuk tanam sebagai persediaan untuk menghadapi musim kemarau panjang.
Kisah itu digunakan sebagai contoh pentingnya membuat persiapan sebelum ajal tiba.
“Kematian itu pasti, cuma bila kita mati, kita tak pasti sebab Allah yang menentukan. Tapi, untuk kita menghadapi kematian, kita perlu merancang dan sebab itu kita beramal.
“Begitu juga, kita mesti membuat perancangan tentang pembahagian harta pusaka dan membuat wasiat, tak perlu tunggu sakit untuk membuatnya. Ini bagi mengelak sebarang masalah yang mungkin timbul di kalangan ahli keluarga nanti,” kata Ustaz Dr Feirul.
Ustaz Dr Feirul menambah bahawa hukum faraid itu berkuatkuasa hanya selepas harta arwah telah dibahagikan menurut wasiat dan segala hutang arwah dilunaskan.
Cik Liyana kemudian menjelaskan kelebihan membuat wasiat iaitu kita boleh memilih orang yang kita percayai untuk menjadi pentadbir atau orang yang melaksanakan tanggungjawab membahagikan harta mengikut arahan dalam wasiat.
“Jadi, dalam situasi jika arwah ada anak kecil di bawah setahun, ada orang yang dapat mengurus dan membahagikan harta arwah itu.
“Ia juga penting untuk kita fikirkan senarai aset yang kita ada dan letakkan dalam wasiat kita supaya pentadbir wasiat tidak perlu tercari-cari, di mana aset kita atau polisi insurans yang kita ada,” kata Cik Liyana.
Selain itu, dengan adanya wasiat, kita juga boleh membahagikan sepertiga daripada harta kita untuk waris yang luar daripada ahli waris faraid.
Beliau turut menggalakkan orang ramai agar mendapatkan nasihat guaman bagi memastikan wasiat yang dibuat itu sah bagi mengelakkan sebarang masalah nanti.
Encik Hafiz turut menjelaskan bahawa perancangan legasi seperti membuat wasiat itu bukan sahaja untuk orang kaya atau mereka yang sudah mendirikan rumah tangga.
“Ada individu yang belum berumah tangga tetapi menjaga ibu atau ayah yang sakit. Seandainya, dia anak tunggal, dia perlu fikirkan siapa yang akan menjaga ibu atau ayahnya jika dia meninggal dunia dahulu dan hajatnya boleh disampaikan menerusi wasiat,” kata Encik Hafiz.
Beliau turut berkongsi cara individu boleh menyenaraikan data kewangan mereka dari pelbagai sumber melalui laman agensi pemerintah, SGFindex.
Dalam pada itu, ahli panel turut berkongsi tentang alat-alat perancangan legasi Islam lain seperti hibah dan nominasi CPF atau insurans.
Di akhir sesi forum itu, Ustaz Dr Feirul juga menyarankan agar setiap individu berpeluang membuat perancangan untuk membuat amalan sadaqah jaariah tersendiri dan sekiranya, mereka berpeluang meninggalkan wakaf, mereka digalakkan mewakafkan sebahagian daripada harta mereka.
Antaranya, sumbangan boleh dibuat kepada Wakaf Masyarakat Singapura (WMS) yang menyediakan sistem pembiayaan yang mampan untuk menyokong dana sedia ada bagi membantu institusi keagamaan, pembangunan asatizah dan program jangka panjang masyarakat menerusi sumbangan umat Islam di sini.
Masyarakat boleh memberikan sumbangan segera atau untuk masa depan kepada WMS secara tunai dengan jumlah serendah $10 sekali, secara bulanan atau tahunan menerusi laman www.wakaf.sg.
Peserta yang telah menghadiri forum faraid tersebut berkata maklumat yang disampaikan cukup bermanfaat dan membantu mereka merancang masa depan.
Salah seorangnya adalah Cik Zanariah Mohtar, 56 tahun, yang bertugas dalam sektor sistem keselamatan.
Beliau menghadiri sesi forum itu bersama adiknya, Cik Mazlinda Mohtar, 52 tahun, seorang akauntan.
“Kami masing-masing memang sudah terfikir nak buat wasiat kerana saya sendiri telah melihat bagaimana adik-beradik suami saya perlu berurusan dengan beberapa pihak termasuk mahkamah dan peguam semasa menguruskan harta pusaka ibu mertua saya selepas beliau meninggal dunia.
“Ibu kami pula sekarang masih hidup tetapi beliau dah tak sihat nak buat wasiat. Tapi ibu dah pesan hajatnya kepada kami tiga beradik perempuan dan kami sefahaman. Jadi forum ini telah memberi kami lebih maklumat dan kami setuju, lebih baik bayar yuran guaman untuk bantu uruskan wasiat kami sekarang,” kata Cik Zanariah.
Bagi pasangan suami isteri, Cik Nursyafawani Masnawi, 26 tahun, lulusan Universiti Al-Azhar dalam bidang undang-undang syariah, dan suaminya, Encik Muhammad Faizal Masdar, 28 tahun, yang bertugas sebagai konsultan perkhidmatan kewangan, sesi forum itu sangat membuka minda.
“Walaupun saya sedar tentang wasiat dan faraid, kini saya telah mempelajari aspek pengendalian wasiat dan faraid dari segi perundangan di Singapura.
“Sebagai contoh, untuk memastikan wasiat itu sah, ada senarai yang boleh kita rujuk. Saya juga mempelajari istilah baru seperti Surat Kuasa Berkekalan (LPA) dan sebagainya.
“Selain itu, sebagai seseorang yang mempunyai latar belakang agama dari muda dan merancang untuk menyumbang kembali kepada masyarakat Islam, forum ini telah membantu saya memahami respons masyarakat terhadap aspek wasiat dan faraid,” kata Cik Nursyafawani.
Encik Muhammad Faizal berkata perbincangan forum tersebut meningkatkan kesedaran beliau tentang cara-cara mengendalikan aset bagi masyarakat Islam.
“Melalui forum tersebut saya pelajari tentang keprihatinan masyarakat berkaitan wasiat dan faraid.
“Saya juga telah mempelajari tentang alat seperti SGFindex, My Legacy dan Kalkulator Faraid dan bagaimana ia boleh membantu kita dan anggota masyarakat lain merancang harta kita,” katanya.
“Forum Faraid: Wasiat Untuk Diriku” merupakan sebahagian daripada acara yang diadakan sempena kempen Bulan Wakaf sepanjang Ogos.
Acara Bulan Wakaf akan datang termasuk Jejak Warisan Wakaf pada 24 Ogos dan klinik perundingan di satu acara Perkampungan Legasi (Legacy Village) pada 30 Ogos.
Acara Perkampungan Legasi yang diadakan buat julung-julung kalinya memaparkan pelbagai reruai yang menjelaskan cara-cara melaksanakan perancangan legasi dengan memanfaatkan instrumen sedia ada seperti alat penamaan CPF dan insuran serta mengenali Wasiat.
Satu lagi Forum Faraid WMS yang membincangkan tentang Wasiat turut diadakan, ini kali dalam bahasa Inggeris dan memaparkan Mufti, Dr Nazirudin Nasir.
Orang ramai boleh mendaftar untuk menyertai forum tersebut dengan melungsuri www.go.gov.sg/faraidforum-30aug
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg